Saturday, May 11, 2013
S60, V60 dan XC60
"MODEL R-Design baharu adalah padanan sempurna untuk mereka yang mahukan prestasi dengan perincian terbaik. Melalui model baharu S60, V60 dan XC60 R-Design, kami telah merubah model-model popular itu dengan fokus kepada perincian.
"S60 dan V60 R-Design dengan casis yang rendah, enjin T6 serta rim opsyen 19 inci adalah pakej yang tepat. Dikontrakan dengan tempat duduk sport baharu membolehkan pemandu menikmati pemanduan yang selesa, di sebalik peningkatan prestasi kereta," kata Naib Presiden Kanan Pemasaran, Jualan dan Khidmat Pelanggan Volvo Group, Doug Speck.
Memetik laporan agensi berita Newspress, ketiga-tiga model R-Design dirias semula dengan wajah baharu. Bampar depan lebih agresif dengan gril tanpa bingkai berwarna hitam (Tech Matte Black).
Ia kemudian disempurnakan dengan bilah dan logo yang elegan. Sebelum ditambah pula dengan lencana R-Design sebagai lambang prestasi. Lampu DRL pada sisi bampar memberi efek kereta yang rapat ke bumi.
"Arca roda depan adalah antara perincian kecil yang menaikkan lagi aura sporty. Ia membalut roda jenis Ixion bersaiz 19 inci untuk model S60 dan V60. Sementara bagi model XC60 pula, ia bersaiz 20 inci," kata Pengarah Rekaan Luaran Volvo, Fedde Talsma.
Pada bahagian belakang, peralatan R-Design terdiri daripada peresap udara dengan rekaan yang unik bersama sirip aero dan paip ekzos berkembar.
Bahagian dalamannya dipasang tempat duduk sport yang dibalut oleh tekstil Nubuck dan kulit. Logo R disulam dengan warna biru. Terdapat juga opsyen tempat duduk yang dibalut kulit sepenuhnya, kecuali untuk varian R-Design Lux yang didatangkan standard.
Perisian Polestar
"Dengan sisi tempat duduk yang memeluk pemandu dari pinggang ke bahu, kerusi baharu itu memberi sokongan untuk menikmati pemanduan. Di samping itu, ia juga mengekalkan keselesaan yang merupakan ciri tradisional Volvo sejak berpuluh-puluh tahun dahulu," jelas Speck lagi.
Meter paparan yang dipanggil Adaptive Digital Display pula mempunyai opsyen tiga fungsi iaitu Elegance, Eco dan Performance. Bagi model R-Design, mode Elegance mempunyai efek warna biru. Pasukan pereka banyak memberi perhatian kepada perincian bahagian kabin yang memberi aura R-Design.
Bercakap mengenai kuasa pula, model-model R-Design menggunakan khidmat enjin sama yang ada pada model standard seperti D2 diesel berkuasa 115hp (kecuali untuk model XC60) hinggalah ke enjin 3.0 liter 6 silinder T6 petrol turbo berkuasa 304hp dengan tork 440 Nm.
Pembeli varian T6 boleh menambah lagi kuasa kepada 329hp dengan memilih opsyen perisian Polestar. Pecutan pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) untuk model T6 S60 yang menggunakan paddle shift baharu dengan Sport mode telah ditingkatkan kepada 5.9 saat dari 6.1 saat. Tempoh bagi model V60 T6 pula ialah 6.0 saat turun daripada 6.2 saat. Sementara model XC60 T6 pula mengambil masa 6.9 saat berbanding 7.3 saat sebelum ini.
Casis R-Design telah direndahkan kepada 15mm, manakala kekenyalan pegas gegelung ditingkatkan kepada 15 peratus berbanding model standard S60 dan V60.
Perubahan itu memberi lebih keseronokan dengan kawalan penuh. Turut dipasang ialah palang yang mengikat suspensi untuk struktur badan yang lebih tegar. Perubahan casis yang tegar dibuat tanpa menjejaskan keselesaan.
Pegas gegelung penyerap hentak dan palang antioleng telah dilaras dan ditala untuk lebih keras serta seimbang. Hasilnya, pemanduan lebih terkawal, sporty dan mencengkam jalan.
Sama seperti varian standard, pelbagai sistem elektronik turut dikekalkan untuk menyokong pemanduan yang lebih sporty. Corner Traction Control yang menggunakan 'torque vectoring' bagi mengambil selekoh dengan lebih tepat kini merupakan ciri standard XC60.
DSTC atau Dynamic Stability and Traction Control mempunyai beberapa fungsi seperti Advanced Stability Control yang mengelak gelinciran (spin). Engine Drag Control pula berfungsi apabila tayar hilang cengkaman sewaktu enjin membrek atau permukaan jalan licin. DSTC turut mempunyai talaan sport yang membolehkan pemandu menutup fungsi anti-spin.
Menurut Volvo, model S60, V60 dan XC60 R-Design boleh didapati di semua pasaran yang mempunyai varian standard. Volvo Cars menjangkakan jualan varian ini sebanyak sepuluh peratus, selain 30 peratus di pasaran terpilih seperti United Kingdom dan Australia.
Bagi pasaran tempatan pula, Volvo ada menjual kit badan S60 R-Design. Menariknya, terdapat juga pakej naik taraf Polestar dengan harga promosi kira-kira RM5,000.
Selain itu, bakal dipasarkan beberapa bulan lagi ialah model V40 CKD dengan harga yang agak menarik. Sudah sampai masanya pasaran memberi perhatian semula kepada Volvo era baharu dengan falsafah "Designed Around You!"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: