Saturday, May 11, 2013
Berastagi bak Cameron Highlands
FEBRUARI lalu, saya bersama dua rakan, Nor Izzati Jamaludin, 27, dan Kamariah Ismail, 28, bercuti ke negara jiran, Medan, Indonesia.
Kami memutuskan percutian kali itu dilakukan ala backpacker kerana mahu menikmati percutian yang mencabar dan menjimatkan.
Sepanjang percutian selama empat hari tiga malam itu saya hanya membelanjakan RM800. Ia meliputi penginapan, pengangkutan, makan dan minum serta cenderamata. Pada saya ia cukup menjimatkan.
Menyingkap kembali, kali pertama menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia, Medan ketibaan kami disambut oleh beberapa orang pemandu teksi yang cuba menawarkan khidmat pengangkutan dengan kadar sewa menarik.
Apa yang mengagumkan saya, bukan sahaja pemandu teksi malah para peniaga juga akan mencuba memenangi hati pelanggan ketika menawarkan perkhidmatan atau barang-barang jualan.
Bunyi hon
Jika di Malaysia, hon kenderaan dibunyikan ketika keadaan trafik yang sesak atau sebagai isyarat menegur pemandu kenderaan lain. Bagaimanapun kebanyakan pemandu di negara Garuda itu membunyikan hon untuk menyapa pemandu kenderaan lain.
Bunyi hon tersebut mempunyai maksud tersirat. Jika dibunyikan sekali bermaksud meminta pemandu dari arah bertentang memandu ke tepi jalan sekali gus memudahkan perjalanan pemandu yang membunyikan hon terutama di jalan-jalan sempit.
Sekiranya hon dibunyikan berkali-kali, ia bermaksud pemandu tersebut meminta izin untuk memotong kenderaan di hadapan.
Kemudian pemandu di hadapan akan menyalakan lampu kiri bermaksud membenarkan kenderaan di belakang memotong atau lampu kanan bermaksud tidak selamat untuk memotong.
Dari Medan, kami menempuh perjalanan selama empat jam menuju ke Parapat sebelum menaiki bot selama sejam ke Pulau Samosir yang terletak di Danau Toba. Ia merupakan sebuah tasik gunung berapi terbesar di dunia.
Di Tuk Tuk, Pulau Samosir kami menginap di hotel tiga bintang iaitu Tabo Cottages.
Di Tabo Cottages, mata kami bertiga terpegun menyaksikan keindahan landskap alam yang dihiasi kehijauan tumbuhan tropika, air tasik berwarna hijau kebiruan, berlatar belakang lingkaran gunung berapi dan langit membiru.
Kami sedikit kecewa kerana tidak dapat meneroka kesemua keindahan itu ekoran kesuntukan masa kerana kami tiba pada lewat petang di pulau tersebut dan terpaksa pulang awal pagi keesokan hari untuk menuju ke lokasi seterusnya.
Saya hanya sempat berjalan di sekitar kawasan penginapan kerana kebanyakan lokasi tarikan pelancong ditutup pada waktu malam.
Mujurlah ada beberapa buah kedai cenderamata masih dibuka dan saya dapati kebanyakan cenderamata yang dijual berbentuk cicak.
Penduduk tempatan yang ditemui memberitahu cicak merupakan lambang bagi kehidupan suku Batak yang menjadi penduduk majoriti di wilayah Parapat. Suku Batak mengagumi keupayaan cicak yang boleh melekat pada semua permukaan tanpa jatuh.
Ketika mencari makanan halal, kami bertemu dua orang rakyat Malaysia yang turut bercuti di pulau tersebut. Salah seorang daripada mereka, Nur Zafirah Salleh, 25, belajar di universiti yang sama dengan Nur Izzati iaitu Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Air terjun tertinggi
Bibit-bibit persahabatan terjalin antara kami malah keesokan harinya kami bergerak bersama ke lokasi seterusnya iaitu bandar Berastagi di kawasan tanah tinggi Karo. Perjalanan sejauh 140 kilometer (km) dari Parapat menaiki van memakan masa selama tiga jam.
Dalam perjalanan tersebut, kami singgah di kawasan air terjun tertinggi di Indonesia, Sipisopiso yang setinggi 120 meter. Saya kehilangan kata-kata melihat keindahan air terjun tersebut.
Bagi melihat dasar air terjun, kami menuruni kira-kira 1,000 anak tangga. Kedinginan air terjun dan udara yang nyaman membuatkan kami rasa berbaloi menuruni anak tangga tersebut namun apabila mendaki semula barulah terasa penatnya.
Di Berastagi, saya dapati banyak kuda berkeliaran di jalan-jalan utama. Ia digunakan untuk membawa pelancong bersiar-siar di sekitar bandar tersebut.
Keadaan di Berastagi tidak banyak bezanya dengan Cameron Highlands di Malaysia kerana suhunya yang dingin dan tanaman sayuran mudah ditemui.
Bagi pelancong yang mahu mendapatkan cenderamata, jangan lupa singgah di Pasar Buah Berastagi kerana terdapat pelbagai pilihan cenderamata seperti perhiasan rumah, pakaian, beg tangan dan magnet peti sejuk.
Hidangan lazat
Keesokannya, kami meninggalkan Berastagi dan menuju ke bandar Medan yang terletak sejauh 65 km. Di Medan, kami menginap di Hotel Ibunda disebabkan lokasinya berdekatan pusat bandar, selesa dan harga yang berpatutan iaitu Rp360,000 (RM115).
Kami tiba di Medan kira-kira pukul 1.30 tengah hari, selepas membersihkan diri dan menunaikan solat, kami membuat keputusan untuk ke Pasar Ikan atau Pajak Ikan yang menjual aneka kain tak ubah seperti di Masjid India, Kuala Lumpur. Harga kain yang dijual juga sangat berpatutan.
Semasa di sana, saya tidak melepaskan peluang mencuba hidangan lazat yang menjadi pilihan masyarakat tempatan dan pelancong iaitu sate Minang.
Keunikan sate tersebut adalah pada kuahnya yang berempah dan pedas yang dihidangkan bersama nasi himpit. Ia berbeza dengan sate di Malaysia.
Sate Padang biasanya dihidangkan dengan pilihan daging lembu dan ayam. Kuah satenya likat berwarna kuning yang diperbuat daripada air rebusan daging bersama 19 jenis rempah. Antaranya daun kari, bawang merah, serai dan cili.
Pada sebelah petang pula, kami berkunjung ke pusat beli-belah Sun Plaza (Sogo) dengan menaiki becak yang menyerupai sebuah beca tetapi menggunakan motosikal.
Suasana malam di Medan pula meriah terutama di Merdeka Walk kerana terdapat deretan kedai cenderamata dan restoran di sepanjang jalan.
Sate Padang biasa dihidangkan dengan pilihan daging lembu dan ayam. Kuah satenya likat berwarna kuning diperbuat daripada air rebusan daging yang dicampur dengan jenis rempah dan diadun bersama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: