HAMIDON AHMAD, 60, meluaskan pandangan melihat Sungai Skudai yang terbentang luas sambil dia menitipkan cerita.
“Sungai ini dahulu wajahnya cukup berbeza. Kami, para nelayan hampir pernah berputus asa selepas mata pencarian kami tersekat gara-gara pihak yang tak bertanggungjawab menjadikan sungai ini sebagai tong sampah.
“Sungai berbau sampai burung-burung pun tak sudi hendak singgah untuk mencari makanan,” ujarnya sambil mendengus.
Kenyataan nelayan yang membesarkan 11 orang anaknya dengan hasil laut itu memang benar belaka. Sungai Skudai beberapa tahun lalu pernah direkodkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor sebagai antara paling tercemar di Malaysia.
Namun soroton kisah lampau itu sudah berlalu. Kini, Hamidon bersama-sama ratusan nelayan itu menghela nafas lega.
Mengapa? Ini kerana Sungai Skudai yang panjangnya 46 kilometer (km) dan mempunyai luas lembangan 235 km persegi sudah mengalami transformasi. Ia kini menjadi lokasi migrasi ribuan spesies burung dari seluruh pelosok dunia.
“Bila banyak burung dah mula kembali berhijrah ke sungai, ini merupakan petunjuk jelas bahawa sungai ini sudah bersih,” demikian hemat nelayan itu yang memang tidak dapat menjauhkan dirinya dengan air lagi.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan itu berkata, transisi itu sebenarnya bermula kira-kira lima tahun lalu setelah kerajaan negeri Johor mengambil langkah menggunakan teknologi mikro-organisma berkesan untuk merawat air sungai selain meningkatkan pembiakan pelbagai spesies marin.
Selepas itu, flora dan fauna di sekelilingnya memberi impak yang positif, ujar Hamidon.
|
Tumbuhan seperti bakau minyak, bakau kurap, perepat, nipah dan beting lumpur kemudian kembali menjadi pilihan untuk spesies membiak dan mendapatkan sumber makanan yang mencukupi.
Tarikan pelancong
Inisiatif kerajaan negeri itu ujar Hamidon, tanpa disangka mendatangkan tuah kepada lebih 700 penduduk Kampung Sungai Melayu.
“Ia bukan saja membuatkan kami kembali turun ke laut mencari rezeki, malah kami dapat menambah pendapatan apabila Sungai Danga telah dijadikan tarikan pelancongan yang baharu di negeri Johor,” ujarnya sambil dipersetujui oleh Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kampung tersebut, Sharrifa Mohd. Shah.
Sambung Sharrifa, hasil kerjasama Koperasi Penduduk Kampung Sungai Melayu dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, mereka mewujudkan pakej melancong di sepanjang sungai itu.
Pakej tersebut dibahagikan kepada tiga slot dengan menawarkan harga serendah RM50 hingga RM70.
Untuk pakej paling murah, ujarnya, para pelancong yang berkumpul dari Jeti Kampung Sungai Melayu akan dibawa menyusuri Sungai Gading dan mengelilingi Kampung Sungai Melayu termasuk ke rakit kupang.
“Pakej kedua dan ketiga tawarannya lebih menarik apabila mereka akan dibawa mengelilingi Sungai Gading, terus ke Sungai Skudai untuk melihat telatah dan habitat burung hijrah,” jelas Sharrifa.
Antara spesies burung yang bakal ditemui pengunjung ialah bangau kendi, bangau kerbau, helang siput, camar kecil, kedidi kaki hijau, kedidi kaki merah, kenyalang, undan dan itik air.
Kepada yang teringin merasai makanan laut hasil air tangan orang kampung, tiga pakej makanan ditawarkan yang berharga RM15, RM20 dan RM35.
“Ketika menjamu selera di tepi sungai, jika bernasib baik pengunjung boleh menyaksikan beberapa burung helang yang jinak hinggap di tapak tangan para penduduk di sini,” beritahu wanita itu lagi.
Bercerita tentang sambutan yang diterima, Sharriffa berkata, ia sangat memberangsangkan sejak usaha itu digarap setahun lalu.
Seorang nelayan, Kamarudin Ahmad, 45, memberitahu, dia pernah membawa pelancong dari Kanada, New Zealand, Singapura, Arab Saudi dan Indonesia.
“Mereka terpukau dengan keindahan alam semula jadi kita dan bila saya ceritakan tentang sungai itu yang kotor satu ketika dahulu, mereka terkejut dan pada masa sama kagum dengan usaha pemuliharaan yang dilakukan,” kata Sharrifa yang sedang memperbaiki penguasaan bahasa Inggerisnya bagi memudahkan dia berceloteh panjang dengan pengunjung antarabangsa kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: