Saturday, May 25, 2013

Keindahan pemandangan matahari terbit



PERJALANAN mengejar matahari terbit di Taman Negara Bromo Tengger Semeru (BTSNP) bukan calang-calang. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Indonesia ke Probolinggo sahaja memakan masa hampir dua jam dengan melakukan dua kali hentian.
Probolinggo merupakan bandar yang terdekat dengan BTSNP, tetapi masih lagi memerlukan masa lebih satu jam untuk mendekati kawasan berpasir dan berhawa dingin itu.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja perjalanan dibuat dengan menaiki pengangkutan awam, tetapi disebabkan masa yang terlalu singkat maka perkhidmatan agensi pelancongan pilihan terbaik.
Bagi ekspedisi yang tidak tergesa-gesa, bermalam di pekan kecil itu adalah keputusan terbaik.
Ekspedisi mengejar matahari terbit di BTSNP bermula seawal pukul 2.30 pagi waktu Indonesia Barat apabila pelayan hotel di situ mengetuk pintu bilik.
Kedengaran seperti mendesak, pekerja hotel pasti mengejutkan kami setiap 15 minit bagi memastikan kami benar-benar telah bersiap.
Dari Probolinggo, perjalanan menaiki kereta sekitar sejam membawa kami ke sebuah kampung penduduk tempatan, Kampung Ngadisari.
Di situ, mod pengangkutan bertukar ke kenderaan pacuan empat roda yang dipandu penduduk tempatan, mereka amat mahir selok-belok pemanduan terutamanya di kawasan Savana.
Ketika jam menunjukkan angka 4 pagi dan cuaca masih diselubungi kegelapan malam, suasana di Kampung Cemoro Lawang begitu bising kerana kesesakan lalu lintas.
Kampung Cemoro Lawang mendapat nama kerana terdapat banyak pepohon cemara di persekitaran penempatan itu selain merupakan kampung paling terdekat dengan kawasan Gunung Bromo.

PACUAN empat roda merupakan pengangkutan yang ideal untuk ke BTSNP.


Pada pandangan saya, mungkin perjalanan ke puncak sudah dekat. Rupa-rupanya, masih lagi jauh dan memerlukan masa lagi satu jam untuk sampai sebelum dapat menyaksikan matahari terbit.
Keadaan jalan semakin teruk seiring perjalanan naik ke atas. Kelebaran jalan semakin kecil, manakala sudut membelok jalan ada yang mencecah lebih 270 darjah ketika mendaki.
Kenderaan yang dinaiki kami beberapa kali terhenti. Apabila enjin boleh dihidupkan dan kenderaan bergerak pasti mati semula selepas mendaki lebih kurang empat atau lima meter.
Saat itu, perasaan menjadi resah kerana waktu sudah pun menunjukkan masa pukul 4.45 pagi dan jika benar-benar kenderaan dinaiki kami rosak, maka hancurlah harapan melihat kecantikan matahari terbit di BTSNP.
Pemandu pelancong, Mohamad Richard Noor sudah mengomel-ngomel dalam bahasa tempatan kepada pemandu yang masih gagah mahu menghidupkan enjin.
Pemandu mengambil tindakan drastik, dia keluar dari kereta, membuka bonet hadapan dan mengodek-ngodek sesuatu. Apabila enjin cuba dihidupkan, deruman enjin mengaum.

PENDAKIAN yang perlu ditempuh pengunjung untuk melihat kawah Bromo.


Bukan kenderaan kami sahaja menerima nasib begitu, tetapi banyak lagi pacuan empat roda lain yang tersadai seketika, manakala anak-anak muda yang datang dengan menaiki motosikal kerap berhenti beberapa kali bagi merendahkan suhu enjin.
Sampai di satu lokasi, kenderaan kami berhenti lagi kerana di hadapan terdapat banyak lagi pacuan empat roda yang tidak bergerak.
"Kita turun di sini dan naik 'ojek'," ujar Mohamad Richard.
Pada harga Rp10,000 (RM3), saya menaiki ojek iaitu sebuah motosikal yang berfungsi seperti teksi untuk membawa kami ke puncak.
Ojek diperlukan kerana pada ketinggian sekitar 2,500 meter itu, kenderaan lain tidak lagi mampu melalui laluan kecil dan curam ke puncak.
Cuaca dingin di kawasan pergunungan begitu mencengkam tulang, sehelai baju sejuk nipis tidak cukup menahan diri dan harus disertai sarung tangan, penutup kepala serta sebai.
Kemudian, kami terpaksa berjalan kaki sekitar 30 meter untuk ke puncak pelantar yang dibuat khas untuk pengunjung melihat matahari terbit berlatar belakang pemandangan keseluruhan BTSNP.
Ruang puncak yang dipanggil Pananjakan itu terlalu kecil jika dibandingkan jumlah khalayak yang datang ke situ. Pananjakan berada pada ketinggian 2,700 meter dari aras permukaan laut.
Sekitar pukul 5.15 pagi dan cahaya jingga sudah pun kelihatan dalam remang-remang subuh.
Sang suria terbit sekitar pukul 5.30 pagi apabila cahaya yang cukup terang berbentuk bulatan terbit dari ufuk timur.
Ketika itu, anak-anak muda Indonesia yang berada di situ berteriak kegembiraan melihat cahaya matahari yang memancar.
Selepas keseluruhan matahari terbit, jika dipandang tepat pada permukaan bulatan matahari pasti betul-betul dapat melihat garisan bulat dan ia seperti berputar-putar.
Cahayanya begitu terang dan menyilau, memedihkan mata jika memandang terus secara mendadak. Pada beberapa ketika cahaya ungu kelihatan di persekitaran matahari, tidak pasti ia efek penglihatan mata atau sememangnya keluar daripada matahari.
Semua itu, hanya boleh dilihat dan dirasai untuk beberapa minit selepas kami menempuh beberapa ribu kilometer perjalanan selain menukar mod pengangkutan lebih tiga kali.

KEADAAN Kampung Cemoro Lawang selepas letusan Gunung Bromo pada tahun 2011.


Namun itu semua berbaloi demi sebuah pengembaraan yang begitu menguji ketahanan fizikal dan emosi.
Jika dilihat dari Pananjakan, puncak tertinggi di situ adalah Gunung Semeru berketinggian 3,676 meter (m), manakala paling hadapan dikenali sebagai Gunung Batok (2,400 m). Di antara Semeru dan Batok terdapat Gunung Bromo, Widodaren serta Gunung Watangan yang lebih rendah.
"Pada asalnya, terdapat sebuah gunung sahaja iaitu Gunung Bromo, tetapi selepas beberapa siri letusan, landskap di situ berubah menjadi beberapa gunung dan kawasan savana (padang pasir).
"Gunung Bromo masih aktif sehingga sekarang dan laluan kawah semakin sempit berbanding saya kecil dahulu," kata Mohamad Richard.
Saat menikmati kopi panas dan mi segera di gerai kecil di Pananjakan, kami bertembung dengan seorang rakyat Malaysia.
Paling ketara membuktikan dia orang Malaysia apabila wanita berketurunan Cina itu meminta teh panas dengan susu (teh tarik) yang merupakan kegemaran rakyat Malaysia.
"Saya juga pertama kali datang ke sini kerana mendengar cerita mengenai kecantikan Gunung Bromo dan matahari terbit di sini," kata wanita hanya dikenali sebagai Rina yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.
Wanita itu dan seorang lagi temannya, wanita berketurunan Eropah sememangnya sangat sukakan cabaran dan alam sekitar, selepas ke Gunung Bromo, mereka akan bertolak ke Kawah Ijen di Jawa Timur pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: