Sunday, May 19, 2013
Dadali ubat penenang
KEMUNCULAN kumpulan Dadali bukanlah disambut dengan hamparan permaidani merah tetapi anak-anak muda dari Bogor, Indonesia itu sebenarnya bertatih dari kepayahan.
Grup yang terkenal dengan lagu Di Saat Aku Mencintaimu itu tidak pernah berangan-angan akan segera popular hanya dengan sebuah lagu. Pengalaman ditolak oleh banyak syarikat rakaman sehingga kehabisan wang sehingga terpaksa hidup merempat selama beberapa hari di kota Jakarta masih segar dalam ingatan setiap ahli band Dadali.
Berkat sebuah single yang dinukilkan daripada hati, grup ini bukan sahaja terkenal di tanah air sendiri malah mengembara ke luar. Mereka pernah bertandang di Kuala Lumpur itu kini boleh berbangga setelah mendapat undangan untuk membuat persembahan di Hong Kong. Semua itu adalah hasil dua single yang meletup.
Dadali yang ditubuhkan pada 2008 dianggotai oleh Dyrga (vokal), Richad (gitar), Yudha (gitar), Oq (dram), dan Rix (keyboard) dan kini dimasukkan seorang anggota baharu bernama Iik.
Bertemu mereka di daerah Pluit, Jakarta baru-baru ini, Dadali berkobar-kobar bercerita tentang single baharu mereka yang bertajuk Di Saat Sendiri ciptaan Yudha. Melalui single itu, anggota Dadali yakin bahawa mereka akan dapat mengulangi kejayaan yang pernah diraih melalui Di Saat Aku Mencintaimu.
"Harus ada keyakinan dan lagu ini juga ciptaan Yudha yang merupakan pencipta lagu hit kami, Di Saat Aku Mencintaimu. Boleh dikatakan bahawa lagu Di Saat Sendiri merupakan kesinambungan lagu hit terdahulu," jelas Dyrga sang vokalis.
"Kami masih mempertaruhkan lagu balada dan pop Melayu kerana 80 peratus peminat gemarkan lagu tentang percintaan dan kecurangan. Lagu-lagu berentak perlahan dan balada ini boleh dianggap sebagai ubat penenang," ujar Yudha yang banyak menulis lagu melalui pengalaman peribadi dan rakan-rakan.
Menurut Dadali lagi, pengacara program Dahsyat, Olga Syahputra pernah menitiskan air mata tatkala single baharu itu di didendangkan dalam program Dahsyat.
"Kami jadi terharu kerana Olga menitiskan air mata sewaktu mendengar lagu itu. Dia teringatkan rakannya Raffi Ahmad yang sewaktu itu dilanda musibah," jelas Richad.
Untuk album studio penuh kelak, Dadali akan mempersembahkan lima buah lagu balada dan lima buah lagu irama sederhana.
Ditanyakan tentang pertumbuhan grup dengan genre lagu pop Melayu, Dadali mengakui mempunyai keistimewaan tersendiri.
"Memang kami dikenali dengan lagu-lagu berentak perlahan. Manakala lagu-lagu berentak sederhana pula adalah pengisi album. Kami berlainan kerana lagu balada kami dimulai dengan dentingan piano. Lagu kami juga dimasukkan vokal wanita dan untuk Di Saat Sendiri, kami menjemput Rey Utami untuk menyanyi bersama Dyrga," jelas Yudha yang menganggap lagu mereka senang dicerna dan santai.
Tambah Yudha, Dadali yakin dengan kejayaan lagu baharu itu berikutan klip video lagu Di Saat Sendiri yang ditayangkan di laman YouTube mendapat respons yang cukup memberangsangkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: