Saturday, May 11, 2013
Percutian nan lengkap
SEJAK mendapat status bandar raya pada 1 Januari 1994, Johor Bahru, Johor yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia terus mengalami pembangunan pesat.
Hari ini, bandar raya tersebut semakin menjadi tumpuan sama ada sebagai transit orang ramai sebelum ke Singapura atau menikmati keseronokan taman tema Legoland di Nusajaya.
Jika berkunjung ke bandar raya ini, apa kata anda menginap di Hotel The Zon Regency yang terletak di Stulang Laut.
Pemandangan indah
Lokasinya terletak di kawasan dermaga di Selat Johor mewujudkan momen-momen indah ketika berada di hotel tersebut. Lebih menarik, pemandangan waktu malam penuh warni-warni tatkala air laut memantulkan cahaya lampu dari negara jiran, Singapura.
Pengunjung boleh menyaksikan kesibukan para nelayan mencari rezeki di Selat Johor atau melihat burung-burung bangau mencari makan di kawasan paya bakau.
Tidak ketinggalan, pemandangan kaki-kaki pancing yang asyik dengan aktiviti tersebut, orang ramai melepak di tepi laut dan kesibukan kenderaan di Tambak Johor. Kesemua itu boleh disaksikan dari kawasan hotel.
Zon bebas cukai
Bagi yang menggemari aktiviti beli-belah, Zon Bebas Cukai The Zon menawarkan beberapa premis bebas cukai. Para pengunjung boleh membeli pelbagai jenis coklat import, pakaian atau barangan hiasan dengan harga yang lebih murah berbanding di pasaran biasa.
Tidak cukup dengan itu, bagi penggemar aktiviti hiburan, terdapat beberapa buah pusat hiburan yang aktif pada waktu malam.
Kemudahan hotel
Hanya lima minit ke pusat bandar Johor Bahru, hotel yang dikategorikan sebagai kelas bisnes itu menawarkan 318 bilik Deluxe, Club Deluxe (49) dan masing-masing 15 bilik bagi Club Suite serta Corner Suite. Bilik-bilik berharga antara RM440 hingga RM1,100 semalam.
Sebaik melangkah masuk ke bilik, pengunjung dapat merasai suasananya yang eksklusif dengan pemandangan indah Selat Johor atau bandar raya Johor Bahru.
Bilik dilengkapi televisyen, internet, bilik mesyuarat, dewan besar, kolam renang, spa dan gimnasium.
Bagi yang mengimpikan untuk menonton persembahan nyanyian secara langsung, anda pasti teruja menyaksikan persembahan sekumpulan penyanyi di Palm Bistro & Lounge di tingkat lima hotel tersebut. Persembahan itu dibuat setiap hari kecuali Isnin bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.
Menjamu selera
Sesuatu percutian itu, umpama tidak lengkap jika tidak mencuba makanan istimewa di tempat berkenaan. Hotel The Zon Regency menawarkan beberapa pilihan restoran seperti Kafe Salt ‘n’ Pepper, Palm Bistro & Lounge, Restoran Cina The Zon dan Restoran Ayukawa Grand Japanese & Italian.
Antara menu popular ialah daging kambing panggang yang disajikan di Kafe Salt ‘n’ Pepper. Keenakan daging ini mendapat pujian banyak pelanggan.
Bagi yang ingin mencari kelainan. bolehlah berjalan kaki ke gerai-gerai tepi jalan yang terdapat di sepanjang Jalan Stulang Laut.
Terminal feri
Orang ramai yang berhasrat untuk ke Batam atau Tanjung Pinang, Indonesia, menginap di hotel itu pasti memberi kelebihan kerana lokasinya bersambung dengan Terminal Feri The Zon.
Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi hotel tersebut, Elaina Tan berkata, The Zon Johor Bahru terbahagi kepada enam pecahan iaitu hotel, pusat beli-belah, pasar raya, zon bebas cukai, terminal feri dan zon hiburan.
“Kesemua bahagian itu saling melengkapi antara satu sama lain sekali gus memberi banyak kelebihan kepada tetamu yang menginap di hotel. Selain kemudahan yang kami sediakan di hotel, mereka bebas melakukan pelbagai aktiviti dalam kawasan seluas tujuh hektar ini,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: