|
BAGI pelancong yang pertama kali berkunjung ke Danxia, pasti sepasang mata terpaku dengan pemandangan yang menakjubkan. Limpahan warna-warna cerah yang menerangi segenap kawasan berkenaan bagaikan sebuah lukisan landskap tiga dimensi.
Namun, jangan keliru kerana ia bukanlah lukisan hasil kreativiti pelukis tersohor sebaliknya merupakan kawasan bukit-bukau semula jadi.
Pemandangan kawasan kelihatan seperti campuran warna-warna cat lukisan yang terdapat di atas palet warna yang digunakan pelukis.
Selain warna merah, serakan rona kuning dan tumbuh-tumbuhan hijau juga merupakan antara warna yang jelas kelihatan di kawasan tersebut.
Menariknya, bukit-bukau dan gunung yang terbentang luas di sana cukup berbeza dengan kawasan pergunungan lain di China seperti Gunung Langshan dan Gunung Wanfoshan yang terletak di Wilayah Hunan.
Bentuk muka bumi di Danxia terdiri daripada batu-batu berpasir berwarna merah di bahagian puncak dan lereng bukit. Ia terbentuk kira-kira 24 juta tahun dahulu. Selain itu, Danxia yang berpangkalan di selatan China mempunyai lapisan petrografi geomorfologi berwarna-warni. Pemandangan tersebut hanya boleh dilihat di negara China.
Pasir-pasir merah yang mewarnai bukit Danxia terhasil daripada hakisan air dan angin kuat yang melanda kawasan tersebut.
Selain itu, ia juga terbentuk daripada hasil pengoksidaan antara air dan angin dalam suhu panas dan kering di situ.
Danxia telah berjaya merangkul anugerah Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1 Ogos 2010 disebabkan bentuk muka bumi di sana mempunyai keunikan tersendiri.
Ciri-ciri unik yang dikenal pasti ialah pembentukan gua pelbagai saiz dan bentuk. Bertambah unik kebanyakan gua yang wujud di kawasan bukit tersebut bersaiz kecil dan terpencil. Ia berbeza dengan gua yang terdapat di wilayah China yang lain.
Pakar geologi berpendapat formasi fizikal warna-warni yang dapat dilihat di kawasan tersebut terjadi disebabkan oleh aktiviti orogeni yang berlaku pada 24 juta tahun lalu. Pergerakan orogeni merujuk pada perubahan bentuk litosfera bumi yang disebabkan oleh pergerakan plat tektonik alam semula jadi.
Perubahan yang terbentuk di kawasan tersebut ternyata telah menarik minat pelancong untuk ke negara China. Laluan pejalan kaki turut dibina oleh pihak berkuasa China bagi memudahkan pelancong untuk menikmati panorama bukit berwarna-warni itu.
Formasi lapisan pasir yang berwarna merah pada bukit itu juga seolah-olah disusun dengan rapi. Selain itu, terdapat penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.
Mereka menggunakan dua laluan utama di kawasan tersebut untuk ke dua kawasan di perkampungan Nantaizi, Nijiaying hingga ke Zhanye.
Kawasan itu juga popular dalam kalangan pelancong yang sering berkunjung ke China. Mereka boleh berjalan menikmati pemandangan atau menaiki bot di kawasan tasik untuk mengelilingi kawasan itu.
Selain itu, pelancong bukan saja berpeluang mengunjungi kuil Shaolin malah dapat mendalami kehidupan masyarakat Shaolin yang terkenal dengan seni mempertahankan diri iaitu kung fu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: