|
BENARLAH kata pepatah, ‘Pahlawan merupakan orang yang berjasa kepada negara.’ Kesanggupan para perajurit mempertaruhkan jiwa raga demi mempertahankan kedaulatan tanah air merupakan jasa yang cukup besar kepada negara dan tidak perlu dipertikaikan.
Semangat juang serta keberanian anggota pasukan keselamatan yang bertugas di perbatasan contohnya Ops Daulat, ketika ini menjadi pembakar semangat buat ahli Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Sains Malaysia (USM).
Biarpun peluang mereka untuk berbakti kepada negara masih belum tiba, tetapi seperti kata strategis pemikiran Cina kuno, Tsun Tzu, ‘Adalah lebih baik berlatih semasa aman agar bersedia untuk berperang.’
“Siswa-siswi Palapes perlu merasakan peranan mereka sebagai salah satu barisan untuk mempertahankan negara,” tegas komandannya yang juga Naib Canselor USM, Kolonel (K) Profesor Datuk Omar Osman.
Omar berkata, semangat juang wira-wira negara di Lahad Datu, Sabah wajar dijadikan inspirasi kepada ahli-ahli Palapes.
Menurut beliau, salah seorang wira negara yang terkorban di Lahad Datu iaitu Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, adalah siswazah Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan 1998 di USM.
“Kita turut merasa kehilangan beliau. Siswa-siswi Palapes sebenarnya adalah barisan kedua pertahanan negara yang dilatih dengan ilmu peperangan memainkan peranan sama ada pada waktu aman atau darurat sama seperti anggota tentera,” ujarnya.
Omar berkata demikian semasa meninjau Latihan Lanjutan Palapes Darat USM yang diadakan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah baru-baru ini.
Latihan selama lima hari itu disertai 187 pegawai kadet dan pegawai sukarela Wataniah universiti berkenaan melibatkan kemahiran menembak senjata pelancar grenad, mesingan dan menembak di lorong hutan serta ujian membaca peta.
Dalam latihan itu, setiap pegawai kadet Palapes diajar cara-cara menembak sasaran menggunakan peluru hidup seperti peluru letupan kuat kaliber 40 mm bagi pelancar grenad M203 yang ditembak sejauh 80 meter.
Mereka juga didedahkan dengan latihan menembak raifal M-16 pada waktu malam berpandukan cahaya suaran yang ditembak ke udara.
Turut serta dalam latihan itu ialah Timbalan Komandan Palapes Darat USM, Leftenan Kolenal Profesor Ibrahim Jaafar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: