JIKA berkunjung ke taman rekreasi, pemandangan orang yang berbasikal bukanlah asing. Namun, ada kelainan dalam Festival Jalanan Showdown, 8TV di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini apabila sekumpulan penunggang basikal menyajikan pelbagai aksi menarik.
Ada yang membuat pusingan, melompat tinggi di udara dan menunjukkan skil-skil bebas yang sukar sambil mengayuh basikal.
Sekitar pukul 5.30 petang, orang ramai mula mengerumuni ruangan BMX untuk menyaksikan aksi Zafrin Shah Sabikin, 28, dan rakan-rakannya daripada kumpulan Ground Vapours.
Aksi mereka mengayuh basikal BMX dengan menggayakan lagak gaya bebas mengujakan para penonton kerana jika salah percaturan pasti berbekas parut pada anggota badan.
Sebenarnya, sukan BMX sudah terkenal di luar negara sejak tahun 1980-an dan mula menyerap masuk ke Malaysia sekitar awal tahun 90-an.
Pada waktu itu, terdapat dua jenis suka BMX iaitu Old Skool dan New Skool. Old Skool merupakan aksi berbasikal di tanah lapang tanpa menggunakan tanjakan (ramp).
|
Tanjakan pula mempelopori aksi New Skool dengan pusingan dilakukan di udara apabila basikal pada kelajuan yang tinggi dan menongkah ke langit.
Latihan berkala
Setiap kali kayuhan BMX oleh Zafrin melontar ke udara dan seterusnya tayar mendarat ke lantai pasti mengundang debaran dalam kalangan penonton.
Bermula di Batu Pahat, Johor, Zafrin berlatih secara perlahan-lahan melalui tontonan video dan majalah BMX, Ride BMX. Ketika itu, dia baru sahaja berusia 16 tahun.
Tiada cara lain untuk mahir dalam sukan itu, hanya latihan secara berterusan dan berkala boleh menajamkan kemahiran seseorang. Lazimnya, penunggang basikal BMX dikenali sebagai rider.
Kecederaan sudah menjadi makanan ruji bagi Zafrin. Seingatnya kejadian yang paling teruk berlaku ketika dia menyertai sebuah pertandingan di Singapura pada tahun 2008.
|
“Saya berada di hospital selama sehari. Kecederaan saya agak teruk, tapi disebabkan kos perubatan di sana sangat mahal saya tidak boleh tinggal lama di wad,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas melakukan persembahan.
Kemudian Zafrin berehat beberapa bulan di rumah sebelum kembali beraksi dengan BMX kesayangannya.
Dia yang masih bujang dengan pantas menjawab, mahu anak-anaknya mempelajari sukan yang diminatinya apabila sudah berkeluarga kelak.
Dalam pada itu, Zafrin mengakui, meskipun sukan BMX sudah diterima ramai di luar negara, namun hakikatnya sukan berkenaan masih belum mendapat impak positif di Malaysia.
“Ini disebabkan masyarakat tempatan menganggap BMX sejenis aktiviti rekreasi bukan sukan,” ungkapnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: