Sunday, May 19, 2013

Sebuah legasi untuk dikenang


PEREKA fesyen, Taufik (kiri, gambar kiri sekali) mendapatkan ukuran tepat bagi memastikan yang terbaik untuk busana Jamal serta penyanyi lelaki lain menjelang konsert 30 Mei nanti.


JAMAL ABDILLAH memilih tarikh 30 Mei sebagai malam pembukaan untuk sebuah konsert khusus untuk menghargai seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sehari sebelum tarikh berkenaan, 29 Mei dikenang sebagai hari bersejarah dalam kalendar seni negara sebagai tarikh memperingati empat dekad hilangnya seorang seniman dan budayawan bangsa, P. Ramlee.
Masih menoleh ke belakang melihat P. Ramlee sebagai ikon yang harus dicurahkan setinggi penghargaan, Jamal mempunyai pendirian tersendiri. Bukan tidak melihat ke depan atau sekadar menghargai tokoh orang yang telah lama meninggal dunia, tetapi baginya P. Ramlee ialah figura seni yang bukan hanya untuk dikenang hari ini atau esok tetapi harus dikenang sampai bila-bila.
"Sebagai anak seni seperti saya, saya melihat P. Ramlee sebagai insan seni yang harus dikenang oleh bangsa kita. Kita tidak mempunyai ramai orang hebat seperti P. Ramlee. Semesti kita perlu terus menghargai beliau. Saya cuma mengiktiraf P. Ramlee dengan cara dan bakat yang saya miliki.
"Dan saya tahu, setinggi mana pun penghargaan yang saya cuba berikan, kerja membikin konsert ini juga serampang dua mata. Akhirnya, gagal atau berjaya ia akan berpatah balik kepada saya. Dalam masa yang sama, konsert itu juga mungkin meninggalkan legasi saya sendiri," kata Jamal saat ditanya tentang agenda peribadinya dalam membikin sebuah konsert besar yang diberi nama Konsert Ekstravaganza P. Ramlee Jamal Abdillah.
Diadakan selama empat malam berakhir 2 Jun di Istana Budaya, Jamal kali ini tidak muncul solo sebaliknya mengundang empat orang penyanyi jemputan sebagai pelengkap kepada konsep konsert berkenaan.
"Bukan kerana saya tidak mampu menangani sebuah konsert tanpa penyanyi undangan tapi kali ini, memang lagu-lagu P. Ramlee itu sendiri memerlukan penyanyi lain untuk seiring dengan saya. Beliau ada banyak lagu duet dan berkumpulan. Semasa konsert nanti, terdapat satu segmen yang akan menampilkan saya bersama sebuah kumpulan, macam Panca Sitara.
"Saya juga ada segmen duet dan artis-artis jemputan juga bukan calang-calang. Nama-nama yang dipilih seperti Musly Ramlee, Azlina Aziz, Nas Adila Najwa Nasir dan Isma Aliff. Mereka itu cukup sinonim dengan lagu-lagu P. Ramlee. Najwa pula cucu kepada P. Ramlee yang bakatnya cukup besar," jelas Jamal yang meluangkan masa selepas sesi pemadanan baju-baju tajaan konsertnya di Taufik & Tailor yang terletak di Taman Ukay Heights, Ampang pada Isnin lalu.
MENERUSI syarikatnya Bintang Channel, Jamal berhabis sekitar RM500,000 demi konsert di Istana Budaya itu.


Sebagai satu kelainan kepada konsertnya, buat kali pertama Jamal bekerjasama dengan pihak Arkib Negara untuk memaparkan semula detik-detik pilu saat negara diberitahu tentang kehilangan P. Ramlee.
"Selain video pengumuman tentang kematian P. Ramlee, secara eksklusifnya penonton konsert itu nanti akan dipertontonkan rakaman saat jenazah P. Ramlee diusung ke tanah perkuburan. Saya juga akan merakamkan kerja-kerja membersihkan pusara P. Ramlee selepas berlaku kejadian pokok tumbang di sekitar pusara Allahyarham baru-baru ini," katanya yang akan menyelitkan banyak adegan daripada filem-filem P. Ramlee sepanjang mendendangkan lebih 30 lagu menjelang konsertnya nanti.
Selain mengetengahkan 55 pemuzik orkestra yang dipimpin oleh Leonard Yeap, Jamal turut memberi sentuhan kepada susunan asal lagu-lagu P. Ramlee yang akan dinyanyikan kelak.
"Sebenarnya tidak banyak yang boleh diubah. Saya masih mahu mengekalkan muzik dan melodi lagu-lagu berkenaan. Apa yang boleh saya lakukan ialah 'membesarkan' dan menaikkan nada kepada melodi sedia ada," ujar Jamal yang menjadualkan latihan konsertnya akan bermula sepenuhnya pada 15 Mei nanti.
Tiket-tiket Konsert Ekstravaganza P. Ramlee Jamal Abdillah dijual dengan harga RM58 sehingga RM458. Tiket boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz serta kaunter tiket yang terdapat Istana Budaya, Pusat Dagangan Dunia Putra serta Restoran Saloma, Jalan Ampang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: