|
LAGU Rembau Most Wanted yang sedang hangat diputarkan di corong-corong radio ketika ini pasti membuatkan banyak pihak teringin untuk menjenguk Rembau yang merupakan salah sebuah daerah di Negeri Sembilan.
Lagu tersebut merupakan dendangan anak jati Rembau iaitu Muzzammil Alias, 24, atau lebih dikenali dengan panggilan W.A.R.I.S. Lirik lagunya menyentuh mengenai kehidupan masyarakat kampung di Rembau selain memberi informasi mengenai amalan Adat Perpatih di negeri tersebut.
Bait-bait lirik The food gonna make your tongue blaze pada permulaan lagu itu juga menggambarkan keunikan dan keaslian hidangan tradisional Negeri Sembilan yang terdapat di daerah itu.
Restoran Rembau Ria yang terletak di Jalan Rembau-Tampin membuktikan kebenaran bait lirik itu. Mula beroperasi sejak 15 tahun lalu, restoran tersebut menyajikan lebih 30 jenis hidangan tradisi Negeri Sembilan terutamanya untuk hidangan makan tengah hari.
Hidangan seperti daging dan ikan sembilang salai masak lemak cili padi, pucuk ubi tempoyak malah paling istimewa rendang Rembau pasti menepati cita rasa pelanggan yang mahu menikmati sajian asli Negeri Sembilan.
Lokasinya terletak kira-kira 10 minit dari Plaza Tol Pedas, Linggi dan 30 minit dari Seremban.
Pemilik restoran, Norazizah Daud, 47, memberitahu, setiap hidangan di situ merupakan olahan resipi suaminya, Bidin Ali, 55. Ia mengikut cita rasa masyarakat tempatan tanpa mengetepikan keaslian setiap sajian.
“Rendang Rembau merupakan hidangan yang wajib dicuba kerana rasanya berbeza dengan rendang di tempat lain. Ia dimasak tanpa menggunakan minyak dan santan serta mengambil masa beberapa jam untuk dimasak. Pucuk ubi merupakan antara bahan utama yang diletakkan dalam resipi rendang itu.
“Selain itu, pelanggan boleh mencuba pencuci mulut seperti tapai dan kuih sepang iaitu sejenis kuih tradisi di Negeri Sembilan,” ujar pemilik restoran yang telah mendapat sijil pengiktirafan Premis Makanan Pilihan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tahun lalu.
Sejarah Rembau
Nama asal Rembau diambil sempena sebatang pokok merbau tua yang telah ditebang pada awal abad ke-16 iaitu sebelum tahun 1540 di kawasan yang dahulunya dipanggil Penagim. Ketinggian pokok tersebut dikatakan mampu mencecah awan ketika cuaca mendung.
Ketika pokok itu ditebang, ia tumbang ke arah utara iaitu di kawasan padi dan ia dibiarkan sahaja selama ratusan tahun. Mengambil kisah keajaiban pokok itu, penduduk menamakan kawasan itu daripada Penagim kepada Merbau. Disebabkan terdapat kekeliruan penduduk mengenai nama kampung dengan spesies pokok itu, lalu ia ditukar kepada Rembau.
Kolam air panas
Di daerah yang sinonim dengan jolokan daerah beradat itu, terdapat kolam air panas yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong mahupun penduduk setempat. Kolam air panas Chengkau terletak kira-kira 10 minit dari bandar Rembau dan ia dibuka percuma untuk orang ramai.
Menurut penjaga kolam itu, Abu Hassan Ujang, 53, dua kolam air panas Chengkau itu dimiliki oleh datuknya iaitu Cikgu Hassan, 98, yang tinggal di Kampung Mayon.
Tuturnya, air panas yang terhasil daripada kerak bumi itu mempunyai kepanasan kira-kira 30 hingga 31 darjah Celcius dan ia elok bagi mengubati individu yang mempunyai penyakit kulit.
Seorang penduduk tempatan, Rashid Hamid, 60, berkongsi pengalaman, dia dan isterinya berkunjung ke kolam tersebut tiga kali seminggu terutamanya pada waktu tengah hari.
“Berendam atau mandi air kolam ini mampu memecahkan kandungan kolesterol di dalam badan. Berat badan isteri saya turun sebanyak tiga kilogram usai mandi air panas di kolam baru-baru ini,” ujarnya yang memberitahu kolam itu dibuka secara percuma.
Adat Perpatih
Bagi mendapat informasi lengkap mengenai Adat Perpatih, anda boleh berkunjung ke Muzium Replika Istana Raja Melewar yang terletak di Kampung Astana Raja dan ia mengambil masa kira-kira 15 minit dari bandar Rembau.
Staf muzium, Norizan Mohd. Nor, 49, memberitahu, muzium berkenaan menyediakan informasi lengkap mengenai Adat Perpatih di Negeri Sembilan terutamanya peralatan, majlis-majlis rasmi Datuk Undang, pertunangan dan perkahwinan.
“Pentarakna merupakan tempat duduk rasmi Datuk Undang di Rembau. Di muzium ini, pengunjung dapat melihat secara lebih dekat dekorasi dan susun atur majlis-majlis rasmi di Balai Datuk Undang.
“Replika singgahsana Datuk Raja Melewar iaitu Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama ternyata menarik perhatian pengunjung. Singgahsana yang dilengkapi dengan tujuh kain cindai itu sama seperti yang terdapat di Pagar Ruyung, Indonesia,” ujarnya.
Berdekatan dengan kolam air panas Chengkau, kelihatan papan tanda menggunakan tulisan dialek Negeri Sembilan, ‘TOLO 20 sen sebijik’ yang terdapat kira-kira satu kilometer dari kawasan itu.
Telur Ayam
Strategi Zulkefli Bidin, 43, dalam mempromosikan perniagaan telur ayam pelbagai gred itu ternyata menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui Jalan Rembau-Tampin untuk singgah di premisnya.
Menurut pemilik syarikat Zul Tolo itu, dia mula menjalankan perniagaan telur ayam itu sejak lima tahun lalu di hadapan rumahnya yang terletak di Chengkau. Setiap hari, kira-kira 18,000 biji telur terdiri daripada enam gred berbeza dijual kepada pelanggan. Syarikat itu juga menjual telur ayam gred AA serta AAA yang mempunyai dua dan tiga kuning telur di dalam sebiji telur. Saiznya juga lebih besar daripada telur ayam gred biasa yang terdapat di pasaran.
“Zul Tolo juga menawarkan telur ayam kampung yang berprotein tinggi pada harga 40 sen sebiji,” ujarnya yang memperoleh bekalan tersebut secara pukal di sekitar Negeri Sembilan.
Produk kristal
Bagi yang meminati barangan perhiasan kristal, Rembau Crystal Sdn. Bhd. merupakan destinasi wajib dikunjungi untuk mendapatkan oleh-oleh.
Galeri perhiasan kristal yang dimiliki sepenuhnya oleh Yayasan Negeri Sembilan itu terletak di Jalan Mulia, Perkampungan Kristal berdekatan dengan Stesen Kereta Api Rembau.
Bakal dibuka dalam beberapa minggu lagi, ia beroperasi di dalam rumah tradisi Minangkabau.
Galeri itu menjual dua jenis teknik penghasilan kristal iaitu anyaman kaca atau borosilikat untuk menghasilkan perhiasan meja, piala dan cenderamata.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: