Saturday, May 25, 2013
Percutian ala kampung di Cherating
KEMERDUAN alunan desiran ombak, bunyi daun kering bergeseran dan unggas bersahut-sahutan pasti membuai lamunan anda yang mendambakan percutian impian.
Bayangkan pula anda berada di tepi pantai yang memutih dan laut nan biru sambil dikelilingi pepohon kelapa yang melambai.
Impian berlibur sebegitu boleh dinikmati sekiranya berkunjung ke Tanjung Inn Villa de Fedelia. Terletak di Kampung Cherating Lama, Kuantan, Pahang, calet itu disusun atur seperti sebuah perkampungan kecil dengan seni bina rumah Melayu tradisional.
Suasana kampung menjadi taruhan pemiliknya, Abdul Haiyum Abdul Hamid , 60, untuk menyediakan suasana damai persis sebuah desa kepada pengunjungnya.
Calet tersebut pasti menjanjikan pengalaman percutian yang bakal terakam kemas dalam ingatan.
Sebaik melangkah masuk ke pekarangan calet itu, hati tercuit melihat pasangan suami isteri ‘Mat Salleh’ mengenakan kain pelikat dan berbaju kelawar ketika bersantai di ruang rehat disediakan.
Pasangan tersebut kelihatan selesa berpakaian seperti penduduk tempatan dan mesra bertegur sapa dengan pengunjung. Lagaknya tidak ubah seperti tuan rumah yang mengalu-alukan kedatangan tetamu.
Pengurusnya, Ismail Abdul Haiyum, 34, berkata, terdapat 21 unit calet daripada empat pilihan pakej penginapan ditawarkan kepada pelanggan sesuai untuk seisi keluarga.
Pengunjung boleh memilih untuk menginap di bilik yang dilengkapi kipas atau pendingin hawa dengan kadar harga sewaan yang berbeza.
Lebih menarik, kesemua calet dibina berkonsepkan rumah kayu yang dilengkapi bilik tidur, ruang tamu serta balkoni.
Menghabiskan cuti
Dalam pada itu, pasangan pelancong anak-beranak dari Belanda mengakui jatuh cinta dengan suasana persekitaran calet yang sunyi di Tanjung Inn Villa de Fedelia.
Machteld Veldhuizen, 48, memberitahu kunjungannya kali kedua ke calet tersebut sebenarnya ingin membawa ibunya, Roni Kroonenberg, 73, pulang ke Belanda setelah menghabiskan cuti musim sejuk selama tiga bulan di calet itu.
“Selain pantai Cherating yang cantik, kami menyukai suasana kampung yang tenang, cuaca dan penduduknya yang mesra.
“Walaupun calet ini berformatkan bed and breakfast, namun terdapat beberapa buah restoran berdekatan yang menyajikan hidangan tradisional yang lazat dan menyelerakan,” katanya sambil tersenyum.
Tambah menarik, penginap boleh menghayati pemandangan taman dan kolam ikan buatan dari jendela atau balkoni masing-masing.
Pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti melihat hidupan liar di hutan paya bakau berhampiran, berkayak dan snorkeling di Pulau Ular.
Calet tersebut juga terletak berhampiran lokasi melihat kelip-kelip di Sungai Cherating yang dikelolakan oleh Hafiz’s Cherating Activities.
Jika anda dari Kuala Lumpur, tempoh pemanduan memakan masa kira-kira empat jam untuk tiba ke calet tersebut. Perkhidmatan bas dan penerbangan domestik juga boleh digunakan bagi memudahkan anda sekeluarga menikmati percutian hujung minggu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: