Friday, May 10, 2013

'3R' Cari Hos Baharu Selepas 3 Tahun Menyepi

3R mencari wajah baru sebagai hos program tersebut.
PETALING JAYA: Selepas tiga tahun tidak bersiaran, program yang mengetengahkan isu-isu berkaitan kaum wanita iaitu 3R (Respek, Relaks, Respon) akan melakukan uji bakat untuk mencari personaliti baharu bagi mengacarakan program tersebut.
Sebelum ini, 3R dihoskan oleh Azah Yasmin Yusof, Rafidah Abdullah, Low Ngai Yuen, Kartini Ariffin dan Celina Khor.
Penerbit Eksekutif Bersama, Red Comunication Sdn Bhd, Lina Tan, berkata, menerusi pencarian tersebut, pihaknya akan mengadakan sebuah program realiti khas iaitu Projek 3R di mana seramai 12 orang finalis dipilih menyertai ke program itu dan hanya tiga peserta akan menjadi pemenang sebagai hos baru 3R.
"Tidak dinafikan, Azah, Yuen, Kartini, Celina dan Rafidah telah menjadikan 3R sebagai sebuah jenama yang kukuh di hati penonton. Oleh itu, kami juga ingin mencari wajah baru yang memiliki faktor ‘X’ seperti mereka.
"Kami juga ingin mencari wanita muda yang mempunyai pendirian, idea dan sentiasa peka dengan isu-isu sosial. Bukan sekadar rupa paras semata-mata," katanya.
Tambah Lina, sebagai generasi muda yang bertanggungjawab dalam pembangunan kemasyarakatan, hos baharu yang dicari itu perlu berani menyahut cabaran dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri.
Hos 3R sebelum ini dari kiri: Kartini, Rafidah, Azah dan Yuen.
Bagi yang berminat dalam pencarian hos 3R, bolehlah melayari laman web www.3r.com.my untuk pendaftaran dan informasi lanjut.
3R telah bermula pada tahun 2000, disiarkan di TV3 dan Astro Ria selama 14 musim dengan keseluruhannya 182 episod.
Sementara itu penerbit eksekutif 3R, Datin Paduka Marina Mahathir berkata walaupun program ini tidak aktif dalam tempoh masa yang agak lama, dia percaya 3R masih lagi relevan untuk tontonan remaja kini.
"Dalam program ini kita sering membincangkan isu-isu sosial khususnya berkaitan kaum wanita dan saya rasa masalah yang dilalui kaum wanita pada zaman dahulu dan sekarang tidak banyak bezanya.
"Cuma daripada segi pendekatannya sahaja yang berbeza, di mana kebanyakannya lebih banyak berkaitan dengan unsur-unsur siber.
"Pihak kami juga akan menyediakan ruang untuk meluahkan pendapat atau masalah menerusi laman web serta Facebook kami dan di situ, kita juga lebih mudah mengikut trend masalah yang dihadapi oleh golongan muda sekarang," ujarnya.
Projek 3R yang memaparkan pemilihan hos akan disiarkan bermula 24 Ogos depan setiap hari Sabtu pukul 6 petang.
Musim terbaharu 3R sebanyak 13 episod pula akan mula bersiaran pada 20 Oktober 2013, setiap Ahad pukul 7.30 petang. Kedua-dua program berkenaan disiarkan di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: