Saturday, February 9, 2013

Vespa LX150 edisi Apple

ATAS: Simbol buah epal yang digunakan pada tahun 1969 kini ditampilkan pada bahagian hadapan Vespa moden.



DARI Kiri: Pemangku Naza Premira, Terrence Duncan, SM Faisal dan Naib Presiden Two Wheel Division Kumpulan Naza, Nik Danial Nik Mahmood pada majlis pelancaran model edisi terhad LX150 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


NAZA Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira) baru-baru ini menambah pilihan produk skuter Vespa sedia ada menerusi pelancaran varian LX150 edisi Apple untuk pelanggan tempatan. Hanya 168 unit jentera jenama Itali itu ditawarkan di Malaysia.
Naza Premira merupakan pengedar rasmi skuter jenama Vespa di Malaysia.
Untuk makluman, LX150 edisi Apple itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat pengeluar gajet dan peranti pintar iaitu Apple Inc.
Edisi Apple itu diperkenalkan bagi memperingati kempen pengiklanan paling popular di Itali pada tahun 1969. Slogan kempen itu dalam bahasa Itali pada ketika itu ialah Chi Vespa mangia le mele (If you ride a Vespa, you take a bite of the Apple).
Buah epal dipilih kerana dikatakan merupakan simbol untuk kesihatan, muda, berkhasiat dan dikehendaki ramai. Individu di sebalik ciptaan slogan itu ialah Gilberto Filippetti daripada agensi pengiklanan Leader di Florence, Itali.
Kempen pengiklanan itu digunakan untuk pengenalan model Vespa 50 Special pada tahun 1969. Ia tepat pada masanya kerana pada ketika itu seramai 16 juta golongan muda di Itali memerlukan sebuah kenderaan untuk mobiliti. Era itu adalah masa peralihan Itali ke arah pembentukan sebuah negara perindustrian.
Malaysia merupakan negara kedua selepas Vietnam untuk menawarkan Vespa LX150 edisi Apple. Produk keluaran kilang di Hanoi, Vietnam itu hanya didatangkan dalam warna putih.
Sentuhan kosmetik membabitkan grafik epal pada kedua-dua sisi skuter dan bahagian hadapan. Pelana jentera bersesaran 150cc itu diberi pengenaan dua tona merah putih beserta satu logo epal kecil.
Lima cawangan baharu
Enjin LX150 jenis empat lejang sejukan udara dengan transmisi automatik itu mampu menghampurkan kuasa sehingga 11.66hp @ 7,750rpm dan kuasa kilas 11.5Nm @ 6,000rpm. Berat kering jentera adalah 110 kilogram dan berupaya mencapai kelajuan maksimum 95 kilometer sejam.
Untuk memberhentikan jentera, kedua-dua roda menggunakan khidmat brek cakera bersaiz 200 milimeter (mm) di hadapan dan drum di belakang (110mm). Ada dua cara menghidupkan Vespa LX150 iaitu sama ada melalui butang pemula atau penendang kaki.
"Vespa merupakan skuter gaya hidup yang digemari di negara ini. Sebanyak 1,000 unit varian Vespa telah dijual pada tahun 2012," kata Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.
Unjuran jualan tahun ini adalah sebanyak 2,000 hingga 3,000 buah. Bagi merealisasikan sasaran tersebut, Naza Premira bakal membuka lima cawangan baharu di Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Sarawak pada tahun ini.
Buat masa ini, terdapat dua bilik pameran Vespa iaitu masing-masing di Petaling Jaya dan Kota Damansara di Selangor.
Vespa LX150 edisi Apple ditawarkan pada harga atas jalan RM11,388 seunit. Sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina, anda kini boleh memiliki sebuah skuter LX150 pada harga RM8,888 sebuah (harga asas). Stok adalah terhad dan promosi hanya sah sehingga 28 Februari 2013.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: