KIRA-KIRA 40 hingga 60 juta kilogram tayar pelbagai saiz dilonggokkan di sebuah bandar yang terletak 80 kilometer dari selatan Madrid, Sepanyol. Kawasan lapang di bandar Sesena itu menjadi pusat buangan tayar kereta dan trak yang sebahagiannya masih dalam keadaan baik.
"Ia amat menyakitkan mata dan memusnahkan keindahan alam sekitar. Kekotorannya dapat dilihat dengan jelas dari lebuh raya menghala ke Andalusia," ujar aktivis, Vicente Garcia de Paredes, yang berkhidmat untuk sebuah kumpulan pejuang alam sekitar di Sepanyol, Ecologists in Action.
Menurut Datuk Bandar Sesena, Carlos Velazquez, timbunan tayar itu mula terjadi pada tahun 1990-an ketika sebuah syarikat menggunakan lokasi tersebut sebagai tapak longgokan sementara tayar sebelum dikitar semula.
Bagaimanapun, jumlah tayar kemudiannya meningkat dari tahun ke tahun. Berjuta-juta tayar terkumpul di kawasan berkeluasan 10 hektar itu yang kini menjadi kediaman arnab liar. Kawasan itu juga masih diselia pengawal keselamatan.
Golongan pencinta alam sekitar memberi amaran bahawa penyakit yang dibawa nyamuk mungkin tersebar ekoran air bertakung yang terbentuk di dalam ruang kosong tayar-tayar tersebut.
|
Penduduk bandar Sesena juga bimbang terhadap kemungkinan timbunan barangan getah itu untuk terbakar.
Kata Velazquez: "Tayar yang dibuang ke sini akan kekal dan tiada satupun tayar dibawa keluar. Sekiranya ia terbakar, memang sukar untuk memadamkannya.
"Barang buangan itu terkumpul sedikit demi sedikit. Syarikat yang bertanggungjawab itu pula tidak memiliki lesen meninggalkan tayar-tayar tersebut tetapi inilah kenyataannya."
Abai pengurusan
Selepas tapak buangan itu diharamkan pada tahun 2003, syarikat yang menyelia operasi buangan itu telah diheret ke mahkamah dan terus mengabaikan pengurusannya.
Pada tahun 2010, hakim memutuskan bahawa tayar-tayar tersebut adalah bahan buangan terbiar dan tugas membersihkannya terletak pada bahu majlis perbandaran.
"Kawasan tersebut hanya terletak 500 meter dari bandar yang mempunyai penduduk seramai 10,000 orang. Lebih menakutkan apabila mengetahui bahan buangan itu mudah terbakar," tutur Vicente Garcia.
Garcia turut menunjukkan sebuah kawasan perumahan yang terletak di pinggir bandar. Jelasnya, pihak pemaju telah membina perumahan itu ketika industri pembangunan Sepanyol sedang berkembang pada penghujung tahun 1990-an.
Ia bertujuan menarik ribuan orang bagi membeli rumah di situ. Namun hari ini, Sesena seperti bandar hantu yang melambangkan kejatuhan ekonomi Sepanyol bermula tahun 2008.
Seperti yang diberitahu Velazquez, dewan perbandaran telah menandatangani perjanjian bersama sebuah syarikat berpangkalan di Senegal yang akan melakukan kerja-kerja pembersihan tayar selama tiga tahun.
Syarikat tersebut akan menggunakan mesin bagi memecahkan tayar-tayar itu sebelum pecahan-pecahan kecilnya dihantar ke pusat kitar semula.
Tayar terpakai itu berkemungkinan dijadikan bahan pembinaan untuk jalan raya, trek sukan dan taman permainan kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: