Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 26, berkata, dia tidak pernah menganggap hubungannya dengan Neelofa bermasalah walaupun timbul pelbagai spekulasi kononnya mereka bermasam muka sebelum ini.
“Saya tiada apa hendak komen kerana memang tidak pernah anggap ada masalah antara kami. Saya seorang yang profesional dan terbuka,” ulasnya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad.
Tasha berkata demikian sebagai respons kepada pengakuan Neelofa bahawa mereka bertembung buat pertama kali ketika siaran rancangan Wanita Hari Ini pada minggu lalu di TV3, sejak kes salah faham sebelum ini.
Ujar Neelofa, dalam pertemuan singkat itu, mereka sempat berbual dan dia memohon maaf kepada Tasha atas komen yang diberikan berhubung kejayaan aktres itu sebagai Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH) menerusi sebuah akhbar mingguan.
Ditanya mengenai hal itu, Tasha berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut kerana enggan kes itu berlanjutan.
Beralih pada kerjaya, Tasha dia berharap drama bersiri terbaharu lakonannya iaitu Rindu Bertamu Di Abu Dhabi akan memberikan impak tersendiri.
Tasha yang menggalas watak Ain Farohah berkata, sub-plot dan konflik yang berlainan pada setiap episod menjadikan jalan ceritanya menarik perhatian penonton kelak.
“Saya tak nak anggap ia (drama) akan jadi fenomena atau pun tidak tetapi saya yakin jalan cerita yang menarik ini akan membuatkan penonton tertunggu-tunggu pada setiap episod,” katanya.
Drama bersiri 28 episod terbitan Zeel Production akan ditayangkan bermula hari ini pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3.
Sebuah lagi telefilem lakonannya berjudul Cinta Burj Al Khalifa pula akan menyusul pada pukul 10 malam ini di Astro Prima (saluran 105).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: