Siti, 34, berkata, niatnya memakai tudung adalah ikhlas seperti mana dituntut oleh agama Islam dan bukan kerana faktor-faktor lain.
"Saya tidak pernah terfikir untuk bertudung kerana politik tetapi berniat untuk menutup aurat telah lama dibuat dan Alhamdulillah pada ulang tahun ke-34 Januari lalu hati saya telah dibuka Allah untuk berbuat demikian," jelasnya kepada mStar Online.
Siti turut menjelaskan setakat ini belum ada pihak daripada mana-mana parti politik yang memintanya untuk menyampaikan ceramah di majlis-majlis tertentu dan tidak berniat untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, Siti turut menjelaskan komennya mengenai kehadiran penyanyi dari Korea Selatan, Psy yang terkenal dengan lagu Gangnam Style di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang baru-baru ini hanya pandangannya sebagai anak seni dan rakyat biasa.
Siti menjelaskan beliau tidak pernah menolak kedatangan artis dari luar negara ke Malaysia namun pada masa sama artis tempatan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
"Saya menghargai bakat-bakat dari luar negara malah tidak pernah menolak kehadiran mereka ke Malaysia namun pengiktirafan terhadap artis tempatan tidak boleh dipandang ringan.
"Alangkah baiknya jika ada pihak yang sanggup menaja untuk persembahan artis tempatan dengan nilai sama dan saya yakin bakat-bakat tempatan tidak kurang hebatnya," jelasnya.
Siti juga berharap komen tersebut tidak dikaitkan dengan politik kerana ulasan tersebut sebagai luahan dan pandangannya sebagai anak seni yang telah lama berkecimpung dalam dunia nyanyian.
Dalam perkembangan lain, Siti akan muncul dengan persembahan Memori Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza bersempena Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 11 April depan.
Ia adalah persembahan pertama penyanyi itu selepas beberapa bulan berehat untuk menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya di New Zealand pada 13 Disember lalu.
Tiket dijual pada harga RM3,00 hingga RM5,00 untuk sebuah meja dan RM350 hingga RM550 untuk seorang.
Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket boleh menghubungi Farah Halim di 03-26889688 (sambungan 500) atau Rizal Van Geyzel di 03-26889688 (sambungan 253).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: