Saturday, February 16, 2013

Sardin bagus untuk tulang



KUALA LUMPUR – Kita sering mendengar dakwaan mengatakan bahan pengawet yang dicampur dengan sardin dalam tin memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Malah di internet heboh dakwaan tulang manusia akan menjadi rapuh sekiranya makanan kegemaran ramai itu diambil secara kerap.
Selain itu, ia juga dikaitkan dengan ketumbuhan fibroid kepada wanita.
Bagaimanapun, dakwaan itu diragui kebenarannya oleh Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. E. Siong Tee.
Menurutnya, ikan sardin dalam tin sebenarnya mempunyai kandungan kalsium tinggi yang diperlukan oleh tulang manusia.
“Kajian sains mendapati tulang ikan sardin dalam tin merupakan salah satu sumber kalsium yang baik untuk tulang selain produk tenusu.
“Setakat ini, makanan dalam tin tidak mempunyai sebarang risiko yang memudaratkan sekiranya bahan yang digunakan oleh pengeluar mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Selain sardin, katanya, amalan makan ikan bersaiz kecil seperti ikan bilis juga membantu meningkatkan kandungan kalsium yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Tambah Siong Tee, makanan dalam tin juga membantu memudahkan penyediaan hidangan diet bagi mereka yang sibuk dengan jadual harian.
Sementara itu, seorang pakar tulang, Dr. M. Ismail Maulut (gambar) memberitahu, masalah berkaitan dengan sendi dan tulang manusia berkait rapat dengan kandungan garam atau asid urik dalam makanan.
“Kandungan asid urik di dalam kebanyakan makanan dalam tin adalah minimum serta tidak bahaya kecualilah ia tidak diawet secara sempurna dan telah dijangkiti bakteria.
“Sebenarnya, makanan laut dan organ dalaman haiwan lebih berpotensi meningkatkan kandungan asid urik dalam darah yang menjadi punca serangan penyakit sendi berbanding makanan dalam tin,” katanya.
Antara makanan organ dalaman itu ialah paru, hati, limpa dan perut haiwan.
Menurut M. Ismail, makanan dalam tin mungkin memudaratkan jika kandungannya tercemar oleh bakteria jenis Clostridium Botulinum.
“Bakteria tersebut mudah ditemui pada tanah dan air yang kotor. Ia juga mudah menular dalam makanan dalam tin yang tidak diawet sempurna sehingga boleh menyebabkan sel-sel bakteria akan menghasilkan toksin yang boleh mengakibatkan keracunan kepada manusia,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: