|
SEJAK zaman persekolahan, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 35, sudah maklum dengan isu Palestin. Namun, pengetahuannya tentang Palestin tidak begitu mendalam.
Lima tahun lalu, penempatan rakyat Palestin di Gaza diserang dan dibom Israel. Kesan serangan itu, bangunan sekolah, kerajaan, rumah, gudang makanan dan perubatan di Gaza mengalami kemusnahan teruk selain ramai kanak-kanak terbunuh.
Apa yang mengecewakan, media-media antarabangsa bersikap berat sebelah berhubung laporan tragedi itu. Ketiadaan visual menyebabkan masyarakat antarabangsa kurang terkesan dengan tragedi itu terutama Barat.
"Kalau tengok Cable News Network (CNN) tiada visual kematian, laporan yang disiarkan juga hanya beberapa saat, malah hasil temu bual jalanan yang dilakukan kononnya orang ramai tidak nampak visual serangan tersebut.
"Macam mana boleh jadi begitu? Tiada laporan menyeluruh sedangkan insiden tersebut sangat besar. Biasanya, media antarabangsa kes kecil seperti tunjuk perasaan pun mereka beri liputan besar," kata Farrah yang ketika itu bekerja sebagai wartawan penyiaran di salah sebuah televisyen swasta di negara ini.
Serangan tersebut mencetuskan semangat jihad Farrah untuk menghulurkan bantuan, namun kerana dia tidak tahu caranya, hasrat itu terpendam begitu sahaja.
Tahun 2010 membuka lembaran baharu kepada Farrah apabila wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) berjumpa dengannya dengan menyuarakan hasrat menjadikan Farrah sebagai Ikon Tabung Palestin.
Bak kata pepatah, orang mengantuk disorongkan bantal. Pelawaan itu diterima dengan hati terbuka. Beliau menganggap Allah telah membuka jalan kepadanya untuk melakukan kerja-kerja jihad. Bagaimanapun, Farrah memberikan syarat-syarat tertentu kepada wakil Aman Palestin. Beliau enggan menerima sebarang bayaran.
Buka mata
Tahun lalu, impian tersebut tertunai apabila Farrah berpeluang mengunjungi Gaza sebanyak dua kali iaitu pada bulan April dan Disember. Kunjungan itu membuka mata Farrah tentang kehidupan sebenar 1.7 juta rakyat Palestin, keadaan negara dan semangat penduduknya menentang penjajahan Israel.
Serangan Zionis di bumi Gaza pada bulan Disember 2012 tidak seteruk tahun 2008 kerana Mesir memainkan peranan sehingga gencatan senjata berjaya dilakukan.
Walaupun begitu, Farrah tetap menganggap serangan tersebut dahsyat kerana ia memusnahkan masjid, rumah, stadium dan jabatan pendaftaran negara. Kemusnahan sebenar akibat serangan berkenaan tidak seperti yang digambarkan dalam siaran lintas langsung Al-Jazeera yang menyatakan serangan tersebut hanya mengenai tempat-tempat Hamas.
"Paling teruk terjejas ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Yahudi mahu hapuskan rekod-rekod orang Palestin dan kesan sejarah sekali gus menghapuskan bukti kehadiran umat Islam di situ," katanya yang juga pengarah dua buah syarikat iaitu Miracle Media (M) Sdn. Bhd. dan Najjah Boutique (M) Sdn. Bhd.
Misi Solidariti Gaza 2012 anjuran Aman Palestin berkunjung ke Gaza selama lapan hari bermula pada 5 hingga 13 Disember lalu. Dalam misi itu seramai 120 orang rakyat Malaysia turut serta. Mereka terdiri daripada para sukarelawan, wakil media dan selebriti.
Antara tempat yang sempat mereka kunjungi sepanjang berada di Gaza ialah Kompleks Khatiba Khadrat bagi menyaksikan perhimpunan kejayaan gencatan senjata, Hospital As Syifa untuk melawat mangsa perang, rumah anak-anak yatim di Hayya An Nasser, Kompleks KDN Palestin dan penempatan penduduk sekitar Gaza. Dua kali mengunjungi Gaza, Farrah begitu memahami kesukaran penduduk Palestin yang hidup terkongkong kerana pintu keluar dan masuk negara berkenaan dikawal ketat tentera Israel yang lengkap bersenjata serta diawasi kereta kebal.
Tidak cukup dengan itu segala aktiviti rakyat Palestin diperhatikan setiap masa dengan kewujudan belon-belon perisik. Ia merakam perbuatan warga Palestin dan mendengar perbualan telefon mereka.
Keadaan itu jelas menggambarkan kehidupan orang Palestin tidak bebas, terhimpit dan bila-bila masa boleh di serang dan dibunuh tetapi semangat mereka sangat kental.
Ketika berada di Gaza, Farrah menyaksikan sendiri kehebatan peribadi dan semangat rakyat Palestin. Bagi mereka kesempitan hidup satu kurniaan Allah.
Orang Palestin termasuk kanak-kanak tidak meminta-minta daripada orang luar. Semangat mereka sangat kuat, meskipun ahli keluarga dibunuh, mereka menjalani kehidupan seperti biasa dan kanak-kanak juga bebas bermain-main.
Hafal al-Quran
"Saya menyaksikan persembahan kanak-kanak dan selepas tamat saya ingin membelikan ais krim tetapi ditolak dengan beradab. Saya terpaksa minta penjual ais krim membantu memujuk mereka barulah berjaya. Ia menunjukkan didikan yang baik dan tidak meminta-minta daripada orang lain.
"Selain itu, kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah diajar membaca, menghafal dan memahami isi al-Quran. Mereka juga boleh membuat rumusan sesuatu surah.
"Ketika berkunjung ke universiti di sana, saya memberi kata-kata semangat kepada pelajar wanita antaranya jangan berhenti berjuang dan rakyat Malaysia akan sentiasa menyokong perjuangan mereka. Mereka peluk saya, terasa
semangat ukhwah dan mereka sangat hargai bantuan dan sokongan kita," kata Farrah lagi.
Sukarelawan Aman Palestin, Amie Sofia Ahmad, 27, sanggup mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM7,500 untuk mengikuti rombongan Aman Palestin.
Pelaburan itu nyata berbaloi apabila Amie dapat menyaksikan sendiri suasana di Gaza dan kehidupan masyarakatnya.
"Saya pernah belajar di Mesir tetapi tidak pernah menjejak negara berkenaan.
"Pemergian itu dicetuskan apabila saya mendapat e-mel untuk panggilan jihad, saya tanya emak, dia kata tidak payah pergi namun akhirnya emak bersetuju," katanya yang fasih berbahasa Arab.
Semangat kental
Menurut Amie, sebagai orang muda, dia melihat kehidupan orang Palestin sebagai sangat kental malah kesempitan hidup yang ditempuhi membuatkan mereka lebih kreatif.
Bagi penduduk Palestin, perkara penting bagi mereka ialah membebaskan bumi Palestin daripada Israel. Justeru jati diri mereka perlu kuat dan mereka tidak sekali-kali akan tunduk memohon pembebasan daripada Israel.
"Tahap keyakinan mereka cukup tinggi, saya banyak belajar daripada mereka. Mereka berpegang kepada prinsip, hidup mulia atau mati syahid. Kehidupan memang tertekan namun mereka sangat kuat menempuh cabaran hidup di dunia ini.
"Sejak kecil mereka telah dididik untuk berjihad fisabilillah. Semua perkara tersebut menguatkan mereka, kanak-kanak turut luka-luka terkena bom tetapi mereka cekal menghadapi dugaan itu," katanya.
Pengacara, pelakon dan penyanyi, Heliza Helmi, 27, menyaksikan wanita dan kanak-kanak Palestin reda dan sentiasa bersyukur dengan kehidupan mereka.
Kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun yang ditemuinya mempunyai cita-cita untuk mengikuti jejak langkah ayah mereka yang mati syahid.
"Sejak kecil, ibu-ibu membawa anak-anak mereka ke masjid. Masjid sudah menjadi lokasi wajib dan aktiviti harian mereka. Masuk saja masjid kanak-kanak tersebut akan melakukan solat sunat, semasa khutbah Jumaat mereka senyap dan mendengar dengan teliti. Ini menunjukkan keperibadian mereka yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik.
"Golongan wanita Palestin cukup hebat, bagi mereka anak-anak yang syahid satu tiket untuk masuk syurga lebih awal daripada anak-anak kerana merekalah yang mendidik anak-anak untuk berjuang kepada jalan Allah," kata Heliza.
Jelasnya, orang Malaysia patut menziarahi Gaza kerana kehidupan dan suasana di sana merupakan satu motivasi yang baik kepada diri masing-masing. Gaza merupakan satu tempat yang cantik. Sebaik melangkah masuk ke Gaza jiwa menjadi tenang dan perasaan takut turut hilang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: