KUALA LUMPUR - Langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) mengecualikan seramai 14,492 graduan cemerlang daripada membayar
balik hutang PTPTN diyakini mampu menyuntik semangat mahasiswa untuk
memperoleh keputusan terbaik dalam pengajian masing-masing.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya
(UM), Izham Ismail berkata, langkah itu merupakan persaingan sihat
kalangan mahasiswa supaya lebih fokus terhadap pelajaran untuk mendapat
insentif itu.
"Saya mewakili mahasiswa cukup kagum dan menyambut baik dengan
insentif yang disediakan oleh kerajaan. Saya percaya jika langkah ini
diteruskan lebih ramai mahasiswa berlumba-lumba mencipta kejayaan.
"Pada masa sama negara akan melahirkan graduan berkualiti," katanya ketika dihubungi Kosmo!
Kosmo! semalam melaporkan PTPTN telah melupuskan hutang graduan yang
memperoleh ijazah kelas pertama dan setaraf membabitkan nilai pinjaman
keseluruhan berjumlah RM407.9 juta sejak tahun 2003.
Bagi YDP MPP Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Azaraful Azman, keputusan PTPTN melupuskan pinjaman tersebut amat dihargai tetapi perlu memberi pendedahan terperinci syarat permohonan.
"Masih ada mahasiswa yang tidak faham berhubung permohonan pengecualian ini terutama apabila permohonan itu ditolak.
"Bagaimanapun, pelupusan bayaran balik pinjaman sesuatu yang menggembirakan mahasiswa," jelasnya.
Sementara itu, YDP MPP Universiti Malaysia Sabah, Mohammad Juhar Harun berharap mahasiswa tidak lupa jasa kerajaan yang banyak membantu memberi kemudahan dalam bidang pendidikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: