Thursday, February 21, 2013
Platform persaingan sihat
INSPIRASI struktur mustahil daripada lukisan Joe May Die bersama elemen siluet pakaian abad ke-16 hasil karya pelukis tersohor, Pieter Bruegel, membawa tuah kepada Seyed Pedram Mirsadeghi.
Pelajar semester empat jurusan fesyen, Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LKW), Cyberjaya, Selangor itu berjaya merangkul gelaran juara pada Pertandingan Akhir Pencarian Pereka Muda 2012 anjuran Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) yang dianjurkan pada penghujung Disember lalu.
Tambah manis, kejayaan itu merupakan kemenangan pertama pelajar dari Iran itu selama menuntut di Malaysia sejak tahun 2010.
Pada pertandingan tersebut, Seyed mempertaruhkan kekuatan yang ada padanya iaitu rekaan couture bersama siluet dan potongan yang menyerlahkan elemen elegan serta mewah.
“Koleksi yang diberi nama Illusory ini banyak menggunakan material seperti kapas, polivinil klorida (PVC) dan kulit tiruan,” jelas Seyed yang menjadikan pereka Gareth Pugh, Alexander McQueen dan Karl Lagerfeld sebagai rujukannya.
Dengan kemenangan itu, lelaki berusia 25 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,500 beserta hamper tajaan Watsons.
Selain Seyed, rakan senegaranya, Farzaneh (Ava) Abdollahi turut mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai pemenang kedua. Dia yang juga merupakan pelajar LKW menjadikan pelukis prolifik Norway, Edvard Munch yang popular pada penghujung abad ke-19 sebagai inspirasi rekaan koleksinya.
Farzaneh menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan hamper tajaan Watsons. Satu-satunya peserta tempatan yang berjaya mendapat tempat ialah Hazizul Abd. Aziz, 26, apabila diumumkan sebagai pemenang ketiga, mewakili Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Berdasarkan keputusan pertandingan itu, dapat dilihat betapa terbukanya BDA menjalankan penilaian ke atas para peserta mereka. Mungkin sesetengah pihak menyifatkan keterbukaan BDA kepada pelajar luar negara agak tidak adil kerana ia seperti menyekat ruang pelajar tempatan untuk menyinar.
Berkongsi idea
Presiden BDA, Bon Zainal mengulas, pertandingan sedemikian seharusnya menjadi platform terbaik kepada pelajar-pelajar universiti tempatan menunjukkan bakat mereka. Syarat pertandingan juga tidak menegah pelajar luar negara yang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan untuk turut bertanding.
“Melalui cara ini, pelajar-pelajar kita dapat bersaing secara sihat, belajar dan berkongsi idea sesama mereka. Tiada isu siapa menang atau kalah dan mereka yang tidak berjaya perlu berusaha lebih keras untuk bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.
“Tambahan pula, rekaan yang ditonjolkan Seyed sangat menepati tema iaitu Ocean of Fashion. Paling penting, pakaian ciptaannya lebih terarah kepada sedia pakai dan seimbang dari segi seni dan praktikal,” komen Bon ketika ditemui Kosmo! usai pertandingan yang diadakan di Dewan Panggung Sari, Kompleks Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Seramai sembilan peserta mempersembahkan tiga pasang persalinan yang terdiri daripada pakaian kasual, lelaki dan busana malam pada pertandingan akhir itu.
Panel juri terdiri daripada Bon Zainal, Mahani Awang, Salikin Sidek, Amir Luqman, Kem Salleh, Zaihani Md. Zain dan Carven Ong.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: