|
SEPANJANG dua tahun bergelar anak seni, Noor Neelofa Mohd. Noor boleh dikatakan antara artis yang cukup bertuah apabila kerjaya seninya berkembang dalam tempoh yang agak singkat.
Kini, pada usianya yang baru sahaja mencecah 24 tahun, Neelofa pastinya boleh berbangga dengan pencapaian yang dimilikinya, terutama dari segi karier serta populariti yang diraihnya sekarang.
Selain bergelar pelakon yang semakin dikenali ramai menerusi beberapa buah filem dan drama lakonannya, kariernya dalam bidang seni turut berkembang dengan bergelar pengacara rancangan Nona dan Meletop, dua buah program yang sememangnya mendapat sambutan baik daripada penonton.
Pintu rezekinya semakin terbuka luas apabila menjadi pilihan pelbagai jenama produk popular yang telah memilihnya menjadi duta atau jurucakap.
Ketika ditanya sama ada dia puas dengan kejayaan yang diraihnya itu, Neelofa dengan rendah diri menyatakan bahawa dia sebenarnya masih belum berhasil menjadi seorang anak seni yang berjaya.
"Saya tidak menganggap diri saya sudah berjaya sekarang ini kerana perjalanan seni saya masih lagi panjang. Cuma saya memang menyasarkan untuk mencapai kejayaan dalam usia yang muda.
"Jadi, saya perlu berusaha dengan lebih keras lagi dan tidak boleh cepat berpuas hati dengan apa yang saya nikmati sekarang ini.
"Namun begitu, saya gembira kerana mendapat sokongan daripada orang yang berada di sekeliling serta peminat," ujarnya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-24 dirinya yang berlangsung di Sunway Giza, Kota Damansara pada minggu lalu.
Menurut Neelofa, selain mahu terus mengembangkan bakatnya dalam dunia seni sebagai pelakon dan pengacara, dia juga menyatakan mahu menjadi seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya.
Ujarnya, buat masa ini dia sedang memberi fokus kepada perniagaan produk kesihatan BellaVita yang mula diusahakannya pada tahun lalu dan kini semakin berkembang baik.
Bagi memastikan perniagaannya itu membuahkan hasil yang lumayan dan memberangsangkan, Neelofa memberitahu dia terpaksa membuat pelaburan yang banyak.
"Saya telah melaburkan puluhan ribu ringgit semata-mata membeli sedikit slot dalam rancangan Wanita Hari Ini pada setiap hari Rabu untuk mempromosikan produk BellaVita ini.
"Boleh dikatakan sudah banyak wang yang dibelanjakan sehingga membuat pinjaman bank bagi memastikan produk yang saya usahakan ini berjaya di pasaran sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga tahun yang akan datang," ujarnya.
Menurutnya, selain produk kesihatan BellaVita dia juga sudah merancang untuk menghasilkan lagi beberapa produk lain bagi meluaskan lagi perniagaan yang diusahakannya sekarang ini.
Perkahwinan
Pada usianya yang sudah mencecah 24 tahun, sudah tentu ramai yang beranggapan ia merupakan usia yang cukup sesuai buat seorang wanita untuk melangkah ke alam rumah tangga.
Bagaimanapun, Neelofa yang pernah digosipkan dengan penerbit dan pelakon Hans Isaac sebelum ini menganggap dirinya masih lagi muda untuk menuju ke gerbang perkahwinan.
"Buat masa ini saya tidak terfikir untuk berumah tangga kerana sasaran saya sekarang ini mahu mengecap kejayaan dalam bidang yang saya ceburi terlebih dahulu. Lagipun, kini saya sedang berusaha gigih agar segala usaha yang dilakukan berjaya.
"Apabila tiba masanya saya berkahwin nanti, kalau boleh saya mahu menjadi seorang isteri yang tidak terlalu berharap kepada suami dan menggunakan duit sendiri untuk membeli apa sahaja yang diingini," tegasnya.
Menurutnya, memandangkan jadualnya yang cukup padat sebagai seorang pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, dia akan memikirkan tentang perkahwinan kira-kira tiga atau empat tahun akan datang.
Konflik
Sebelum ini sudah ramai yang mengetahui mengenai sedikit konflik yang berlaku Neelofa dengan seorang lagi pelakon iaitu Tasha Shilla gara-gara komen yang dibuatnya terhadap pelakon tersebut mengenai kemenangan dalam Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu.
Namun begitu, Neelofa mendedahkan dia dan Tasha pernah terserempak baru-baru ini dan mereka telah bertegur sapa dengan mesra, seolah-olah seperti tiada masalah yang pernah berlaku sebelum ini.
"Selepas konflik yang berlaku itu agak lama juga kami tidak berjumpa, namun ketika terserempak kami sempat berbual bersama-sama dalam tempoh yang agak lama.
"Apa yang ingin saya katakan, secara jujurnya saya begitu hormati dengan sikap yang ditunjukkan oleh Tasha dan merasakan dia sebagai seorang pelakon yang sangat profesional," ujarnya yang menganggap hubungan mereka berdua kini kembali jernih.
Menurut Neelofa, dia juga berkesempatan meminta maaf kepada pelakon berkenaan atas apa yang telah berlaku dan gembira Tasha menerimanya dengan hati terbuka serta sudah melupakan semua yang telah berlaku antara mereka berdua.
"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu timbul lagi sebarang masalah dengan rakan-rakan pelakon lain. Mulai tahun ini saya berharap supaya perjalanan karier seni saya dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang kisah kontroversi lagi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: