Saturday, February 2, 2013

Lelaki masuk jerat SPRM


PEGAWAI SPRM (kanan) menyoal siasat suspek (kiri) selepas cuba memberi rasuah di Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang lelaki diberkas ketika cuba merasuah RM2,000 kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengelak daripada dicekup kerana menjual diesel subsidi di pasaran gelap semalam.
Suspek berusia 40 tahun tersebut diberkas pada pukul 1.15 petang oleh pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut serta dalam serbuan itu.
Sumber berkata, sebelum diberkas, pihak KPDNKK telah menahan seorang pekerja suspek berusia 38 tahun ketika dia sedang mengisi bahan bakar tersebut ke dalam dua buah tangki yang boleh memuatkan 1,000 dan 3,000 liter diesel di sebuah stesen minyak di Mambau dekat sini.
Katanya, dua tangki tersebut dibawa dengan menggunakan sebuah lori tiga tan yang bertutup.
“Pihak berkuasa kemudian dibawa ke sebuah taman perumahan berhampiran untuk berjumpa dengan majikannya bagi ‘menyelesaikan’ kes tersebut.
LORI yang dirampas membawa dua buah tangki untuk diisi dengan diesel subsidi.


“Sebaik sampai, majikan lelaki itu cuba merasuah RM2,000 sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan. Pegawai SPRM yang menyamar kemudian terus menahan lelaki itu,” katanya sambil memberitahu suspek telah menjalankan kegiatan haram itu sejak lebih setahun lalu.
Menurut sumber itu, suspek akan mengisi sekurang-kurangnya 4,000 liter diesel subsidi sehari sebelum dihantar ke sebuah stor dekat sini yang mampu menyimpan sebanyak 50,000 liter bahan bakar tersebut pada satu-satu masa.
“Suspek membeli diesel itu pada harga RM1.80 seliter tetapi dia akan menjual kepada pihak ketiga dengan harga antara RM1.95 hingga RM2 seliter untuk dihantar ke pasaran gelap,” katanya.
Ujar sumber itu, suspek mendapat keuntungan mencecah RM40,000 sebulan. Ketika dicekup, dia datang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ssangyong Rexton.
“Suspek hanya mengisi minyak pada waktu malam dan akan mengupah RM10 kepada pekerja stesen minyak untuk tutup mulut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: