Sunday, February 3, 2013

Lebih 40 maut menjelang Tahun Baru Cina di China


GAMBAR yang disiarkan agensi berita Xinhua menunjukkan petugas-petugas penyelamat berada di lokasi sebahagian jejambat runtuh di Daerah Mianchi, dalam wilayah Henan di tengah China kelmarin.


BEIJING - Lebih 40 orang terbunuh di jalan-jalan raya dalam empat kemalangan dahsyat di China sejak kelmarin apabila ratusan juta penduduk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Tahun Baru Cina pada 10 Februari ini.
Menurut pihak pentadbiran daerah Gulin, dalam wilayah Sichuan di barat daya China, seramai 11 orang maut apabila sebuah bas terbalik kelmarin.
Agensi berita Xinhua melaporkan semalam bahawa 13 orang terbunuh apabila sebuah bas yang sarat dengan penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter wilayah Guizhou yang berjiran dengan Sichuan.
Menurutnya, kemalangan maut di daerah Congjiang itu turut menyebabkan 21 orang cedera termasuk 11 parah.
Nahas itu berlaku semasa bas berkapasiti 19 tempat duduk itu membawa seramai 34 penumpang.
Satu lagi kemalangan maut berlaku malam kelmarin di wilayah Gansu apabila sebuah bas sewa khas terbabas di satu selekoh lalu terjunam ke dalam gaung sebelum terbakar.
Menurut Xinhua dan pentadbiran wilayah Henan, kemalangan ngeri itu meragut 14 nyawa dan mencederakan 32 yang lain.
Di wilayah Henan, tengah China pula sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh apabila sebuah trak membawa bunga api untuk sambutan Tahun Baru Cina meletup dengan menyebabkan jejambat di sebuah lebuh raya runtuh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: