Ternyata aura dan kekuatan penyanyi kacak, Anuar Zain terletak pada muzik dan vokalnya yang berupaya menggamit hati lebih kurang enam ribu penonton yang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu.
Sesuai dengan tema yang diangkat pada konsert itu, Anuar membuka tirai persembahan pada jam 8.30 malam dengan lagu I'm The Lucky One.
Tidak hanya terpegun dengan kelantangan suara penyanyi itu, konsert turut dimeriahkan dengan iringan 26 pemuzik profesional bersama empat penyanyi latar.
Lebih menarik apabila lagu kedua yang disampaikan Anuar, Bila Resah digubah dengan susunan muzik baharu yang lebih 'catchy' membuatkan penonton terpesona menyaksikan persembahannya.
Bantuan paparan visual dan warna-warni pencahayaan pentas utama berjaya menarik tumpuan penonton untuk terus terhibur dengan persembahan lagu rancak Selamat Pagi Sang Suria.
Selain bijak menarik perhatian peminat dengan usikan gurau senda dan cerita pengalaman bergelar anak seni, lemparan kuntuman ros merah kepada penonton juga beri impak yang luar biasa sepanjang konsert itu berlangsung.
Bagaikan histeria apabila aktres popular, Nora Danish muncul di pentas tatkala Anuar sedang mendendangkan lagu hitnya, Ajari Aku, di mana muzik videonya turut menampilkan pelakon cantik itu.
Antara lagu lain yang turut didendangkan adalah Perpisahan, Ku Hanya Milikmu dan Ketulusan Hati, Keabadian cinta, Cinta Harus Memiliki, Sesucinya Cintamu dan banyak lagi.
Gimik demi gimik
Konsert bertambah meriah apabila beberapa gimik telah dilakukan dengan baik.
Seperti gimik kebiasaan mana-mana konsert yang lain, Anuar juga menggunakan teknik yang sama dengan mengucapkan penghargaannya dan selamat tinggal sebaik sahaja habis menyanyikan lagu Lelaki Ini.
Biarpun lampu pentas sudah dipadamkan, namun peminat tetap tidak berganjak daripada tempat mereka.
Tidak sampai lima minit membiarkan peminat menunggu, Anuar kembali muncul di pentas menyampaikan lagu Sedetik Lebih sebagai penutup.
Melihat mutu persembahannya pada malam itu, tidak hairanlah mengapa peminat setianya dari Singapura, Brunei, Indonesia, Brazil dan Malaysia sendiri sanggup hadir memenuhi ruang stadium.
Pastinya peluang menyaksikan persembahan Anuar selepas ini tidak harus dilepaskan jika dia kembali beraksi pada konsert solo seperti ini.
Tenaga luar biasa
Walaupun banyak liku yang terpaksa di hadapi semata-mata untuk merealisasikan konsert solo tersebut, Anuar akui dirinya sangat berpuas hati dengan sambutan dan perjalanan konsert tersebut.
Menurutnya, konsert yang berlangsung pada malam itu begitu memberi makna buat dirinya sepajang 30 tahun melibatkan diri dalam industri muzik tempatan.
"Tidak ada apa yang dapat saya katakan dan memang saya tidak sangka sambutan daripada peminat sangat hebat. Pada awalnya kami hanya anggarkan 4 ribu penonton sahaja yang akan hadir tapi hari ini di lebih dari jangkaan kami.
"Apa yang mampu saya katakan hanyalah terima kasih yang tidak terhingga kerana sentiasa menyokong karier nyanyian saya sejak dahulu lagi," katanya pada sidang media yang diadakan selepas konsert berakhir.
Apabila ditanya dari mana dirinya memperoleh tenaga menyampaikan 20 buah lagu, Anuar bagaimanapun mengatakan semangatnya datang dari penonton yang hadir.
"Secara automatik, segala tenaga saya bertambah setelah melihat penonton yang hadir memenuhi ruang stadium dan itu juga beri saya kekuatan untuk menyanyi dengan baik.
"Saya mahu buat yang terbaik untuk mereka kerana usaha mereka untuk hadir ke konsert ini memang sangat bernilai untuk diri saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: