Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 27, berkata, dia bukan malu jika di cop sedemikian sebaliknya merasakan sudah terlalu ramai pelawak yang lebih berkaliber berbanding dirinya untuk menggalas gelaran itu.
"Saya tidak mahu dikenali hanya kerana sesuatu watak sahaja sebaliknya sebagai pelakon saya mahu mencuba pelbagai korektor supaya lakonan itu dapat berkembang.
"Tambahan pula sudah terlalu banyak pelawak yang sememangnya benar-benar bagus dalam bidang mereka dan sejujurnya saya masih belum layak dilabel dengan gelaran tersebut," jelasnya kepada mStar Online.
Kamal bakal muncul dengan filem terbaharunya, Gangster Celop arahan Ahmad Idham pada 21 Februari ini di samping pelakon seperti Azad Jazmin, Syamsul Yusof, Yus (Jambu) dan Hanis Zalikha.
Dalam pada itu, Kamal berkata, dia tidak kisah dengan sesuatu watak diberikan sama ada ia dari genre komedi, drama atau aksi kerana baginya sebagai pelakon itu adalah tanggungjawabnya untuk melunaskan tugas yang diberikan.
Jelas Kamal, dia bersyukur kerana penerbit dan pengarah banyak memberikannya peluang untuk mencuba pelbagai watak dan tidak terhad kepada sesuatu peranan sahaja.
"Sebelum ini agak terhad peranan yang diberikan namun sekarang ia semakin terbuka dan sebagai pelakon ia dapat melatih saya dalam teknik lakonan," katanya.
Sementara itu, Kamal berkata, selepas bekerjasama dengan Syamsul Yusof menerusi filem Gangster Celop, dia berhasrat untuk berlakon di bawah arahan pengarah muda itu pada masa hadapan.
Menurut Kamal, dia sangat selesa dengan Syamsul dan kagum dengan cara kerja anak kepada Datuk Yusof Haslam itu ketika di set penggambaran.
"Walaupun ketika penggambaran filem itu dia hanya sebagai pelakon tetapi saya selesa bekerja dan teringin untuk bekerja di bawah arahannya pula," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: