Saturday, February 16, 2013

Kakak Tidak Campur Hasrat Sharifah Sakinah Berlakon

Sharifah Sakinah ceburi bidang lakonan atas usaha sendiri.
PETALING JAYA: Aktres baharu Sharifah Sakinah mengakui kedua-dua kakaknya iaitu pelakon Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira (Shira) tidak mencampuri keputusannya menceburi bidang seni kira-kira tiga tahun lalu.
Pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, berkata, kakak-kakaknya itu bersikap demikian kerana sudah berpengalaman dengan asam garam dunia seni.
Justeru, mereka tidak mahu dia menyesal jika perkara buruk atau kontroversi menimpa apabila bergelar artis.
“Memang pada awalnya mereka (kakak-kakak) tidak galakkan dan tidak pula larang keputusan saya menceburi bidang ini.
“Mereka sudah arif dengan asam garam dunia hiburan dan tidak mahu saya menyesal kalau tidak mampu menempuhi cabaran dalam bidang ini,” katanya.
Bagaimanapun, Sakinah berkata, minat yang mendalam terhadap lakonan menjadi pegangan untuk dia mengikut jejak mereka dalam bidang ini.
“Saya bina kerjaya atas usaha sendiri dengan menghadiri apa sahaja uji bakat lakonan yang ada.
“Walaupun ada dua kakak yang dikenali tetapi saya tidak bergantung harap pada mereka untuk tawaran lakonan,” katanya.
Mengenai kecenderungannya dalam dunia komedi, Sakinah berkata, kebanyakan tawaran lakonan yang diterima sejak awal menjurus pada genre itu.
“Saya suka dilabel pelakon komedi sebab seingat saya tidak ramai pun pelakon generasi baharu yang buat komedi.
“Kebetulan pula dari awal lagi kebanyakan tawaran lakonan untuk saya adalah bagi watak dan drama komedi, jadi saya buat sahajalah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, lakonan Sakinah boleh ditonton dalam drama 13 episod berjudul Bunga Merah Punya bermula 21 Februari ini pada setiap Khamis, pukul 8.30 malam di Slot Aurora, TV9.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: