Bagi pelakon terkenal, Irma Hasmie, dia sangat bersyukur kerana tidak perlu menunggu lama untuk bergelar ibu.
Bakal menyambut kelahiran pertama pada Mac depan, Irma dan suami, Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan, teruja menanti kehadiran si kecil.
Menurut Irma, 30, ketika menjalani ujian imbasan doktor mengesahkan dia bakal menimang anak lelaki.
“Saya dan suami tidak kisah mengenai jantina. Yang penting, kandungan sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah.
“Alhamdulillah, setakat ini, kandungan saya sihat dan semuanya baik-baik sahaja.
"Lagipun, sepanjang tempoh kehamilan, saya tidak mengalami alahan yang teruk,” katanya yang masih lagi terlibat dalam pengacaraan program, Assalamualaikum, di TV AlHijrah.
Amal baca Al-Quran setiap hari
Bersedia untuk bergelar ibu, Irma turut menambah pengetahuannya dalam proses kehamilan dengan membaca buku-buku panduan.
Malah, masa terluang yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk membaca buku, Al-Quran dan amalan sunat ketika mengandung.
“Setiap hari, saya akan baca Al-Quran dan buku-buku tentang kehamilan. Maklumlah, ini anak pertama saya dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
“Dari buku itu, saya lebih mengetahui tentang ragam ketika mengandung, persediaan, proses kelahiran dan penjagaan bayi selepas dilahirkan.
“Selain itu, saya turut mengamalkan pemakanan sunnah seperti minum air Zamzam dan makan kurma untuk tenaga dalam badan,” kata duta tudung, D’Haja ini.
Tidak mahu terburu-buru
Walaupun teruja menanti detik kelahiran bayi sulungnya itu, namun Irma tidak mahu terburu-buru dalam membuat persediaan.
Sentiasa mengingati pesan ibunya agar tidak terlalu teruja, Irma mengakui masih belum membuat persediaan lengkap untuk bayinya itu.
“Dulu, saya memang teruja nak buat persiapan itu dan ini. Namun, ibu berpesan agar jangan terlalu cepat.
“Jadi, kami hanya menyediakan beberapa perkara sahaja buat masa ini. Mungkin selepas ini kami akan membelinya lagi,” kata Irma yang turut terlibat dalam menghadiri kelas, Usrah Fitrah.
Kembali aktif selepas bersalin
Tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan dunia seni yang dicintai, Irma memberitahu, dia akan berehat sementara waktu sahaja.
Katanya, selepas proses berpantang, Irma akan kembali dengan tugasnya sebagai pengacara dan berlakon.
“Buat masa ini, saya mahu berehat dari dunia lakonan kerana saya tidak yakin dapat memberikan yang terbaik dalam keadaan berbadan dua.
“Nak bercakap pun 'mengah', apatah lagi nak berlakon. Insya-Allah, jika diberi kesihatan yang baik, saya akan kembali berlakon selepas ini.
“Pun begitu, bukan bermakna saya akan menerima apa jua watak yang ditawarkan. Ia mestilah bersesuaian dengan imej dan status saya sekarang,” katanya yang mengakui mendapat sokongan sepenuhnya dari suami tercinta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: