Tuesday, February 12, 2013

Ekonomi rapuh gugat Korea Selatan


PAKAR analisis ekonomi memberitahu, Korea Selatan masih dalam fasa pertumbuhan kadar perlahan. - Gambar hiasan


LEE SANG-KUK bekerja sebagai penghantar daging pada waktu siang manakala pada sebelah malamnya dia menjadi pemandu kepada ahli perniagaan yang sering pulang dalam keadaan mabuk.
Walaupun mempunyai dua pekerjaan, dirinya dan jutaan lagi rakyat Korea Selatan masih terjerat dengan hutang yang meningkat saban tahun.
Situasi yang dihadapi Sang-kuk adalah sesuatu yang normal di Korea Selatan. Di negara itu, jumlah keseluruhan pinjaman perumahan adalah sebanyak 937.5 trilion won (RM2.6 trilion ) pada September tahun lepas, iaitu melebihi 70 peratus kadar GDP tahun 2011.
Selepas berhenti kerja di sebuah syarikat media pada tahun 2000, Sang-kuk membuat pinjaman bank untuk membuka restoran dan meletakkan rumahnya sebagai cagaran. Sayangnya, perniagaan itu hanya bertahan selama dua tahun hingga memaksa Sang-kuk memohon status muflis.
Bagi melangsaikan hutang bank, Lee menjual rumahnya tetapi membuat pinjaman dengan faedah tinggi daripada peminjam persendirian untuk kegunaan pembelajaran anak-anaknya.
"Sejak itu, hidup saya mula berkecamuk," ujarnya yang pernah mencuba untuk membunuh diri.
Menurutnya, semua pembayaran yang diperoleh digunakan untuk membayar hutang.
"Gaji isteri saya yang bekerja sebagai pembantu rumah untuk menampung keperluan seharian," luahnya.
Krisis teruk
Hutang pinjaman perumahan yang tinggi terjadi sejak berlakunya krisis ekonomi 1997. Peristiwa itu membuatkan bank-bank tempatan menjadikan pelanggan untuk pertumbuhan aset.
Peningkatan dalam pinjaman gadai didorong faedah yang rendah dan kepercayaan bahawa hartanah adalah sesuatu yang menguntungkan.
"Walaupun kadar isi rumah di Amerika Syarikat adalah sederhana, terutamanya selepas krisis gadai janji subprima, permintaan pinjaman gadai janji meningkat di sini atas kenaikan harga hartanah," ujar Penganalisis Institut Penyelidikan Ekonomi Hyundai, Lee Jun-hyup.
"Ia tidak mengancam sistem bank, tetapi ia secara terang-terangan menjejaskan permintaan pengguna tempatan," ujar Jun-hyup.
Selepas ekonomi meningkat tujuh peratus setiap tahun sejak berakhirnya Perang Korea pada tahun 1953, Korea Selatan telah memasuki fasa pertumbuhan dalam kadar perlahan.
Pasaran hartanah yang jatuh menjunam ditambah dengan kelembapan ekonomi menyebabkan ramai penduduk kehilangan pekerjaan. Ia menutup sumber pendapatan keluarga yang bergelut untuk terus bertahan.
Kerajaan telah menganggarkan enam juta berdepan dengan risiko tersebut iaitu lebih 10 peratus daripada populasi penduduk Korea Selatan.
Masalah semakin runcing buat mereka yang mempunyai anak kerana perlu membayar pendidikan tambahan sebagai prasyarat kemasukan ke kolej berikutan persaingan yang sengit.
Menurut seorang profesor di Universiti Korea, Lee Phil-sang, hutang isi rumah merosot disebabkan peningkatan beban hutang golongan yang bekerja sendiri. Ia merangkumi hampir satu pertiga daripada tenaga kerja.
Pada masa yang sama, terdapat peningkatan statistik dalam golongan keluarga berpendapatan rendah yang meminjam untuk kegunaan harian.
Bayaran balik
"Pinjaman perumahan ibarat penyakit kanser dalam tubuh kita. Jika dibiarkan, ia bakal mengheret sama ekonomi kerana pembayaran balik pinjaman akan bertambah buruk semasa tekanan ekonomi," ujar Sang-kuk.
Hari ini, ramai lagi penduduk pertengahan umur Korea Selatan yang diberhentikan kerja. Mereka mengeluarkan pinjaman persendirian dan membuat gadai janji untuk memulakan perniagaan.
Namun demikian, kebanyakan bank perdagangan hanya memihak peniaga berpendapatan tinggi. Mereka menolak peminjam miskin dan ada yang mengenakan kadar faedah yang tinggi.
Sang-kuk merupakan antara tiga juta penduduk yang telah disenaraihitamkan oleh bank atau tidak memperoleh pinjaman tambahan kerana penarafan gaji kredit yang rendah.
Sebagai sebahagian daripada janji pilihan raya untuk meningkatkan perbelanjaan kebajikan sosial, bakal Presiden, Park Geun-Hye mencadangkan 18 trilion won (RM510 bilion) dana awam untuk membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan hutang.
Parti pembangkang dan beberapa pakar berpendapat dana tersebut adalah sangat sedikit untuk menutup jurang polisi dan menggesa Geun-Hye untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: