Monday, February 11, 2013

Black hormati permintaan keluarga tunang


GADIS misteri di sebelah Black. Foto ini tersiar dalam laman Instagram Black.


SETELAH putus cinta dengan kekasihnya pada akhir tahun lalu, penyanyi Hanifah Md. Hanafiah atau lebih popular dengan panggilan Black Mentor tidak mengambil masa yang lama untuk mencari teman pengganti.
Namun begitu, lebih mengejutkan apabila tersebar berita yang menyatakan Black telah mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis baru-baru ini.
Kosmo! secara eksklusif pada 1 Februari lalu berjaya mendapatkan pengakuan Black mengenai pertunangannya pada 26 Januari lepas, namun dia enggan memberikan butiran terperinci termasuk identiti tunangnya itu.
Ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Juara Lagu ke-27 yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 4 Februari lalu, Black masih enggan mendedahkan identiti tunangnya itu, meskipun telah diasak oleh pihak media.
Kosmo!: Bolehkah jelaskan dengan lebih lanjut mengenai cerita pertunangan Black?
BLACK: Pada kesempatan ini saya ingin menjelaskan bahawa berita tentang pertunangan saya itu memang benar. Saya telah bertunang pada 26 Januari lalu dalam sebuah majlis yang dibuat secara sederhana.
Namun begitu, saya ingin memohon maaf kepada semua pihak, terutamanya rakan-rakan media dan peminat kerana merahsiakan perkara ini. Saya akui agak risau sekiranya ada mana-mana pihak yang berkecil hati.
Siapakah individu yang telah bertakhta di hati Black itu?
Buat masa ini, saya tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut tentang tunang saya itu. Apa yang boleh saya katakan, kami sudah berkenalan selama dua bulan menerusi seorang rakan.
Mengapakah Black sangat berahsia tentang pertunangan tersebut?
Semuanya saya lakukan ini semata-mata atas permintaan pihak keluarga perempuan yang tidak mahu terlalu menjadi tumpuan ramai. Jadi, saya mengambil keputusan supaya lebih berahsia bagi menghormati permintaan mereka.
Apatah lagi sepanjang tempoh pertunangan, pastinya pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi, maka kami perlu menjaga hubungan ini dengan sebaik-baiknya.
Mengapakah Black mengambil keputusan untuk bertunang dengan begitu cepat?
Memang perkenalan kami masih lagi agak baharu, namun keputusan ini dibuat setelah kami mencapai kata sepakat. Kalau ikut perancangan kami akan mengikat tali pertunangan selama setahun.
Lagipun tiada apa yang perlu dibangkitkan tentang pertunangan saya ini, meskipun tempoh perkenalan kami agak singkat. Kalau kami terus membuat keputusan untuk berkahwin, sudah tentu akan timbul persepsi yang lain pula.
Apakah yang membuatkan Black tertarik dengan gadis tersebut?
Salah satunya kerana dia merupakan seorang gadis yang terpelajar, malah dia juga tidak tahu yang saya ini merupakan seorang penyanyi kerana dia menuntut di luar negara sebelum ini.
Walaupun kerjaya saya sekarang sekadar sebagai penyanyi, dia langsung tidak kisah. Dia pernah memberitahu yang dia cuma inginkan seorang lelaki yang pandai mencari duit dan boleh menjaga dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: