|
SEKIRANYA masih hidup, arwah Tan Sri P. Ramlee yang lahir pada 22 Mac 1929 kini sepatutnya sudah berusia 84 tahun - empat tahun lebih muda daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 88, yang masih kelihatan kacak dan sihat.
Andai juga seniman agung itu masih hidup, sudah tentu Kosmo! berusaha bertemu dan menemu bual serta mendengar sendiri daripada mulutnya tentang kisah hidup dan bagaimana karya-karya hebatnya dihasilkan.
Hakikatnya, itu hanyalah harapan dan impian yang tidak akan kesampaian kerana pada hakikatnya beliau sudah lama meninggal dunia iaitu sejak 29 Mei, 1973.
P. Ramlee akan terus hidup dalam jiwa kita dan mereka yang tidak pernah kenal mahupun yang lahir selepas kematiannya juga boleh menjadi peminatnya menerusi filem-filem lakonannya.
Sememangnya, P. Ramlee meninggalkan legasi seni yang tidak akan padam dan terus diperkatakan sampai bila-bila.
Pujian terhadap karya P. Ramlee itu bukan sekadar retorik sebaliknya beliau adalah insan genius anugerah Allah dalam bidang seni dan budaya kepada rakyat Malaysia.
Kehebatan dan karya-karya P. Ramlee akan sentiasa ditonton dan diperkatakan tanpa rasa jemu apatah lagi membuatkan penonton kering gusi menontonnya.
Begitu juga dialog dan telatahnya dalam filem juga sering diajuk dan ditiru oleh peminatnya.
Sehingga kini, filem-filemnya seperti Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Labu Labi, Ibu Mertuaku, Do Re Mi, Anak Bapak, Tiga Abdul dan banyak lagi masih ditayang di kaca TV.
Biarpun sudah 40 tahun P. Ramlee meninggal dunia, generasi baharu termasuk dalam kalangan kanak-kanak kecil mengenali P Ramlee.
Mereka hanya mengenali fizikal serta gelagat P. Ramlee menerusi lakonan tetapi mungkin tidak mengetahui akan kisah hidup dan pemikiran seniman agung tersebut.
Justeru, menerusi teman-teman seangkatan dengannya sahaja kisah hidup penyanyi, penggubah lagu, pemuzik, pelakon, pengarah dan penerbit filem yang tiada penggantinya itu dikupas buat bacaan para peminatnya.
Dia seorang pemikir dan pemerhati - Sarimah
Mengenalinya sebagai teman lakonan dan juga pengarah, menurut Datuk Sarimah Ahmad, 71, P. Ramlee adalah seorang yang ikhlas dalam bekerja dan melakukan sesuatu kerja bukan kerana duit tetapi kerana cintanya yang begitu kuat terhadap seni.
"Dia ada banyak kelebihan yang Allah berikan dan paling penting, dia buat sesuatu benda seperti filem atau lagu kerana perasaan cintanya terhadap seni.
"Dia ikhlas menghasilkan karya bukan semata-mata untuk mendapatkan duit, disebabkan itu karyanya bermutu dan kekal sehingga kini," jelas Sarimah mengenai rahsia di sebalik ingatan yang tidak pernah padam terhadap karya-karya ciptaan P. Ramlee.
Mengulas lanjut, kata Sarimah, P. Ramlee adalah seorang pemikir dan pemerhati, malah seorang yang berfikiran melangkaui masa depan.
Kata Sarimah, karya-karya P. Ramlee juga meliputi kisah benar yang berlaku terhadap masyarakat.
"Dia banyak bergaul dan banyak melakukan kajian. Dia hasilkan filem melalui kisah masyarakat yang berlaku di sekelilingnya," ujarnya yang memberitahu, P. Ramlee juga pandai mengambil hati penonton melalui karya-karyanya.
Memberi beberapa contoh, Sarimah memberitahu, filem-filem P. Ramlee juga banyak diselitkan dengan mesej-mesej berguna.
Antara filem yang terselit mesej bagi Sarimah adalah Anakku Sazali. Katanya, filem yang menyaksikan P. Ramlee membawakan dua watak iaitu bapa dan anak derhaka itu mempunyai banyak mesej dan pengajaran.
Begitu juga filem Antara Dua Darjat yang membawa mesej manusia dari dahulu sememangnya mementingkan darjat sedangkan budi bahasa sepatutnya diberi keutamaan dulu.
"Semua filem-filem P. Ramlee dibuat ada mesej, bukan kosong. Dia juga bijak menggunakan dialog-dialog yang menarik sehingga menbuatkan orang ingat sehingga kini.
"Contoh dialog filem yang masih orang cakap kepada saya sampai sekarang adalah yang terdapat dalam filem Tiga Abdul," jelasnya.
Menurut Sarimah, P. Ramlee juga seorang pengarah yang lain daripada lain.
"Dia seorang pengarah yang serius. Dia tidak suka pada pelakon yang tidak buat homework sebelum memulakan penggambaran," ujarnya.
Begitupun, dedah pelakon filem Madu Tiga itu, di luar bidang pengarahannya, P. Ramlee merupakan seorang teman yang sangat merendah diri dan suka berjenaka.
Ujar Sarimah, P. Ramlee juga tidak pernah merendah-rendahkan orang lain.
"Jika ada pelakon yang lupa dialog berkali-kali dia tidak pernah memaki hamun pelakon tersebut, sebaliknya dia akan hentikan penggambaran dan menyambungnya pada keesokan harinya," jata Sarimah yang mengakui pernah menangis kerana usikan P. Ramlee.
Sarimah mendedahkan lagi, P. Ramlee merupakan seorang yang suka mengusik tetapi usikannya terkandung kata-kata nasihat.
Sarimah turut bercerita tentang pengalaman dirinya sendiri bersama P. Ramlee ketika mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan.
"Ketika mula berlakon pada usia 17 tahun saya masih lagi tidak pandai bergaya. Ketika itulah, P. Ramlee sering menggelarkan saya sebagai 'Sarimah Kayu' berdasarkan penampilan saya ini.
|
|
"Saya pula terasa hati dan menangis. S. Sudarmaji yang banyak memujuk dan memberitahu saya, sebenarnya usikan P. Ramlee itu untuk memberi kesedaran agar mengubah penampilan saya itu," ceritanya.
P. Ramlee tidak tamak - Aziz Satar
Menurut Datuk Aziz Satar, 88, pula, semasa zaman kegemilangan P. Ramlee, dia pernah menasihati sahabatnya itu agar mengambil peluang untuk membuat duit lebih banyak. Namun, P. Ramlee memberikan jawapan yang tersendiri.
"Dia (P. Ramlee) cakap, 'Seni bukan untuk duit tetapi untuk masyarakat'," ujar Aziz mengenai kata-kata P. Ramlee yang diulang semula kepada dirinya sebelum seniman agung itu meninggal dunia.
Mengulas lanjut, kata Aziz, walaupun P. Ramlee mendapat bayaran sedikit hasil lakonan atau arahannya, dia tidak mempedulikannya kerana apa yang penting baginya, karya yang terhasil adalah bermutu.
Tambah Aziz, sifat diri P. Ramlee yang tidak ingin menjadi bagus seorang diri juga menjadikan dia istimewa dan lain daripada lain.
"P. Ramlee kalau berlakon atau mengarah dia tidak mahu bagus seorang diri. Sebaliknya, dia mahu semua orang bagus. Walaupun ada sebilangan pelakon pada masa dulu yang sukar menghafal dialog tetapi P. Ramlee sanggup menunggu dan mendidik sehingga pelakon tersebut menjadi bagus. P. Ramlee juga tidak mengajar setiap pelakonnya separuh jalan tetapi memberi tunjuk ajar secara menyeluruh.
"Disebabkan itu, pelakon-pelakon dahulu bagus daripada segi mutu lakonan," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.
Mengulas mengenai karya P. Ramlee, kata Aziz, P. Ramlee adalah seorang yang sangat teliti dalam menghasilkan karya.
Ujar Aziz, P. Ramlee akan menjaga daripada segala aspek sama ada dari segi skrip, jalan cerita termasuklah pakaian setiap pelakonnya.
Ujarnya, P. Ramlee juga boleh berfikir sehingga ke 40 tahun akan datang melangkaui zamannya.
"P. Ramlee menghasilkan karya yang tidak ditelan zaman. Walaupun sudah 40 atau 50 tahun, nilai karyanya masih dihargai. Buktinya, adalah menerusi filem-filem dan lagu-lagu ciptaannya yang masih ditonton dan didengar tanpa rasa jemu sehingga kini."
"Dia menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat. Benda yang berlaku dan diamalkan oleh masyarakat sehingga kini diselitkan dalam karyanya.
"Ceritanya juga mengandungi macam-macam. Hiburan ada. Sindiran ada. Mesej ada. Semuanya ada. Dengan segala ramuan tersebut filem-filemnya bermutu dan menarik," jelas Aziz.
Tegas Aziz: "Jika generasi sekarang mahu menghasilkan karya bermutu seperti P. Ramlee, contohilah cara kerjanya. Dia begitu teliti dan mengambil kira semua aspek dalam menghasilkan karya."
Bercerita mengenai pengalaman dirinya bekerja dengan P. Ramlee, akui Aziz, hanya kenangan manis yang terpahat dalam memori dirinya.
"P. Ramlee merupakan seorang teman yang sangat merendah diri. Saya banyak belajar cara-cara mengarah, menyanyi dan menulis skrip daripada dia. Tetapi kalau dari segi membuat pertunjukan di pentas, dia hormat pada saya.
"Sebabnya, saya lebih berpengalaman daripada dia. Kalau saya suruh dia buat apa sahaja, dia akan ikut, "jelasnya yang ketika dahulu mengadakan pertunjukan pentas di merata negeri bersama P. Ramlee, Saloma dan Norizan.
Tidak sempat kenali P. Ramlee - Najua
Tidak lengkap kalau tidak menemu bual individu yang mempunyai perkaitan darah dengan P. Ramlee. Cucu P. Ramlee, Najua Mohd. Nasir, 27, dikatakan antara yang paling mirip dengan seniman agung itu.
Menurut Najua, walaupun dia tidak sempat mengenali P. Ramlee semasa hayatnya dan juga tidak pernah diberi apa-apa pendedahan mengenai datuknya itu oleh bapanya, Nasir P. Ramlee, dia bersyukur kerana mengenali karya-karya seniman agung itu.
Ujarnya, melalui karya-karya P. Ramlee itu dia dapat mengetahui bahawa datuknya adalah seorang pengkarya yang sangat hebat.
"Saya tidak diberi apa-apa pendedahan mengenai P. Ramlee oleh bapa saya tetapi kawan-kawannya seperti Datuk Aziz (Satar) dan nenek Mariani (Ismail) banyak bercerita tentang dia (P. Ramlee) kepada saya. Daripada situ, saya mengenalinya.
"Saya juga bersyukur kerana berpeluang melihat karya-karyanya. Bagi saya, karya-karya yang dihasilkan dia sangat hebat," ujarnya.
Jelasnya, filem-filem P. Ramlee juga banyak dihasilkan berkisar kisah hidupnya dan juga masyarakat di sekelilingnya. Itu menyebabkan karya-karyanya hebat dan masih diterima sehingga kini.
Kata Najua lagi, lagu-lagu ciptaan P. Ramlee juga tidak hanya menjurus kepada cinta semata-mata sebaliknya menjurus tentang seluruh aspek.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: