Monday, February 18, 2013

Azad Jazmin Serik Sertai Syarikat Pengurusan

Azad mengakui rezeki dalam bidang lakonan semakin murah dan perjalanan kariernya berada di tahap baik.
PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin serik bernaung di bawah syarikat pengurusan dan lebih selesa menguruskan sendiri kerjaya lakonannya tanpa sebarang kawalan.
Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 37, berkata, pengalaman selama beberapa tahun sebagai pelakon dapat membantunya dalam menguruskan sendiri kerjaya lakonannya tanpa terikat dengan mana-mana syarikat.
"Bukan mahu meninggi diri tetapi cukuplah pengalaman dulu banyak mematangkan saya tambahan pula sampai bila nak mengharapkan orang lain dan sudah tiba masanya saya perlu melakukannya sendiri mengikut kemampuan," jelasnya kepada mStar Online.
Azad sebelum ini pernah bernaung dibawah syarikat produksi Metrowealth (MIG) Pictures sebelum mengambil keputusan untuk bergerak sendiri kira-kira dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Azad berkata, gelaran ketua keluarga yang disandangnya turut memberikan impak kepadanya untuk lebih bertanggungjawab dan percaya kepada diri sendiri.
Jelas Azad, semua yang dilakukan hari ini adalah demi isteri, pelakon Eira Shazira dan anak sulung mereka, Amarra Sofea Rose yang kini berusia sebulan.
"Saya sudah tidak fikir perkara lain melainkan tanggungjawab kepada anak dan isteri. Faktor itu benar-benar telah mengubah saya menjadi seorang yang lebih kuat bekerja.
"Alhamdulillah rezeki semakin murah dan perjalanan karier saya semakin lancar dengan pelbagai peluang diberikan. Ini semua rezeki anak," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azad bakal muncul dengan filem Gangster Celop arahan Ahmad Idham pada 21 Februari ini selain bakal terlibat dalam 10 projek filem terbitan Grand Brilliance.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: