KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah figura tinggi lampai, Azad Jazmin. Apatah lagi apabila menyentuh perihal cahaya mata sulungnya, Amarra Sofea Rose yang dilahirkan pada 11 Januari lalu hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, pelakon Eira Syazira.
Setelah sebulan lebih bergelar bapa, Azad atau nama sebenarnya, Azad Jazmin John Louis Jeffri khabarnya dilarang daripada bertemu dengan anaknya itu. Apakah cerita di sebaliknya?
Ikuti temu bual bersama Azad ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu lakonannya, Gangster Celop di E@ Curve, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Bolehkah ceritakan pengalaman serta kehidupan Azad kini setelah bergelar bapa?
AZAD: Memang saya akui, kehidupan kini sangat seronok. Pertama, ini kerana kali pertama menjadi bapa (ketawa). Selain itu, isteri saya perlu menjalani pembedahan kerana bayi besar iaitu seberat 4.5 kilogram. Namun, kami sangat bahagia dan dia kini telah berusia sebulan lebih sejak dilahirkan pada 11 Januari lalu.
Apakah perubahan yang berlaku pada diri Azad selain seronok menjadi seorang bapa?
Saya rasa perubahan pada diri saya tidak terlalu banyak dan masih gila-gila seperti dahulu. Cuma apa yang berbeza ialah tanggungjawab yang perlu dipikul. Mungkin dahulu suami, dan kini seorang bapa pula.
Biasanya, pukul 12 tengah malam atau 1 pagi sudah boleh tidur. Tapi, kini setiap dua jam, saya perlu bangun untuk buat susu anak. Jadi itulah rutinnya, kerana setelah ada orang ketiga dalam hidup, memang rasa dan perjalanan hidup itu sedikit berbeza.
Jadi, anda juga banyak membantu isteri untuk membuat kerja-kerja rumah dan sebagainya?
Ini kerana Eira menjalani pembedahan, jadi dia perlukan masa yang banyak untuk berehat dan sembuh daripada luka pembedahan tersebut. Dalam masa dua minggu, saya melakukan kerja ibu dan bapa. Saya membancuh susu untuk anak, menukar lampin dan melakukan rutin-rutin yang perlu dilakukan kepada bayi. Saya perlu bantu isteri saya dan saya gembira lakukannya. Namun, kini setelah dua minggu Eira sudah beransur pulih dan sedang menjalani sesi berpantang pula.
|
Khabarnya, mertua ada melarang Azad daripada menemui anak. Boleh komen?
Kini, isteri saya tinggal bersama mertua di Putrajaya. Jika saya pulang lewat kerja, tidak dapatlah saya bertemu isteri dan anak. Ini kerana, ibu mertua seorang yang berpegang pada pantang larang orang tua-tua. Jadi, selepas Maghrib, saya sudah tidak boleh pergi ke rumah mertua kerana dikhuatiri akan mengganggu bayi.
Apakah perkembangan terbaharu Azad?
Saya kini sedang menjalankan penggambaran bersama pengarah, Osman Ali iaitu filem yang berjudul Sejoli dan Mamak Cupcake.
Sejak kebelakangan ini, rezeki anda nampaknya semakin bertambah.
Mungkin rezeki anak saya yang baru dilahirkan itu. Dahulu memang saya kurang percaya perkara sebegini, Namun apabila alaminya sendiri, memang jelas rezeki yang saya dapat diibaratkan seperti Sungai Nil, sentiasa ada di mana-mana. Saya juga ada kontrak bersama Grand Brilliance Sdn. Bhd. iaitu sebanyak 10 judul filem yang mana, lima filem sebagai pelakon pembantu dan lima lagi sebagai watak utama. Filem pertama lakonan saya di bawah kontrak ini, berjudul Showdown yang bakal menjalani penggambaran pada April ini. Namun, saya tidak mengikat kontrak untuk menjadi artis di bawah naungan Grand Brilliance.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: