Thursday, February 7, 2013

Album AJL kali pertama diterbitkan


AHMAD IZHAM (tiga dari kanan) dan Jacynta (tengah) pada majlis penyerahan cek kepada pemenang dan pelancaran album AJL 27.


ANUGERAH Juara Lagu ke-27 (AJL 27) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 6 Januari lalu mendapat sambutan hangat apabila ditonton sebanyak enam juta penonton.
Berdasarkan sambutan yang diterima itu, TV3 telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah album khas AJL 27 yang diterbitkan dalam bentuk cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD).
Ketua Pengurusan Bakat The 8 Unit & Monkey Bone, Jacynta Au-Yong berkata, album berkenaan buat julung-julung kalinya dihasilkan memandangkan belum pernah lagi acara AJL diterbitkan dalam bentuk DVD atau CD.
"Idea menghasilkan album ini pastinya memberikan peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menonton AJL 27 secara langsung sebelum ini.
"Selain itu, kami juga menjanjikan album yang dihasilkan ini berkualiti tinggi serta memberi kepuasan kepada mereka yang memilikinya," ujarnya ketika majlis penyerahan cek kepada pemenang AJL 27 dan pelancaran album berkenaan baru-baru ini.
Menurut Jacynta, album tersebut mengandungi sebanyak 12 buah lagu yang layak ke peringkat akhir AJL 27 seperti Idola (Azlan & The Typewriter), Pelangi Senja (Stacy), Terukir Di Bintang (Aizat), Anak Kampung (One Nation Emcee feat Jimmy Palikat), Ombak Rindu (Adira dan Hafiz), Tanpamu (Amir Jahari), Lagu (Bedroom Sanctuary), Teman Pengganti (Black dan Malique), Ku Akui (Hafiz), Simetri (Amy Search dan Hazama), Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo) dan Patah Seribu (Shila Amzah).
Ujarnya, album AJL 27 sudah mula berada di pasaran pada minggu ini dengan harga RM29.90. Namun begitu, untuk cetakan pertama cuma 1,000 keping sahaja yang dihasilkan.
"Kami membuat keputusan untuk menghasilkan 1,000 keping sahaja buat permulaan. Sekiranya album ini mendapat sambutan yang baik kami akan menambah lagi jumlahnya," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar berkata, penerbitan album AJL 27 itu juga sebagai satu bentuk penghargaan dan tanda terima kasih kepada mereka yang menyokong AJL selama ini.
Pada majlis yang sama, turut diadakan majlis penyampaian cek kepada pemenang, yang mana juara AJL 27 iaitu lagu Terukir Di Bintang nyanyian Aizat, ciptaan dan lirik oleh Yuna menerima cek sebanyak RM35,000.
Lagu ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Nor Azlan Rosle (Azlan), Idola yang dinyanyikan Azlan & The Typewriter pula menerima cek sebanyak RM15,000 selaku naib juara.
Ditempat ketiga pula, lagu nyanyian Hafiz ciptaan dan lirik oleh Ajai, Ku Akui menerima cek berjumlah RM12,000.
Selain itu, lagu Teman Pengganti nyanyian Black dan RJ yang dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik menerima RM10,000, manakala Hafiz pula turut menerima RM10,000 untuk kategori Vokal Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: