Tuesday, February 12, 2013
Aksi Psy memukau pengunjung
GEORGE TOWN – Persembahan bertenaga bintang ternama Korea Selatan, Psy menggegarkan sambutan majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya di padang Kolej Han Chiang di sini semalam.
Kira-kira 80,000 pengunjung memenuhi kawasan kolej tersebut termasuk di hadapan pentas utama sejak pukul 7 pagi lagi.
Pengunjung termasuk kanak-kanak kecil melaung-laungkan nama Psy sebaik beliau muncul di pentas kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Psy yang mengenakan kot tanpa lengan dengan seluar serba putih memberitahu, dia teruja tiba di Malaysia dan mengucapkan selamat Tahun Baru Cina. Penyanyi itu berterima kasih kepada BN Pulau Pinang kerana menjemputnya membuat persembahan.
Sebaik muzik dimainkan, orang ramai menjerit-jerit nama Psy sebelum dia muncul diiringi 12 penari mempersembahkan lagu popularnya, Oppa Gangnam Style.
Psy atau nama sebenarnya Park Jae Sang mencipta nama apabila klip video Oppa Gangnam Style ditonton sebanyak 1.3 bilion kali dalam YouTube.
Sambil beraksi dengan muka bersahaja, Psy turut mengajak ribuan pengunjung menari tarian kuda bersamanya.
Selepas menamatkan persembahan, dia turun dari pentas tetapi sorakan para peminat memanggil-manggil namanya mendorong Psy kembali semula untuk nyanyian kali kedua lagu Oppa Gangnam Style.
Cuaca panas juga menyebabkan bintang berusia 35 tahun itu terpaksa menanggalkan cermin mata hitamnya untuk mengesat peluh beberapa kali ketika menyanyi.
Dia sempat berceloteh dengan berkata: “Saya faham cuaca panas di sini menyebabkan anda (penonton) juga nampak letih.”
Psy bersama rombongannya tiba dengan jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira pukul 6 pagi semalam selepas mengadakan persembahan di Rio de Janeiro, Brazil.
Difahamkan, beliau menginap di sebuah hotel mewah di bandar raya ini selama dua hari dan dibawa melawat ke beberapa lokasi menarik sebelum pulang ke Korea Selatan.
Ini merupakan persembahan pertama Psy di Asia Tenggara yang didatangkan khas oleh sebuah syarikat pengurusan acara dari Kuala Lumpur, Mega Ultimate Sdn. Bhd. bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina.
Turut mengadakan persembahan ialah juara Asian Wave 2012 di Shanghai, China, Shila Amzah yang menghiburkan pengunjung dengan lagu Patah Seribu, Set Fire to the Rain dan dua lagu Mandarin, Zheng Fu dan Forever Love.
Kemunculannya turut mendapat tepukan gemuruh pengunjung yang menyanyi bersama-samanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: