Tuesday, February 12, 2013

Ainan teruja diminati lelaki lembut


BIARPUN sering dilanda kontroversi, Ainan menjadi semakin kuat dalam mengharungi perjalanan dunia seninya.


PENYANYI kelahiran YouTube, Ainan Tasneem tidak menduga, baru setahun menjadi artis dia sudah mempunyai ramai peminat bukan sahaja dalam kalangan remaja tetapi juga dewasa.
Malah, peminat penyanyi lagu Aku Suka Dia itu juga terdiri daripada lelaki lembut. Buktinya, baru-baru ini, bertempat di Restoran Rebung, Bangsar, satu pelancaran kelab peminat Ainan Tasneem telah diadakan.
Seramai 40 orang peminat hadir. Pandangan Kosmo! lantas memfokus ke arah satu meja bulat yang diduduki oleh 10 lelaki lembut.
Ikuti temu bual bersama pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu mengenai perasaannya diminati oleh lelaki lembut, selain mengupas lebih lanjut mengenai single terbaharu dan ketiganya (selepas dua single iaitu Aku Suka Dia dan 150 juta) yang digarap oleh dirinya sendiri berdasarkan pengalaman lalunya.
Kosmo!: Apakah perasaan anda bila melihat kehadiran peminat pada majlis hari ini?
AINAN: Secara jujurnya saya tidak sangka mempunyai peminat yang ramai. Pada mulanya, saya ingat 10 orang sahaja yang hadir. Sebabnya, saya baru setahun berada dalam industri nyanyian.
Apakah perasaan anda bila peminat anda juga terdiri daripada lelaki lembut?
Saya teruja kerana diminati oleh peminat yang terdiri daripada pelbagai umur dan jantina.
Bagaimanakah penerimaan peminat terhadap Ainan dan lagu-lagu anda?
Saya sedar ada orang yang menyukai lagu Aku Suka Dia dan ada juga orang yang tidak menyukainya. Jadi, saya berharap dapat menghasilkan lagu yang lebih bagus pada masa-masa akan datang.
Apakah maksud anda, lagu Aku Suka Dia tidak bagus?
Lagu tersebut lebih kepada pendengar remaja. Selepas ini, saya akan hasilkan lagu yang lebih matang untuk meraih penerimaan lebih meluas dalam kalangan kesemua peminat muzik.
Selepas single pertama, Aku Suka Dia dan single kedua, 150 juta muncul, jadi apakah single ketiga anda?
Single ketiga saya yang akan muncul berjudul, Luka. Lagu ini sangat istimewa buat saya kerana ia menceritakan mengenai kontroversi yang membelenggu saya selama setahun dalam industri nyanyian.
Kontroversi apakah yang dimaksudkan anda itu?
Lagu itu ditulis berdasarkan pengalaman sedih saya yang difitnah mencuri lagu orang (single, 150 juta). Bukan itu sahaja, lagu itu juga ditulis selepas saya difitnah keluar dating dengan teman lelaki sehingga pagi.
Siapa sebenarnya yang memfitnah anda keluar dating dengan teman lelaki sehingga pagi?
Walaupun ada yang menyukai saya tetapi ramai juga yang tidak menyukai saya di UniMAP. Saya tidak pernah dating dengan teman lelaki sehingga pagi. Kolej kami juga tutup pukul 12 tengah malam, jadi mana mungkin saya boleh dating dengan dia sampai pagi.
Apakah perasaan anda apabila berdepan dengan kontroversi-kontroversi seperti itu?
Kontroversi-kontroversi itu tidak melemahkan saya sebaliknya menjadikan saya lebih kuat.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Lapan lagu ciptaan saya sudah dirakamkan. Syarikat rakaman saya iaitu MVM Production bercadang untuk terbitkan album sulung saya, berkemungkinan pada pertengahan bulan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: