|
|
KERJAYA seni Aiman Hakim Ridza atau dikenali sebagai Aiman kelihatan kini lebih terarah ke bidang lakonan meskipun bakatnya terlebih dulu dicungkil daripada program realiti TV, Mentor 5.
Aiman lebih popular sebagai pelakon berbanding penyanyi selepas drama bersiri Vanilla Coklat mendapat sambutan hangat.
Hakikatnya, dia sudah muncul dengan single duetnya bersama penyanyi Ernie berjudul, Kalimah Janji.
Tidak kecewa lagu tersebut kurang mendapat sambutan, Aiman, 24, yang kini muncul dengan drama terbaharu lakonannya, Rindu di Abu Dhabi mempunyai perancangan tersendiri untuk kerjaya nyanyiannya.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aiman yang ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Aiman kini lebih menyerlah sebagai penyanyi berbanding pelakon. Komen Aiman?
AIMAN: Memang benar, kerjaya lakonan saya lebih menyerlah daripada nyanyian. Namun, tidak ada sebarang kesan negatif dan saya tidak kisah kerana bagi saya kedua-dua bidang merupakan peluang yang bagus untuk diri saya.
Adakah Aiman kecewa lagu Kalimah Janji duet bersama Ernie tidak mendapat sambutan?
Saya tidak kecewa lagu Kalimah Janji kurang diputarkan menerusi radio walaupun ia telah diterbitkan pada bulan Julai tahun lalu. Mungkin ada silap di sana sini ataupun belum tiba tuah untuk saya dalam bidang nyanyian.
Di manakah silapnya sehingga lagu itu tenggelam begitu sahaja?
Sebelum ini mungkin saya terlalu ikut kata orang lain sebab itu jadi begitu. Selepas ini, saya harus buat semuanya sendiri. Bagi single yang seterusnya, sekurang-kurangnya saya mahu lagu itu diketahui pendengar radio.
Anda ada sebarang rancangan untuk meningkatkan semula kerjaya nyanyian?
Buat masa ini belum ada lagi kerana jadual terikat dengan penggambaran drama. Sebenarnya untuk mendapatkan sebuah lagu yang baik perlukan masa bukan boleh diperolehi dengan kadar segera. Selepas ini, segala hala tuju kerjaya muzik terletak di tangan saya sendiri kerana hanya saya tahu apa yang saya inginkan.
Apa yang Aiman inginkan dalam bidang muzik?
Saya ingin menghasilkan muzik yang bagus dan lagu nyanyian saya boleh diterima semua lapisan umur. Mungkin saya tidak boleh terlalu tamak kerana buat masa ini, fokus saya lebih ke bidang lakonan. Jika lakukan kedua-dua serentak dengan jadual yang padat, agak sukar untuk saya tetapi kalau diberi peluang untuk membikin lagu dan album, jiwa saya lebih ke arah genre muzik R&B dan pop rock.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: