Thursday, February 21, 2013

19 tahun Planetarium Negara

KOMPLEKS Planetarium Negara yang dirasmikan pada 7 Februari 1994 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk diterokai pengunjung.


GELAGAT sekumpulan pelajar yang teruja melihat permukaan matahari dengan menggunakan teleskop khas di pekarangan Planetarium Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur menarik perhatian mata yang memandang.
Walaupun berada di bawah terik mentari, masing-masing tetap setia menunggu giliran untuk menyaksikan bintang terdekat dengan Bumi yang memiliki jarak purata 149,680,000 kilometer itu.
Sebanyak 10 teleskop disediakan oleh Planetarium Negara, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Balai Cerap Selangor, Kelab-Kelab Falak Sekolah Wilayah Persekutuan dan Persatuan Astronomi Star Hunter bagi tujuan tersebut.
Aktiviti mencerap matahari itu merupakan salah satu daripada acara yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-19 Planetarium Negara pada 7 Februari lalu dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Mustafa Din Subari berkata, Planetarium Negara telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Februari 1994.
Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia tentang program-program sains angkasa.
Memukau pengunjung
“Sejak mula ditubuhkan hingga kini, Planetarium Negara telah berjaya menarik kehadiran hampir lima juta pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Selain itu, pelbagai aktiviti kesedaran peringkat kebangsaan telah dijalankan seperti National Space Challenge (NSC), pertandingan Pelancaran Teknologi Roket, pencerapan langit, syarahan umum mengenai fenomena angkasa dan pameran bergerak ke seluruh negara,” jelas Mustafa.
Tambahnya, selain aktiviti luar, pihaknya turut menyediakan dua slot tayangan baharu bertajuk Journey To The Star dan Across The Universe: The Voyager Show sempena sambutan tersebut secara percuma kepada pengunjung.
Dokumentari yang berdurasi lebih kurang 30 minit itu memaparkan tentang pengembaraan ke ruang angkasa dan meneroka asal usul kewujudan bintang yang terdapat dalam alam semesta.

PEMAHAMAN mengenai pelbagai kejadian alam semesta dapat dipelajari melalui tayangan dokumentari di Planetarium Negara.


“Tayangan ini diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang bintang dan teknologi angkasa yang semakin canggih. Setiap tahun, Planetarium Negara akan membawakan tiga dokumentari baharu untuk dipertontonkan kepada pengunjung,” ujar beliau sambil memberitahu, tayangan akan diadakan setiap satu jam.
Di samping itu, program sambutan 19 tahun penubuhan Planetarium Negara turut dimeriahkan dengan syarahan umum berkenaan fenomena-fenomena angkasa yang akan berlaku sepanjang tahun 2013.
Ia dikendalikan oleh Presiden Kelab Astronomi Amatur Malaysia (KAAM), Shahrin Ahmad yang juga merupakan pengasas portal Falak Online.
Tidak ketinggalan, para pengunjung turut diberi peluang untuk melawat Balai Cerap Planetarium Negara yang dilengkapi dengan teleskop robotik C14.
Teater kubah
Mengambil masa tiga tahun untuk dibina, Kompleks Planetarium Negara menempatkan sebuah teater berbentuk kubah di tengah-tengahnya. Keunikan reka bentuk teater tersebut telah memberi cabaran yang cukup hebat kepada jurubina projek, jurutera dan kontraktor bangunan.
Ketelitian dan ketepatan yang diperlukan bagi projektor bintang dan filem berformat besar juga memberi cabaran yang tidak kurang hebatnya.
Hakikatnya, Planetarium Negara memainkan peranan penting dalam menyuntik kesedaran tentang kepentingan bidang sains angkasa dalam kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, ia mengorak langkah pertama dalam usaha mendekatkan rakyat Malaysia dalam bidang berkenaan.
Selain Mustafa, turut hadir pada sambutan kali ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Noordin Ahmad dan Pengarah Bahagian Pendidikan Sains Angkasa merangkap Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: