Wednesday, February 13, 2013
15 kumpulan bakal berentap
IPOH - Sebanyak 15 kumpulan dram tempatan bakal berentap bagi mengisi satu lagi slot untuk mewakili negara dalam Royal Belum World Drums Festival 2013 pada Sabtu dan Ahad ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Perak, Datuk Hamidah Osman (gambar kecil) berkata, pertandingan peringkat kebangsaan itu akan diadakan di Mydin RTC Gopeng dekat sini.
"Tiga kumpulan dram iaitu Perkusi Gatra, Sekolah Integrasi Sultan Azlan Shah, Bota serta Persatuan Gendang Anak Harimau Perak bakal mewakili negeri Perak dalam pertandingan tersebut.
"Mereka dipilih menerusi pertandingan dram peringkat negeri yang diadakan di Teluk Intan pada 9 dan 10 Februari lalu," katanya di sini semalam.
Hamidah berkata, kumpulan yang memenangi pertandingan itu nanti berpeluang beraksi pada Royal Belum World Drums Festival 2013 bersama sebuah lagi kumpulan dari Malaysia iaitu Aswara Percussion Ensemble.
Selain itu, beliau memberitahu, juara pertandingan peringkat kebangsaan itu bakal meraih wang tunai RM18,000.
"Naib juara akan menerima wang tunai RM12,000 manakala RM6,000 untuk kumpulan yang mendapat tempat ketiga.
"Saya harap orang ramai dapat memeriahkan pertandingan itu yang merupakan acara pemanas badan Royal Belum World Drums Festival 2013," katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, Royal Belum World Drums Festival 2013 yang bakal berlangsung selama lima hari mulai 20 Februari ini menjanjikan kepuasan kepada peminat muzik irama dram.
Menurut beliau persembahan bertaraf antarabangsa yang memasuki edisi kedua tersebut dijangka disertai kumpulan dram dari 10 negara.
Festival itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd.
Untuk maklumat lanjut layari laman web, www.royalbelumworlddrumfest.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: