Saturday, December 22, 2012

Pilihan percutian terunggul negara



BUKAN sahaja pada musim cuti persekolahan, malah juga cuti hujung minggu atau cuti umum, kita dapat menyaksikan rakyat di negara ini memenuhi kompleks beli-belah, taman tema, pusat rekreasi atau pulang ke kampung halaman.
Kewujudan banyak kompleks beli-belah juga membuktikan rakyat di negara ini suka berbelanja terutamanya pada musim tawaran harga murah. Di ibu negara, misalnya, jalan-jalan menuju kompleks beli-belah menjadi sesak. Orang ramai juga bersesak-sesak memenuhi premis-premis yang membuat tawaran harga murah.
Kompleks-kompleks beli-belah turut menjadi tumpuan orang ramai berhibur atau menjamu selera.
Jika tidak pergi ke kompleks beli-belah, taman-taman tema, pusat rekreasi, hutan lipur turut menjadi tumpuan rakyat Malaysia bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan. Hotel atau restoran yang menghidangkan makanan lazat juga menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati detik istimewa bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sebuah laman web pelancongan terbesar di dunia, TripAdvisor baru-baru ini mendedahkan 10 destinasi dalam negara pilihan rakyat Malaysia.
Destinasi yang disenaraikan TripAdvisor ialah Kuala Lumpur diikuti Melaka, Genting Highlands, Kota Kinabalu, George Town, Batu Ferringhi, Johor Bahru, Port Dickson, Kuching dan Kuantan.
Ranking tersebut berdasarkan bilangan alamat Protokol Internet (IP) rakyat Malaysia yang mengunjungi laman web TripAdvisor.com antara 1 Januari hingga 30 November tahun ini.
Timbalan Presiden Penjualan Periklanan, Asia Pacific TripAdvisor, Cindy Tan berkata, TripAdvisor membolehkan pengunjung merancang percutian termasuk mendapat tip daripada pengunjung lain yang pernah menginap di hotel atau mencuba makanan di restoran tertentu.
“Misi kami adalah untuk membantu pelancong atau pelawat di seluruh dunia merancang percutian sempurna.
“TripAdvisor merupakan laman web pelancongan terbesar di dunia, Pada tahun ini, sebanyak 75 juta orang memberi ulasan di laman web kami, 60 juta pengunjung setiap bulan, menyenaraikan lebih 1.8 juta perniagaan, lebih 60 penyumbang setiap minit dan membabitkan 110,000 destinasi,” katanya kepada pemberita di One World Hotel, Bandar Utama baru-baru ini.
Kuala Lumpur
Ibu negara bukan sahaja mempunyai pelbagai tarikan pelancongan malah bilangan kompleks beli-belah yang banyak dan besar turut menarik perhatian rakyatnya.
Rangkaian hotel bajet hingga yang bertaraf mewah tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Kuala Lumpur. Hotel-hotel ada yang dibina bersambung atau berhampiran kompleks beli-belah sekali gus memberikan lebih banyak kemudahan kepada para penginap.

KUALA Lumpur merupakan pilihan destinasi percutian utama rakyat Malaysia.


Antara hotel di Kuala Lumpur yang menjadi pilihan tertinggi pengunjung laman web tersebut ialah Hotel Traders. Seramai 2,389 daripada 3,434 pengunjung TripAdvisor memberikan komen cemerlang terhadap kualiti perkhidmatan, harga, keselesaan dan lain-lain.
Melaka
Bandar raya bersejarah ini tidak kurang hebatnya apabila menjadi lokasi kedua pilihan percutian rakyat Malaysia di laman web tersebut.
Hotel The Majestic Malacca menduduki tangga nombor satu sebagai hotel pilihan pengunjung TripAdvisor. Keunikan seni bina dan kemewahan hiasan dan kemudahan memberi satu pengalaman indah kepada para pelanggannya.
Lokasi pilihan menjamu selera pula ialah di Restoran Pak Putra Tandoori dan Nan yang terletak di Jalan Laksamana 4, Bandar Melaka. Pengunjung web dilihat memberi komen seperti kesesuaian untuk kumpulan besar, harga yang murah, layanan mesra dan keenakan makanan tempatan.
Genting Highlands
Kota keriangan Genting Highlands berada di tempat ketiga dengan Resort Hotel Genting Highlands menjadi pilihan utama pengunjung. Daripada 136 pengunjung, 36 orang memberikan komen cemerlang, 56 baik manakala bakinya memberikan komen sederhana, biasa dan teruk.
Untuk menjamu selera kebanyakan pengunjung memilih restoran makanan segera Bubbles & Bites. Harga makanan yang ditawarkan adalah antara RM6 hingga RM34.
Kota Kinabalu

Tarikan rekreasi taman tema dan cuaca sejuk menjadikan Genting Highlands sesuai untuk percutian sekeluarga.


Keunikan alam Negeri Di Bawah Bayu ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong tempatan malah dari luar negara. Sabah juga mempunyai pulau-pulau yang cantik sekali gus menjadi destinasi popular untuk aktiviti menyelam skuba atau snorkeling.
Hotel yang menjadi pilihan majoriti pengunjung ialah Shangri-La Rasa Ria Resort. Seramai 1,177 daripada 1,746 pengunjung memberikan komen cemerlang. Tetamu terpesona dengan keindahan pantai dan suasana tenang di hotel berkenaan.
Pulau Pinang
Negeri yang terkenal dengan persembahan boria ini sering kali menjadi pilihan pelancongan tempatan bercuti. Tidak hairanlah, dua daerah di negeri ini menjadi tumpuan pelancong iaitu George Town dan Batu Feringghi masing-masing berada pada kedudukan kelima dan keenam.
Hotel-hotel pilihan utama di dua lokasi berkenaan ialah Hotel Yeng Keng, George Town dan Shangri-La Rasa Sayang Resort.
Johor Bahru
Negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia ini kian berkembang dari segi pelancongan. Pembukaan beberapa tarikan pelancongan baharu seperti Legoland dan Hello Kitty di Nusajaya membuatkan ramai rakyat di negara ini merancang berkunjung dalam masa terdekat.
Pada musim cuti persekolahan ini, difahamkan semua bilik hotel habis ditempah. Antara hotel pilihan utama ialah Hotel Thistle.
Port Dickson
Negeri Sembilan mempertaruhkan Port Dickson sejak sekian lama. Ia menjadi tumpuan pelancong tempatan yang gemar bermandi-manda di kawasan pantainya yang landai. Terdapat banyak hotel dan resort di daerah ini tetapi pilihan pengunjung TripAdvisor ialah Thistle Port Dickson Resort.
Beberapa pengunjung memberikan beberapa komen terhadap resort tersebut yang disifatkan bagus dari segi layanan pekerja, pemandangan laut dan kemudahan untuk tetamu.
Kuching

BERSIAR dengan bot di Sungai Melaka menjadi produk pelancongan yang amat popular.


Variasi budaya etnik dan kekayaan khazanah semula jadi menjadikan Sarawak tumpuan para pencinta alam. Lawatan ke Gua Niah, Gunung Mulu dan Taman Negara Bako adalah antara tarikan utama di Sarawak.
Di Kuching sahaja terdapat banyak lokasi tarikan pelancongan seperti China Town, Kuching Waterfront dan Muzium Sarawak. Setiap satunya mencuri perhatian dengan kekuatan nilai warisan yang eksotik.
Hotel Pullman Kuching menjadi pilihan utama pengunjung ketika bercuti ke ibu negeri Sarawak itu. Menurut laman web TripAdvisor, hotel tersebut menerima banyak komen positif yang menyentuh aspek hiasan yang menarik, lokasinya yang berhampiran dengan kompleks beli-belah dan Sungai Sarawak.
Kuantan
Club Med Cherating Beach muncul pilihan pertama daripada 42 hotel di Kuantan, Pahang. Terletak berhadapan Laut China Selatan membuatkan ramai pengunjung teruja dengan pemandangan laut yang indah dan menenangkan jiwa. Pengunjung juga dapat melihat kehadiran monyet-monyet atau hidupan lain di sekitar kawasan berhampiran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: