Wednesday, December 26, 2012

Suntikan elemen moden


UNSUR humor daripada trend terkini menjadikan teater Ali Baba kali ini agak segardan berjaya menarik fokus penonton.


PEMENTASAN teater muzikal Ali Baba yang telah bermula sejak Jumaat lalu sehingga 29 Disember ini di Istana Budaya ternyata agak berlainan daripada apa yang telah dipentaskan buat pertama kali pada tahun 2006 lalu.
Versi kali ini lebih kepada sasaran untuk penonton remaja hingga kanak-kanak kerana tenaga utama lakonan teater kali ini merupakan pelakon pelapis terkenal seperti Fizo Omar sebagai Ali Baba dan Elfira Loy sebagai Marjina.
Berbanding versi 2006, teater Ali Baba lebih tertumpu kepada pelakon kanak-kanak apabila seramai 80 orang kanak-kanak yang berusia antara lima sehingga 12 tahun telah menjayakan pementasan berkenaan.
Dalam kedua-dua versi teater berkenaan, pengacara dan selebriti terkenal Aznil Nawawi masih menjadi tulang belakang kepada pementasan itu apabila menggalas tugas sebagai ketua penyamun.
Aznil boleh dikatakan menjadi tulang belakang kepada pementasan itu kerana lakonannya cukup menghiburkan dan berjaya mencuit hati penonton dengan lawak bersahaja dan beberapa elemen kejutan yang ditonjolkan.
Teater muzikal hasil adaptasi filem karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ali Babab Bujang Lapuk ini mengandungi banyak kelainan yang cuba ditonjolkan dan unsur humor yang ditampilkan juga mengikut trend zaman sekarang.
Mana tidaknya, apabila babak ketua penyamun lakonan Aznil bersama 40 orang penyamun tiba-tiba menari lagu Gangnam Sytle yang dipopularkan oleh penyanyi rap, Korea Selatan, Psy yang cukup menjadi fenomena sekarang.
Mereka telah menari bersama irama lagu berkenaan ketika babak ketua penyamun hendak membuka pintu gua yang menjadi tempat menyimpan hasil samun mereka.
Babak tidak diduga itu cukup mencuit hati penonton di samping Aznil sendiri dengan solekan ketua penyamun ala Kapten Jack Sparrow seperti pelakon Johnny Depp dalam siri filem pecah panggung Hollywood, Pirates of the Caribbean.
Bagi memberi suntikan moden dan lebih dekat dengan hati penonton yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja, menerusi pementasan Ali Baba itu, ketua penyamun tidak lagi menggunakan basikal asal seperti yang dilakonkan oleh P. Ramlee iaitu jenis Chopper Raleigh.
Sebaliknya, ketua penyamun yang direalisasikan Aznil dalam teater muzikal itu telah menggunakan skuter elektrik dan Ali Baba semasa kaya pula telah menggunakan motosikal serbaguna atau jenis ATV.
Kata pengarah pementasan teater berkenaan, Lokman Ghani, beberapa elemen itu diterapkan dalam teater itu bagi memberi suasana keseronokan kepada kanak-kanak walaupun babak itu sekejap sahaja.
“Tarian Gangnam itu walaupun sekejap, ia akan diingati, kami memang sengaja buat begitu kerana kami tahu ia akan membuatkan penonton terhibur,” jelasnya ketika ditemui selepas pementasan pertama teater muzikal itu.
Ujarnya lagi, dia cuba lari daripada babak yang sedia diketahui ramai dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk bagi mengelakkan penonton bosan.
“Semua orang tahu babak yang sedia ada dalam filem jadi bila ada elemen kejutan ia memberi kelainan,” katanya yang turut menukar babak Kassim Baba lakonan Ebby Yus mati kena pancung dengan mati akibat gas beracun.
Dalam teater itu juga hanya Aznil, Ebby dan Najua P. Ramlee (sebagai Aloyah) menggunakan suara mereka sendiri untuk menyanyi dalam pementasan berkenaan.
Bagi Fizo pula, dia mengakui telah jatuh cinta dengan dunia pementasan teater sejak memegang watak Ali Baba.
“Walaupun gemuruh pada awalnya, rasa satu kepuasan selepas menjayakan satu pementasan, saya rasa lega sangat,” ujarnya yang tidak mahu disamakan dengan lakonan Ali Baba yang dibawakan oleh Datuk Aziz Satar.
Tiket bagi menyaksikan pementasan teater muzikal ini yang berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100 boleh ditempah menerusi talian 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: