Saturday, December 29, 2012

Skoda Octavia generasi ketiga!


SKODA mempunyai nama yang kuat di pasaran Eropah.


BAGI mereka yang selalu mengikuti perkembangan rali tanah air, pasti tahu mengenai penyertaan Proton Satria Neo S2000 dalam rali antarabangsa seperti World Rally Championship (WRC), Intercontinental Rally Challenge (IRC) dan Asia Pacific Rally Championship (APRC).
Proton memasuki pertandingan tersebut bukan saja-saja untuk makan angin, tetapi sudah berkali-kali menaiki podium. Proton bersaing dengan jentera-jentera hebat dunia seperti Mitsubishi, Subaru, Ford dan Fiat.
Walaupun begitu, ada satu jenama kereta yang selalu menyekat kemaraan Proton terutama dalam IRC dan baru-baru ini di APRC iaitu Skoda Fabia S2000. Kereta itu memang pantas dengan nilai kejuruteraan tinggi dan melayakkannya bergelar juara.
Perlu tahu bahawa Skoda sebenarnya firma yang berada di bawah naungan Volkswagen (VW). Jenama itu juga merupakan alternatif terdekat untuk mereka yang mahukan teknologi VW, tetapi dengan harga lebih rendah.
Baru-baru ini Skoda melancarkan model “bread and butter” mereka iaitu Octavia generasi ketiga. Model tersebut katanya mempunyai ruang yang luas, praktikal, ciri-ciri keselamatan dan keselesaan yang inovatif. Selain jimat minyak dan ditawarkan pada harga munasabah, sesuatu yang cukup sinonim dengan Skoda.
“Skoda Octavia merupakan nadi kepada jenama kami Ia mengandungi warisan jentera Skoda iaitu ruang luas, kualiti, hasil kerja teliti, moden, teknologi matang, rekaan tidak luput masa, praktikal dan bernilai tinggi berbanding harganya.
“Jangkaan pelanggan semakin tinggi. Sasaran kami adalah untuk menjadikannya lebih baik. Ini dapat dicerminkan pada nilai yang ada pada Octavia baharu. Ia nyata berada dalam kelasnya yang tersendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Skoda, Winfried Vahland.

PAPARAN dan susun atur butang kawalan yang kemas.


Pakej Ekstra
Menurut laporan agensi berita Newspress, daya penarik utama Skoda Octavia adalah pada pakejnya yang ekstra. Ruangnya luas, tetapi dipakejkan dalam rekaan sedan yang elegan bersama praktikaliti sebuah hatchback. Itulah ciri-ciri unik pada kereta dalam segmennya.
“Octavia baharu ialah kereta dengan kualiti kelas pertengahan. Tetapi ditawarkan pada harga kereta kompak. Ia pilihan yang ideal untuk pelanggan yang mahukan sebuah Octavia dengan ciri-ciri tradisionalnya. Ini adalah yang terbaik daripada kami,” kata ahli lembaga pembangunan teknikal Skoda, Frank Welsch.
Octavia generasi ketiga merupakan penanda aras baharu dari aspek penawaran ruang dalam kelasnya. Dakwa m Skoda, tiada model dalam segmen tersebut dengan panjang ruang kabin mencecah 1,782 m ilimeter (mm), ruang kaki 73mm dan ruang kepala penumpang belakang seluas 980mm.
Saiz bonetnya juga luas iaitu 590 liter. Selain daripada ruang yang luas, Octavia juga mempunyai reka bentuk yang menawan. Konsep begitu tidak pernah ditampilkan pada generasi terdahulu.
Kali ini ia lebih dinamik, elegan, terampil dan hadir dengan perincian. Bayangan kereta itu dengan garisan badannya nampak seperti sebuah kereta coupé. Rekaannya ada kelas dan kemas dengan perkadaran yang sempurna.
Ketika membangunkan Octavia, antara matlamat utama adalah untuk menjadikan model itu lebih selamat. Bagi mencapai sasaran tersebut, para jurutera telah mengaplikasikan sistem keselamatan termaju seperti fungsi Front Assistant (brek kecemasan) dan Lane Assistant yang mengekalkan kereta pada laluannya.
Ciri multi collision-braking iaitu aplikasi brek automatik sewaktu kemalangan, Crew Protect Assistant yang menjamin keselamatan kereta semasa kemalangan, Driver Activity Assitant (pengesan kelesuan) atau active front hatch untuk perlindungan pejalan kaki turut dipasang.
Sistem-sistem keselamatan tersebut berperanan mengelak kemalangan atau mengalihkan kesannya daripada penumpang dan pengguna jalan raya lain. Jumlah beg udaranya juga mengagumkan, ada sembilan beg udara!
Bagi janaan kuasa, Octavia dibekalkan dengan lapan opsyen enjin. Empat enjin teknologi petrol TSI, empat enjin teknologi diesel TDI dan tambahan enjin gas asli pada masa akan datang. Enjin-enjin itu dipadankan dengan transmisi manual atau automatik DSG. Lebih menarik, versi sporty Octavia RS sedang dalam pembangunan.
Hasil daripada skala ekonomi, kumpulan VW dapat memasarkan Skoda dengan harga yang rendah. Teknologi dan kejuruteraannya sama. Jadi mereka boleh menggunakan strategi tersebut. Di Malaysia, lain pula ceritanya apabila Skoda dipasarkan lebih premium berbanding VW.
Senang kata, Skoda adalah pakej penjenamaan semula VW di dalam pembungkusan berbeza. Itu adalah strategi biasa dalam bisnes. Apa yang lebih penting, semua golongan dapat merasai teknologi terkini.
Tidak semua mampu membeli komputer riba jenama premium. Namun hakikatnya cip pemprosesan yang sama turut boleh didapati di dalam komputer riba jenama pertengahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: