Mejar Dr Faiz Khaleed
Dr Faiz ketika ditemui dalam pelancaran Fear Factor Selebriti Malaysia. 
NAMA Mejar Dr Faiz Khaleed bukan asing lagi dalam negara kita. Selepas diangkat sebagai salah seorang calon angkasawan negara menerusi Program Angkasawan Negara Malaysia pada tahun 2006, Dr Faiz semakin dikenali melalui penglibatannya dalam industri seni.

Mungkin ramai yang tidak berpeluang untuk mengenali jejaka berusia 32 tahun ini dengan lebih dekat. Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama beliau yang diadakan baru-baru ini.


SINAR HARIAN ONLINE: Sebagai permulaan, boleh kongsi sedikit latar belakang seorang Mejar Dr Faiz Khaleed?

DR FAIZ: Saya anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Kuala Lumpur. Daripada kecil lagi di Kampung Baru, kini sudah menetap di Cheras. Saya bersekolah di St. John peringkat rendah dan menengah. Saya mendapat pendidikan universiti di Universiti Malaya dalam bidang pergigian dan pada tahun 2004 saya memasuki tentera sebagai doktor pergigian angkatan tentera (Angkatan Tentera Malaysia).

Dalam ATM saya banyak menyertai latihan-latihan ketenteraan asas dan juga latihan khusus asas payung terjun. Pada tahun 2006, saya telah memasuki Program Angkasawan dan alhamdulillah, saya terpilih sebagai seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dihantar ke Rusia, Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin. Sekarang ini saya masih lagi dalam tentera yang dipinjamkan daripada Kementerian Pertahanan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Kini, ditempatkan di Yayasan Angkasawan Malaysia.


SINAR HARIAN ONLINE: Daripada seorang doktor gigi bergelar bakal angkasawan dan terbaru menjadi selebriti, boleh Dr Faiz ceritakan sedikit tentang penglibatan tersebut?
DR FAIZ: Pada saya, tawaran seperti program realiti, Fear Factor ataupun MasterChef sebelum ini dan ada beberapa lagi tawaran-tawaran daripada bidang yang amat berbeza daripada latar belakang saya, merupakan satu tawaran yang mencabar, menarik serta berbeza yang saya tak jangka selama ini. Saya tak pernah terfikir tetapi tawaran yang ada jangan terus tolak. Kita kena nilai. Bidang ’showbiz’ ini tidak tertumpu pada satu bidang saja.

Ada bidang lasak, masakan, kesihatan dan sebagainya. Banyak bidang dalam satu kategori ini. Saya hanya lihat dan menilai. Apa-apa tawaran yang saya minat saya rasa tak salah untuk saya libatkan diri.

Tawaran yang datang saya rasa merupakan platform untuk kita berkongsi. Sebagai contoh, jika ada sesuatu perkara yang berlatar belakangkan kesihatan... yang saya minat kenapa tidak saya libatkan diri? Kita boleh menggunakan ini sebagai satu ruang untuk kita berkongsi, apa yang kita suka kepada masyarakat. Selagi perkara itu positif, saya rasa bagus, tidak ada masalah.


SINAR HARIAN ONLINE: Dr Faiz gembira atau tidak berada dalam persekitaran dunia ‘showbiz’?

DR FAIZ: Maksudnya perbezaan suasana persekitaran saya sebelum ini? Sudah tentu persekitaran itu berbeza, tetapi saya selalu percaya... dari bidang perubatan, saya masuk ke dalam bidang angkasa lepas... persekitaran ini kita tak boleh pilih. Tetapi apa yang kita boleh buat ialah kita tahu objektif kita dan perlu mengadaptasikan diri. Itu lebih penting. Sebagai contoh, kalau kita hendak mencari pekerjaan. Kita suka kerja yang kita nak buat tetapi persekitarannya kita tak boleh kawal. Kita kena kekal fokus pada masa yang sama adaptasikan diri kita pada persekitaran itu.


SINAR HARIAN ONLINE: Susah atau tidak untuk sesuaikan diri dalam dunia seni?

DR FAIZ: Saya rasa tak begitu susah. Saya melihat mereka pakar dalam bidang masing-masing, berkarya. Apabila saya masuk dalam bidang ini, saya dapat lihat cara pemikiran yang berbeza. Saya belajar banyak tentang bidang ini.


SINAR HARIAN ONLINE: Pernah terfikir untuk ceburi bidang lain selain program realiti seperti lakonan atau pengacaraan?

DR FAIZ: Banyak juga orang tanya soalan ini tetapi seperti yang saya kata, tawaran yang datang kita perlu nilai. Kita tak boleh terus cakap tak atau ya. Sebagai contoh, pengacara. Tetapi kalau dalam bidang yang saya minat dan saya rasa saya boleh menyumbang, kenapa tidak.

Saya ambil contoh, kesihatan sekali lagi kerana saya minat tentang bual bicara kesihatan. Kalau diberi tawaran tersebut, sudah tentu saya akan menilai dan kemungkinan besar saya akan mencuba dan memberikan yang terbaik. Tetapi ada juga bidang yang saya rasa saya tidak begitu mahir macam lakonan. Saya kurang berbakat atau fasih dalam bidang tersebut, jadi saya mungkin menilai banyak kali. Seperti yang saya cakap tadi, bidang ‘showbiz’ ini adalah satu bidang yang luas.

Dalamnya ada banyak bidang yang tertentu. Jadi, kita tak boleh melihat ia pada satu sudut sahaja. Dalam bidang itu sendiri, ada banyak cabang. Yang penting kita kena tahu sama ada kita boleh berbakti dalam bidang itu atau tak. Kalau rasa tak boleh menyumbang, tak payahlah. Misalnya tawaran yang diberikan berkaitan tentang sukan lasak yang saya minat, mungkin saya boleh berkongsi.


SINAR HARIAN ONLINE: Persepsi sebelum dan selepas mengenali dunia seni berubah atau tidak? Mungkin sebelum ini, persepsi begini tetapi apabila sudah terlibat dalam dunia itu sendiri rupa-rupanya begini.

DR FAIZ: Tak juga. Saya selalu nampak bidang ini sebagai sesuatu bidang pekerjaan macam bidang-bidang lain. Saya melihat orang yang berada dalam bidang berbeza mempunyai pemikiran yang berbeza. Cuma mendekati bidang ‘showbiz’ ini, saya tak pernah lagi sampai sekarang. Sudah tentu ia banyak mengajarlah kerana saya tidak pernah mendekati bidang ini. Saya tak pernah ada satu persepsi terhadap dunia seni. Cuma saya nak tahu bagaimana mereka bekerja. ‘Showbiz’ ini luas. Dengan jurukamera, penulis skrip dan sebagainya, jadi saya dapat faham bidang tersebut dengan lebih menyeluruh.


SINAR HARIAN ONLINE: Berbalik kepada isu Program Angkasawan yang tertunda, jadi apa sebenarnya status program tersebut?

DR FAIZ: Ramai yang bertanya tentang perkara ini. Informasi itu ada yang sampai ada yang tidak pada segelintir masyarakat. Sebenarnya Program Angkasawan ini daripada segi dasarnya, memang kerajaan ingin meneruskan. Ramai juga yang bertanya, kalau diteruskan kenapa saya tidak sambung latihan, kenapa kita tak dengar apa-apa tentang program ini. Apa yang saya boleh beritahu, apa yang saya tahu daripada peringkat saya, program ini akan diteruskan, kerajaan tidak berniat untuk menghentikan program ini.

Cuma, Agensi Angkasa Negara sudah melakukan ‘postmorterm’ tentang program pertama dan apa yang boleh diperbaiki dan kita tidak mahu tergesa-gesa. Bermaksud, kita perlu kendalikan perkara ini secara dasar dulu. Tak guna kalau kita nak pergi ‘second trip’ atau ‘third trip’ tetapi tidak ‘address’ kelemahan yang lepas-lepas, jadi itu yang penting. Kedua,  dari segi slot lancaran di Rusia. Buat masa sekarang ini dah penuh. Kita juga tahu Amerika sudah tak ada ‘space shuttle’, jadi, mereka banyak membeli slot dari Rusia untuk menghantar angkasawan mereka.

Ini menyebabkan slot penuh. Itu pun merupakan satu sebab kenapa kita kena tunggu dulu. Tetapi saya rasa, ia sebab yang bagus kerana kita mempunyai masa sekarang untuk betul-betul lakar objektif dan juga misi yang lebih bermakna pada masa akan datang. Ada juga yang bertanya pada saya, berapa lama lagi dijangka? Itu bergantung pada kekosongan pada pihak Russia. Sekarang, banyak negara yang ingin pergi bersama mereka. Satu lagi, bergantung juga kepada kerajaan kita. Kekuatan ekonomi. Apa yang perlu didahulukan, didahulukan.

Sekarang ini, mungkin banyak lagi perkara-perkara yang perlu kita dahulukan seperti MRT, infrastruktur lain untuk menyediakan negara ke arah negara membangun. Itu penting tetapi sains angkasa lepas, misi ke angkasa lepas kalau kita lihat, negara yang maju tak ketepikan bidang ini. Jadi, saya rasa langkah yang bagus, iaitu kita tidak mengetepikan sains angkasa lepas. Pada masa sama, negara kita fokus pada apa yang perlu dibuat sekarang. Satu hari nanti saya percaya, ia akan mempunyai kesinambungan yang bermakna.


SINAR HARIAN ONLINE: Setelah berada dalam bidang itu, apa yang boleh Dr Faiz sarankan kepada anak muda di luar sana?

DR FAIZ: Saya sebenarnya syorkan kepada anak muda untuk menceburi apa-apa bidang yang baru. Ya, saya faham. Kalau bidang-bidang yang sudah ‘establish’, sebagai contoh bidang kejuruteraan, kedoktoran, pakar IT. Ini semua bidang yang telah terbukti, yang kita tak boleh nafikan ini merupakan satu bidang yang boleh menjamin daripada segi boleh memberi kita kehidupan yang bagus.

Tetapi, pada masa yang sama, kita juga ada bidang-bidang yang baru kerana negara kita sentiasa mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi. Jadi, wujudnya bidang-bidang baru seperti bidang angkasa lepas, bioteknologi, nanoteknologi dan sebagainya. Kita sebagai rakyat Malaysia, juga perlu mempertimbangkan bidang-bidang baru ini. Walaupun bidang-bidang baru ini, banyak orang cakap betul ke? Boleh ke cari kerja?

Ya, memang itu keburukannya. Tetapi, bayangkan anda yang pertama atau anda yang terawal buat. Jika berjaya, bukankah anda akan menjadi perintis kepada bidang ini? Ini kita dapat lihat sebagai contoh dulu, kita tak ada telekomunikasi, kemudian kita ada. Siapa yang mulakan? Kalau kita rakyat Malaysia tak mahu memasuki bidang baru, sampai sekarang kita tak akan ada bidang telekomunikasi itu. Jadi, apa yang saya syorkan pada generasi muda ialah kalau kita nak selamat, buat seperti saya. Kita ambil bidang-bidang seperti kedoktoran, yang mana dah terbukti, pada masa yang sama, jangan hanya menumpu sangat pada bidang yang dah ‘establish’ ini.

Saya juga memasuki bidang angkasa lepas di mana bidang baru, pada masa yang sama saya ada kelulusan dalam bidang yang dah terbukti ini. Saya rasa itu lebih selamat. Di mana anda sekarang berada di universiti, ya anda latih kepakaran anda dalam bidang yang terbukti, bagus. Sebagai contoh, peguam, jurutera kimia, cuma apabila sudah bekerja nanti anda jadilah peguam, jurutera tetapi jangan tutup ‘mind set’ hanya buat itu saja. Kalau nampak peluang lain, yang kita dah nilai dan kita rasa kita pun boleh, kenapa tidak cuba? Itu nasihat saya.


SINAR HARIAN ONLINE: Perjalanan yang Dr Faiz lalui daripada seorang doktor kepada seorang angkasawan merupakan bukan suatu perkara mudah untuk dilalui, jadi, mungkin ada rahsia bagaimana Dr Faiz boleh mencapai apa yang Dr Faiz mahu?

DR FAIZ: Tak mudah. Orang kata melompat bidang apa semua, ramai sebenarnya di Malaysia ini yang lompat bidang tetapi perkara ini kita perlu, pertama, kita tahu diri kita. Kita tahu kelemahan dan kekurangan diri kita. Lepas itu, kita tahu pula bidang yang kita ingin masuk.

Kita dah tahu daripada A sampai Z. Selepas itu, kita muhasabah. Kita rasa kita boleh atau tidak buat bidang itu. Kalau kita rasa boleh, kita yakin, dah buat ‘homework’, kemudian baru kita bersedia untuk melompat ke bidang itu. Tetapi kalau kita tak buat ‘homework’, kita nak ikut orang saja, saya rasa tak wajar kerana kita tak tahu apa yang kita ceburi, itu bahaya. Nak ceburi satu bidang baru, kita perlu kaji, pemikiran analitikal mesti ada.

Anda mesti kritikal dan faham. Sebagai contoh, ramai orang nak buat perniagaan. Ada yang kerja jam 8 pagi hingga 5 petang nak berniaga, memang ramai. Kawan masuk, dia pun nak masuk. Kawan dah buat ‘homework’, mungkin anda tidak buat. Itu tidak boleh. Kalau nak melompat, kita kena faham bidang yang kita nak masuk itu.

Apa yang kita nak buat dan kita tahu kita boleh buat. Itu yang penting dan juga saya rasa kita kena percaya pada diri kita dan bersungguh-sungguh, maksudnya jangan hangat-hangat tahi ayam. Sekarang nak buat, enam bulan selepas itu dah bosan. Kita kena tahu kita minat dan tetap buat walaupun orang kata kita tak boleh. Kita teruskan. Insya-ALLAH dengan kesinambungan yang kita ada itu, semangat yang kita ada, Insya-ALLAH kita akan capai kejayaan. Itu saya rasa formula yang biasa, kebanyakan orang yang berjaya kongsi.


SINAR HARIAN ONLINE: Masa dah berlalu dan sudah sampai ke penghujung tahun, jadi bagaimana Dr Faiz menjalani 2012. Mungkin ada pencapaian yang boleh dibanggakan?

DR FAIZ: Tahun 2012 merupakan suatu tahun yang bagus pada saya. Alhamdulillah walaupun daripada segi ekonomi negara kita sedang pulih. Saya dapat buat banyak berbanding tahun lepas. Sebagai contoh, saya dapat buat program-program kesedaran sains angkasa lepas lebih banyak. Mengimbangkan kawasan luar bandar dengan luar bandar. Pada masa sama, daripada segi pergigian, saya dapat meluangkan masa untuk membuat ‘dental practise’. Tawaran-tawaran yang datang dari segi ceramah motivasi dan tawaran ‘showbiz’ seperti tadi yang dibincangkan. Secara keseluruhan 2012 merupakan tahun yang bagus. Daripada segi perhubungan dengan keluarga dan rakan pula, saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama mereka tidak seperti dulu yang tertumpu pada karier sahaja kan.

Sekarang ini alhamdulillah. Saya harap 2013 akan menjadi lebih baik dan bermakna lagi untuk kita semua.


SINAR HARIAN ONLINE: Ada tak misi yang belum tercapai bagi 2012?

DR FAIZ: Ada juga misi yang belum tercapai. Saya selalu teringin untuk membuka klinik sendiri. Saya rasa belum masanya lagi. Mungkin tahun depan. Itu merupakan salah satu agenda dalam hidup saya. Satu hari nanti saya akan membuka klinik saya sendiri dan tak boleh lambat sangat. Betul tak? Kerana walaupun saya terlibat dalam banyak bidang, tetapi saya masih lagi suka dan membuat bidang pergigian kerana itu memang minat saya. Saya rasa ‘enjoy’ bila saya buat. Ramai juga kawan yang tanya, kenapa tak buka klinik sendiri? Banyak benda yang perlu dipertimbangkan tetapi itu masih menjadi salah satu daripada ‘goal’ yang masih belum saya buat lagi. Insya-Allah saya akan buat dalam jangka masa terdekat ini. Insya-ALLAh kita tengok macam mana.


SINAR HARIAN ONLINE: Satu perkataan yang menggambarkan Mejar Dr Faiz Khaleed?

DR FAIZ: Saya suka mencuba benda baru.. ‘explore’. Mungkin ramai yang tanya kenapa. Malah sejak di universiti lagi. Awak sudah jadi doktor gigi, kenapa masuk tentera? Saya kata, saya masuk tentera sebab tentera pun ada doktor gigi. Ia merupakan satu bidang yang baru dan saya boleh belajar benda baru. Memang betul, saya masuk tentera, saya dapat belajar tentang senjata, latihan ketenteraan, saya tahu macam mana mereka berfungsi. Saya rasa ini sesuatu yang hebat, negara kita dilindungi organisasi begini.

Selepas itu, ada soalan lain pula. Kenapa masuk Program Angkasawan? Ini suatu benda yang di luar bidang. Pada saya kenapa tidak? Tak salah pun kerana itu bidang sains juga. Sudah tentu saya buat penilaian. Boleh ke saya buat? Saya minat ke benda ini? Tetapi kalau saya rasa benda itu bagus, mencabar, positif, saya masuk ke bidang itu. Sekarang pula orang tanya, kenapa ada masuk MasterChef, Fear Factor, ‘showbiz’ sikit? Bukan semua tawaran saya ambil. Itu minat saya, saya ambil. Kenapa tidak kita buat sesuatu benda yang kita minat.


SINAR HARIAN ONLINE: Perkembangan terkini Dr Faiz memandangkan sekarang sudah berada di penghujung tahun?

DR FAIZ: Alhamdulillah dari segi kerjalah semua perkara yang perlu diselesaikan pada 2012 sudah sempurna. Cuma sekarang ini tidaklah sesibuk macam awal tahun. Sekarang lebih relaks. Akhir-akhir tahun ini, saya lebih bersama dengan keluarga dan kawan-kawan.