Thursday, December 27, 2012

Fazurina hormati pendirian ibu

FAZURINA dan Hykal menunjukkan surat akuan pernikahan mereka.


PERKAHWINAN adalah sesuatu yang sangat indah dan istimewa. Perjanjian di antara dua insan akan termeterai jika restu perhubungan diizinkan.
Namun bagi pelakon drama bersiri menerusi slot Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd. Famir, 30, atau lebih dikenali sebagai Siti Fazurina, dia tidak menyangka pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Hykal Zulkifli, 31, mengundang mimpi duka setelah didakwa tidak mendapat restu keluarga.
Kontroversi kisah hidup Fazurina yang baru dua minggu mendirikan rumah tangga itu semakin tersebar luas menerusi laman sosial Facebook dan Twitter apabila mereka dikhabarkan ‘kahwin lari’ di Thailand.
Persoalan mengenai status pernikahannya menjadi perbualan sehingga Fazurina pasrah dengan dakwaan yang timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarganya sendiri.
Bagaimanapun, segalanya terjawab sebaik Fazurina atau nama ringkasnya Nina mengadakan sidang akhbar di salah sebuah hotel di Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini dengan turut menjemput ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, serta beberapa ahli keluarganya yang lain termasuklah abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya, Mohd. Fauzi, 24, dan Mohd. Firdaus, 22.
Sidang akhbar tersebut bagaimanapun bertukar menjadi seolah-olah penggambaran sebuah drama Melayu apabila Zubaidah dan ahli keluarga Fazurina yang hadir hanya mendiamkan diri.
‘Drama’ air mata mula tercetus apabila Fazurina tiba-tiba bergegas mengejar Zubaidah sehingga ke tangga selepas ibunya itu dibawa oleh salah seorang daripada adik lelakinya itu untuk beredar dari sidang akhbar tersebut.
Hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun, Fazurina dilihat amat sebak.
Sementelah, Zubaidah kedengaran telah meluahkan kekesalannya dengan tindakan Fazurina (berkahwin secara senyap-senyap) sebelum dia ditarik adiknya itu meninggalkan lokasi sidang akhbar tersebut.
Berikut sedutan temu bual bersama Fazurina selepas tamat ‘drama’ sebabak tersebut.
Kosmo!: Bagaimanakah timbul isu Nina kahwin lari sehingga boleh diketahui umum?
SITI FAZURINA: Isu ini timbul sebaik sahaja selesai majlis akad nikah pada 21 Disember lalu di Masjid Jamek Sungai Pinang di sini (Pulau Pinang). Ada pihak cuba hentam Nina. Saya kesal kerana pihak itu ialah keluarga sendiri.
Adakah keluarga tidak merestui hubungan Nina dengan Hykal?
Hal keluarga adalah peribadi. Apa yang boleh Nina beritahu sebenarnya banyak pihak berkecil hati. Mereka (keluarga) tidak pernah merasai apa yang Nina rasa. Nina tak kahwin lari. Nina berkahwin secara sah dengan berwalikan bapa saudara sebelah arwah bapa.
Adakah Nina membuat keputusan berkahwin dengan Hykal secara terburu-buru?
Kami sudah lama membuat perancangan untuk berkahwin dan sudah beberapa kali ibu saya tidak menerima keputusan saya untuk mengahwini Hykal. Namun kali ini, saya nekad memilih Hykal menjadi pilihan hati. Malah saya juga membuat solat Istiqarah selama tiga hari berturut-turut.
Bagaimanakah sekiranya ada pihak membuat tohman mengatakan Nina telah menderhakai ibu sendiri?
Sebelum bernikah, saya dan Hykal ada berjumpa dengan ustaz dan kami menghadiri kaunseling. Kami diberitahu perkahwinan adalah perkara wajib dan sunnah Rasulullah. Saya menghormati pendirian ibu walaupun dia tidak mahu terlibat dalam pernikahan saya dengan Hykal.
Apakah perubahan yang ingin dikecapi di sebalik kemelut perkahwinan Nina ini?
Ibu dan anak tidak boleh terpisah. Saya harap suatu hari nanti ibu akan menerima Hykal. Kalau dia terima perkahwinan ini, masalah sebegini akan selesai.
Harapan masa depan Nina terhadap hubungan anda suami isteri dan keluarga masing-masing?
Saya inginkan kebahagiaan yang bukan dicari kami berdua tetapi untuk kedua-dua belah keluarga. Harap kebahagiaan dapat dikongsi dengan ibu dan ahli keluarga lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: