Jambatan runtuh dirempuh arus, 2 remaja cedera
Fauzi Mat Hassan menunjukkan motosikal yang dinaiki dua lelaki yang terjatuh ke dalam runtuhan dekat jambatan di Kampung Durian.
BESUT- Banjir besar yang berlaku Isnin lalu bukan sahaja menjadi banjir terburuk di kawasan Kampung Padang Bual, Hulu Besut tetapi turut menyebabkan sebuah jambatan di Kampung Durian Telur dekat Pasir Akar, runtuh menyebabkan ia terputus dua.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Durian Telur, Hasbullah Yusof berkata, kedua-dua belah hujung jambatan konkrit yang baru siap dibina beberapa bulan lalu runtuh setelah dirempuh arus deras Sungai Besut kira-kira jam 9 malam sebelum dihanyutkan.

Menurutnya, air sungai yang banyak dan deras telah melimpah memasuki laluan alur bawah jambatan itu lalu merempuh tebing jalan menyebabkan berlaku runtuhan tanah di hujung  jambatan tersebut.

“Kira-kira 350 penduduk terpaksa melalui jalan alternatif (jalan lama) yang terletak di sebelah jambatan itu untuk keluar ke pekan Pasir Akar,” katanya.

Hasbullah berkata, runtuhan itu turut menyebabkan dua remaja yang melalui jalan itu kira-kira jam 12 tengah malam, Selasa lalu terjatuh di bahagian lubang runtuhan itu sedalam kira-kira 4 meter dan cedera parah.

Menurutnya, dua remaja yang tidak dikenali itu bukan penduduk kampung tersebut, dan dipercayai tidak perasan dengan halangan yang dibuat penduduk.

“Sekarang, Pejabat Daerah Besut menutup laluan ke jambatan itu sementara kerosakan dibaiki bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan beliau akan mencadangkan kepada kerajaan untuk membaiki jalan tersebut secepat mungkin untuk keselesaan penduduk.