PADA masa kini dianggarkan terdapat kira-kira 30,000 orang golongan pondan yang menjadi penduduk di wilayah Tamil Nadu, India berbanding jumlah penduduknya seramai 72 juta orang.
Oleh kerana populasi yang besar itu, pada setiap tahun seluruh mak nyah India dari seluruh dunia akan berkampung selama 15 hari di sebuah daerah dalam wilayah itu untuk sama-sama berpesta.
Selain berpesta, aktiviti yang terbesar dalam perayaan tersebut mereka akan berkahwin dengan dewa Koothandavar untuk tempoh sehari.
Selepas berkahwin, pondan yang dikenali sebagai hijra oleh masyarakat setempat akan meraikan kematian dewa tersebut dengan menari dan memecahkan gelang sebagai tanda kesedihan.
“Apabila bulan Mei atau April tiba, kawasan tersebut akan dipenuhi oleh hijra bagi meraikan festival Koovagam. Pesta itu disambut selama 15 hari semasa bulan Chitrai dalam kalendar Tamil.
“Kuil Koothandavar di daerah Viluppuram, Tamil Nadu akan menjadi tuan rumah kepada perayaan itu setiap tahun. Pasti ramai antara kawan-kawan saya dari seluruh dunia yang datang untuk berpesta dan berdoa,” kata seorang hijra, Suman, 24.
Menurut fakta, kuil tersebut dikatakan satu-satunya kuil di India yang direka khas buat golongan mak nyah. Selain aktiviti keagamaan, mereka akan berpesta dan melakukan pelbagai aktiviti seperti pertandingan ratu cantik dan menyanyi.
Menurut laporan oleh The Telegraph, catatan epik Mahabrata turut menjelaskan bahawa dewa Aravan daripada kerajaan Pandavas terpilih untuk dikorbankan dalam peperangan melawan Mauravas. Sebagai permintaan terakhirnya, beliau mahu berkahwin. Namun tiada gadis yang sudi menjadi isterinya.
Jantina ketiga
Turut dijelaskan bahawa dewa Krishna tiba-tiba menjelma sebagai seorang wanita untuk berkahwin dengan dewa tersebut bagi menghargai jasanya.
Pada setiap tahun sempena meraikan pengorbanan Aravan, golongan hijra akan melakukan ritual simbolik perkahwinan sementara dengan dewa itu iaitu pada sebelah malam menjelangnya hari ulang tahun kematian Aravan.
Biarpun terdapat pelbagai versi kitab India purba yang menjelaskan mengenai kewujudan transgender, golongan tersebut tetap dipandang rendah.
Antaranya, hijra dikaitkan dalam sebuah kitab purba, Kamasutra.
Menerusi kitab tentang perlakukan seksual yang ditulis sekitar tahun 300 hingga 400 sebelum Masihi itu, golongan hijra turut dinyatakan secara terperinci di dalamnya. Hijra turut diperakui sebagai jantina ketiga selepas lelaki dan perempuan.
Dalam kepercayaan mitos masyarakat tempatan, golongan tersebut dikatakan mempunyai kuasa sumpahan yang kuat. Ramai yang percaya bahawa mereka harus dihormati dan tidak boleh diperlekehkan.
Hijra dikatakan mempunyai kuasa besar dalam menentukan kejayaan masyarakatnya. Biarpun kebanyakan mereka merupakan golongan berpendapatan rendah, namun tetap mempunyai kepentingan dalam masyarakat.
“Mereka selalunya tidak dijemput ke majlis apabila diadakan keraian. Namun kehadiran golongan itu ke majlis tersebut akan dibayar dengan wang tunai.
|
|
Doa mujarab
“Ramai yang percaya dan takut dengan sumpahan hijra. Jika mereka tidak diterima dalam majlis itu, dikhuatiri akan membawa nasib malang dan keluarga menjadi tidak subur.
“Bagaimanapun dengan bayaran yang diberikan itu, hijra akan mendoakan kesejahteraan dan kekayaan kepada kelahiran seterusnya,” kata seorang hijra yang hanya dikenali sebagai Ritu.
Terdapat antara golongan tersebut yang menggunakan cara lebih agresif untuk meminta wang. Apabila tuan rumah enggan membayar upah mereka, ada yang cuba menanggalkan pakaian sehinggalah mereka dibayar untuk meninggalkan tempat tersebut.
Bagaimanapun seiring perkembangan dunia, mitos sumpahan golongan tersebut dikatakan semakin tidak berkuasa. Ramai hijra yang tidak boleh menyara hidup dengan ‘meminta-minta’ di majlis keraian lagi.
“Benar, suatu ketika dahulu golongan hijra akan memeriahkan majlis tradisional dengan menari, menyanyi dan memberikan restu. Mereka tidak boleh lagi menyara hidup dengan cara itu kerana ramai yang mula berubah ke cara moden.
“Pemikiran manusia juga semakin berubah. Mereka semakin meminggirkan golongan hijra. Apabila mereka semakin sukar untuk hidup dalam cara itu, ramai yang membuat keputusan untuk terlibat dalam pekerjaan seks,” kata seorang aktivis hijra, Rahul Singh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: