Ketua Setiausaha (KSU) KPKK Datuk Seri Kamruddin Siaraf berkata, perkara itu akan berkuat kuasa pada tahun hadapan selepas pihaknya meneliti rayuan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berhubung bayaran yang masih rendah di stesen TV swasta.
“Kita akan kekalkan (pembelian program) mengikut harga RTM. Kadar ini akan diguna pakai untuk Astro dan TV3 (Media Prima) mulai tahun hadapan,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Menerusi pelarasan harga itu, sebuah telefilem akan dibeli stesen penyiaran dengan kadar antara RM100,000 hingga RM110,000, drama bersiri 60 minit (RM40,000 - RM45,000), drama 30 minit (RM20,000) dan program berbentuk majalah TV (RM22,000 - RM25,000).
Sementara itu Pengerusi PTVM Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya berharap pelarasan harga standard yang dipersetujui semua stesen TV itu dapat dilaksanakan dengan segera.
“Kementerian sudah bersetuju untuk menyelaraskan harga program TV bagi semua stesen swasta iaitu Media Prima dan Astro mengikut kadar RTM mulai tahun depan.
“Tetapi masih belum ada hitam dan putih untuk kita kuatkuasakan. Kita perlukan surat rasmi agar ia boleh dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Jurey berkata, pelaksanaan harga baru itu perlu disegerakan agar penerbit dan penggiat seni menikmati kadar standard itu bagi tempoh pembelian program 2013.
“Jadi, kita minta pelaksanaan harga standard ini dilakukan segera agar penerbit dan penggiat dapat menikmati kadar baru itu untuk pembelian program bagi tayangan separuh tahun kedua 2013,” katanya.
Jelas beliau, pelarasan harga mengikut kadar RTM itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus bagi harga pembelian program stesen Media Prima dan Astro berbanding sebelum ini.
Sejak 1995, harga pembelian program TV dikeluarkan mengikut kehendak stesen televisyen masing-masing.
Bagi sebuah telefilem, sebut harga di RTM adalah di antara RM100,000 hingga RM110,000, Media Prima (RM85,000 hingga RM89,000) dan Astro pula meletakkan harga RM80,000 hingga RM90,000.
Untuk drama 60 minit pula, penerbit akan mendapat bayaran sebanyak RM40,000 hingga RM45,000 bagi RTM, Media Prima (RM35,000 hingga RM40,000) dan Astro (RM35,000 hingga RM40,000).
Pada awal Mac lalu, PTVM meminta kerajaan mengeluarkan garis panduan kepada semua pemilik stesen TV di negara ini supaya dapat menyelaraskan kadar pembelian program-program TV yang tidak pernah berubah sejak tahun 1995.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: