KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan
Awam (CUEPACS) mengumumkan kontrak seramai 45,000 kakitangan awam yang
berstatus perkhidmatan kontrak akan disambung enam bulan lagi.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kontrak mereka akan diperbaharui mulai 1 Januari hadapan sehingga hujung bulan Jun nanti.
"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak atas kebenaran ini, kesemua mereka akan mendapat surat
penyambungan kontrak tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas
mesyuarat Majlis Kongres di sini semalam.
Beliau mendapat keputusan itu dalam minggu ini dan pengumuman itu
akan memberi harapan baharu kepada 45,000 kakitangan kerajaan yang
bimbang dengan masa depan mereka ekoran kontrak bakal ditamatkan pada
hujung tahun ini.
Omar juga meminta jasa baik kerajaan untuk membenarkan kakitangan
kerajaan yang mempunyai rekod baik mengambil cuti tanpa rekod selama 10
hari.
Katanya, selain itu, cuti tanpa rekod juga perlu diberi kepada ibu-ibu yang terpaksa menjaga anak yang sakit.
"Setahun ada (cuti) 25 hari, kalau anak kena kuarantin 10 hari, kaum
ibu kena ambil cuti 10 hari dan tinggal 15 hari sahaja, kalau tidak
cukup cuti, kena ambil cuti tanpa gaji," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: