Saturday, December 29, 2012

Tunggang dulu baru tahu


HONDA PCX 150 mendapat rebiu positif di semua pasaran yang disertainya.


MENUNGGANG di kawasan bandar atau meredah kesesakan jalan raya menjadi lebih mudah jika anda berada di atas sebuah skuter.
Anda tidak perlu menukar gear atau mengawal klac tangan. Cuma pulas pendikit minyak, tayar sudah bergolek.
Itu antara justifikasi sesetengah pembeli, lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar. Keselesaan dan kemudahan mengikut cita rasa masing-masing.
Pasaran skuter tempatan semakin berkembang. Lihat sahaja kelibat jentera automatik itu atas jalan. Ia ada di mana-mana sahaja.
Berbeza dengan senario 20 tahun lalu, skuter tidak dilihat sebagai satu jenis pengangkutan yang popular. Namun kini, ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan trend semasa.
Tidak mahu melepaskan peluang meraih pertumbuhan dalam segmen itu, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) meletakkan taruhan terbaharunya, PCX 150.
Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji PCX 150. Lokasi ujian dibuat sekitar kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.
Jika diamati, rekaan model itu kelihatan klasik, pada masa sama mengadun sentuhan moden kontemporari dan skuter maxi mewah.
Sebaik sahaja duduk di atas pelana, ia memang selesa biarpun sedikit lebar. Enjin kemudiannya dihidupkan selepas menarik tuli brek kiri dan butang penghidup enjin ditekan.
Saya agak kagum sewaktu enjin dihidupkan. Tiada bunyi kasar atau gegaran dirasai. Jika tongkat tunggal masih belum dinaikkan, enjin skuter tidak akan hidup.
Sejauh 220km

PAPARAN meter yang jelas untuk kemudahan penunggang.


Hamburan kuasa dirasai ketika memulas pendikit minyak secara agresif. Dalam sekelip mata, jarum meter laju sudah menunjukkan 80 kilometer sejam (km/j). Kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh PCX 150 adalah 120km/j.
Jika kelajuan dikekalkan antara 80km/j hingga 100km/j, satu tangki penuh minyak petrol membolehkan catatan jarak perjalanan sejauh 220km.
Catatan jarak perjalanan itu banyak dibantu oleh dua teknologi terkini Honda iaitu enhanced Smart Power (eSP) dan sistem suntikan bahan api terancang (PGM-FI).
Pengendalian jentera seberat 124 kilogram dalam kesesakan trafik juga mudah. Biarpun badan jentera kelihatan sedikit lebar tetapi ia tetap lincah jika ditunggang secara agresif.
Keyakinan tunggangan banyak dibantu oleh padanan sistem suspensi hadapan dan belakang yang telah disesuaikan oleh jurutera Honda.
Saya dapati sistem brek kombinasi (CBS) PCX 150 terdapat sela masa untuk memperlahan atau memberhentikan jentera sepenuhnya. Perkara itu dikesan sewaktu tunggangan pada kelajuan 100km/j di atas jalan raya kering.
Sesi tunggangan kedua dilakukan dalam hujan dari I-City, Shah Alam, Selangor menghala ke ibu negara melalui lorong motosikal di Lebuh raya Persekutuan.
Saya mendapati CBS PCX 150 menjalankan tugasnya dengan cemerlang. Walaupun menunggang pada kelajuan mencecah 100km/j, saya cukup yakin keupayaan membrek skuter berkenaan.
CBS sebenarnya menghubungkan brek cakera hadapan dan brek gelendong belakang. Pada masa yang sama mengimbangi tekanan dan kuasa membrek dengan lebih berkesan.
Jika anda menghidupkan sistem idling stop, enjin PCX150 secara automatik akan mati jika jentera berada dalam keadaan pegun selama beberapa saat.
Jangan panik kerana enjin hanya dimatikan seketika. Pulas semula pendikit minyak, ia akan hidup semula secara automatik.
Harga atas jalan termasuk insurans untuk sebuah PCX 150 adalah RM10,688 untuk jenis standard (warna hitam dan kelabu) dan varian Deluxe RM10,888 (warna putih merah).
Ia juga hadir bersama jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana yang tiba dahulu).

HANYA tekan butang untuk membuka tempat mengisi minyak dan pelana.


Ada juga yang menyatakan PCX 150 tidak padan dengan harganya. Nasihat saya, singgah dahulu ke mana-mana kedai Boon Siew Honda.
Lihat secara dekat. Pegang dan rasa kualiti binaan PCX 150. Kalau berpeluang untuk tunggang uji, buat. Jangan lepaskan peluang.
Mahu barang baik, kenalah melabur sikit. Jangan sekadar membuat penilaian mudah selepas melihat beberapa keping gambar dan mengetahui harganya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: