Friday, December 28, 2012

Misi 2013 Najwa, Nazim, Izzue dan Hazama



TAHUN 2012 berlalu dengan penuh makna buat empat artis muda, Najwa Latif, Nazim Othman, Izzue Islam dan Hazama.
Meskipun ada antara mereka terpalit kontroversi yang menjadi asam garam anak seni, namun, kecemerlangan kerjaya mereka berempat lebih menarik perhatian khalayak.
Tidak dinafikan mereka berempat antara artis muda yang mempunyai potensi besar jika dinilai daripada segi bakat. Najwa baru berusia 17 tahun, tetapi sudah mempunyai deretan lagu popular yang sering diputarkan di radio.
Nazim pula aktor yang semakin mendapat perhatian sejak muncul dalam drama arahan Erma Fatima, Dejavu di Kinabalu. Kini, tawaran lakonan yang diterimanya semakin banyak dan popularitinya juga semakin meningkat sehingga layak digelar hero televisyen.
Izzue, jejaka kacak berasal dari Kelantan ini pula mempunyai dua kerjaya dalam masa yang sama iaitu nyanyian bersama kumpulan Forteen dan lakonan. Walaupun kumpulan Forteen mempunyai lagu yang hit tetapi Izzue dilihat lebih cemerlang dalam bidang lakonan dan diakui lakonannya cukup berkesan.
Hazama, mempunyai bakat nyanyian yang bagus namun populariti yang diraih hari ini tidak datang dengan mudah. Gagal ketika menyertai program realiti TV Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Hazama terus menyerlah selepas muncul juara program AF musim kesembilan. Kini, tidak hanya menyanyi, Hazama turut melebarkan sayapnya ke bidang lakonan.
Najwa, Nazim, Izzue dan Hazama masing-masing mempunyai nilai yang tersendiri sehingga mampu menarik perhatian peminat untuk terus setia menanti kemunculan setiap karya mereka.
Nazim Othman bakal penyanyi
Nama penuh: Nushrul Alif Othman.
Nama komersial: Nazim Othman.
Umur: 28 tahun.
Asal: Skudai, Johor.
Kerjaya seni: Bermula sejak bulan April 2008 apabila muncul satu episod untuk drama berjudul Frontpage.
Drama popular: Deejavu Di Kinabalu, Kau Yang Terindah dan Terlanjur Cinta.
Telefilem: Tersalah Cinta, Kerana Aku Seorang Cikgu.
Teater: Tun Dr. Siti Hasmah.
Meminati: Faizal Tahir dan Yuna.
Hobi: Mengembara dan ingin melawat Eropah sekitar awal tahun hadapan.
Pencapaian tertinggi: Menjadi duta jam tangan antarabangsa, Ellesse selama setahun.
Erti populariti bagi Nazim: “Popular maknanya dikenali ramai tetapi di Malaysia bagi saya tiada istilah benar-benar popular untuk artis. Jika seseorang itu benar-benar popular keluar rumah sahaja, dia akan dikelilingi pengawal peribadi dan aktiviti hariannya sentiasa menjadi tumpuan paparazi. Malaysia belum ada lagi orang yang menarik perhatian sebegitu rupa dan saya sendiri rasa diri belum popular.”

NAZIM mengakui telah menolak 10 tawaran berlakon filem.


Nama Nazim Othman tiba-tiba sahaja popular sejak dia memegang watak Bazli dalam drama Deejavu Di Kinabalu lakonan bersama aktres Tiz Zaqyah dan aktor Aqasha. Sejak daripada itu, jadual seninya semakin padat dengan aktiviti seni.
Kata Nazim, dia cukup gembira kerana tahun 2012 merupakan tahun yang cukup produktif buat dirinya, namun belum puas untuk meneroka lebih banyak cabang dalam bidang seni. Tahun hadapan, Nazim akan memberi fokus kepada bidang nyanyian dan bersedia untuk bergelar seorang penyanyi.
“Saya meminati kedua-dua bidang nyanyian dan lakonan. Kehidupan kita di dunia tidak lama, jadi saya tidak mahu mengehadkan diri saya dalam satu bidang sahaja. Bagi saya tidak salah untuk saya terokai bakat yang ada dalam diri.
“Belum cuba, saya tidak tahu hasilnya bagaimana. Sebab itu saya cuba menyanyikan lagu Langit Menangis untuk drama Deejavu Di Kinabalu dan Cinta untuk drama Begitukah Cinta. Dua lagu itu saya tidak hantar ke radio tetapi selepas mendapat respons yang positif barulah saya berani untuk mencuba secara serius dalam bidang nyanyian,” katanya yang meminati genre pop rock.
Tahun 2013 dirasakan tahun yang cukup tepat untuknya melahirkan single terbaharu dan memberi fokus kepada kerjaya nyanyian. Menggunakan wang sakunya sendiri, Nazim yakin dengan pencaturan yang disusun untuk kelangsungkan kerjayanya dalam bidang seni.
“Tahun hadapan saya akan lahir dengan sebuah single baharu dan akan mempromosikan lagu itu di radio seperti mana penyanyi yang lain. Judul lagu dan siapa komposernya belum boleh saya beritahu, rahsia (ketawa). Tunggu dan dengar sahaja nanti.
“Kerjaya lakonan akan berjalan seperti biasa, cuma saya akan bertambah sibuk tahun hadapan. Mungkin bertambah penat tetapi saya suka sibuk kerana itu melambangkan saya seorang yang produktif. Filem belum ada rezeki kerana saya masih menunggu skrip yang bagus,” katanya yang telah menolak tawaran 10 buah filem.
Harapannya untuk tahun hadapan agar kerjayanya lebih cemerlang berbanding tahun ini meskipun belum ada sebarang projek yang ditandatanganinya.
“Mestilah saya harap yang terbaik untuk diri dan kerjaya pada tahun 2013. Apa yang saya boleh lakukan sentiasa berusaha dan sentiasa memperbaiki diri, popular tidak bermakna terbaik, terbaik tidak bermakna seseorang itu hebat, jadi banyak ilmu lagi yang harus dicari sepanjang saya hidup dan bekerja dalam bidang seni, ” tuturnya yang begitu mengambil berat soal penampilan diri.
Pendakian Hazama
Nama penuh: Hazama Ahmad Azmi
Nama komersial: Hazama
Umur: 28 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Kerjaya seni: Bermula sejak tahun 2006
Lagu popular: Cinta Teragung, Simetri
Meminati: Amy Search
Hobi: Memandu kereta
Pencapaian tertinggi: Juara Akademi Fantasia 9
Erti populariti bagi Hazama: Saya menganggap populariti sebagai satu sokongan moral buat diri saya untuk pergi lebih jauh dalam industri seni.
Bercerita mengenai pencapaian yang diraih sepanjang tahun 2012, akui Hazama ia merupakan tahun yang paling memberikan kepuasan buat dirinya sepanjang bergelar artis.
Selain tercalon dalam beberapa acara anugerah seperti Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Planet Muzik, dia juga berpeluang tampil di layar perak menerusi filem sulung berjudul Apa Celop Toqq.

HAZAMA lebih selesa berlakon filem atau telemovie berbanding drama bersiri.


“Sambutan terhadap filem tersebut agak membanggakan buat pelakon baharu seperti saya, malah maklum balas yang diterima daripada penonton juga banyak yang positif.
“Pada tahun ini sahaja, saya sudah mendapat tiga tawaran berlakon. Selain Apa Celop Toqq saya turut berlakon dalam filem Lari dan sebuah telemovie berjudul Ady Valentino yang akan disiarkan pada (esok) 29 Disember ini di TV3 slot Cerekarama, ”jelasnya.
Biarpun pembabitannya dalam dunia lakonan dilihat semakin menyerlah, penyanyi yang merupakan juara AF9 itu menyatakan dunia nyanyian tetap menjadi keutamaannya.
Jelas Hazama, dia membuka ruang kepada dirinya sendiri untuk berlakon semata-mata mahu mendapat pengalaman yang lebih luas dan tidak pernah terfikir mahu serius menjadi seorang pelakon.
“Masih banyak lagi kekurangan dalam lakonan yang boleh saya perbaiki. Saya beruntung kerana ada mendapat tip tentang lakonan daripada pelakon yang berpengalaman seperti Aaron Aziz.
“Mengenai tawaran pula saya sedia mempertimbangkannya asalkan bersesuaian dengan watak dan sejujurnya saya lebih selesa berlakon filem atau telemovie. Sekiranya berlakon drama saya risau tidak dapat beri komitmen kerana perlu fokus pada bidang nyanyian, ”ujarnya.
Mengenai perancangan 2013 pula, kata Hazama, dia bakal muncul dengan sebuah album baharu, khusus buat para peminat yang banyak memberikan sokongan kepadanya.
Menurutnya, terdapat sembilan buah lagu keseluruhannya dalam album tersebut, termasuk empat buah lagu bonus iaitu Cinta Teragung, Simetri, Majnun dan Nokhtah.
Ujarnya, ketika ini ia masih dalam proses penerbitan dan tinggal dua lagu sahaja lagi yang belum dirakam dan menjangkakan disiapkan sepenuhnya menjelang hujung bulan ini.
“Bagi saya, album ini mempunyai kelainan yang tersendiri kerana ada beberapa lagu yang diiringi dengan permainan alat muzik selain gitar dan dram seperti seruling dan gambus, ”ujarnya.
Memandangkan karier seninya yang semakin memuncak sekarang, Hazama menjelaskan tidak keterlaluan sekiranya dia sudah boleh bersikap sedikit demand pada masa akan datang.
“Apa yang saya maksudkan ini adalah demand terhadap keperluan kerja supaya saya dapat memberikan yang terbaik. Dari segi bayaran pula saya tidak kisah sangat, asalkan ia berbaloi dengan hasil kerja yang saya lakukan, ”ujarnya.
Izzue mahu seimbang
Nama penuh: Muhammad Izzul Islam Mazlan.
Nama komersial: Izzue Islam.
Umur: 22 tahun.
Asal: Kota Bharu, Kelantan.
Kerjaya seni: Bermula sejak tahun 2008 sebagai pelakon tambahan dalam drama Kampung Jaguh.
Filem popular: 29 Februari dan Hantu Kapcai.
Drama popular: Jangan Ambil Padang Kami, Mimpi Cinderella dan Duri.
Telefilem: Tudung Tweet, Cik Paris Diva Kampung, Lepas Raya Harap Balas, Senyuman Di Kuala Lumpur, Sebelum Lima Perkara, Jidin Puasa Lagi dan Getaran Jiwa (Tribute P.Ramlee).
Projek tahun 2013: Filem Ular, Hantu Toq Mudim, Sunti @ Facebook, Kami Histeria dan drama Aku Tak Percaya Cinta serta Bunga Merah Punya.
Meminati: Allahyarham Tan Sri P. Ramlee
Hobi: Berkebolehan bermain alat muzik, Izzue baru sahaja membeli gitar ukelele yang berharga RM400 dan berazam untuk mempelajari dengan baik.
Pencapaian tertinggi: Kumpulan Forteen yang dianggotai Izzue, One, Ameer dan Ariz memenangi kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Seperti Dulu di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19.
Erti popular bagi Izzue: “Popular bagi saya apabila semua orang bercakap tentang seseorang itu tidak kiralah baik atau buruk. Saya tidak rasa popular sebab masih boleh berjalan dengan bebas di mana-mana sahaja saya pergi.”
Izzue Islam terjun ke bidang seni dengan menjadi pelakon tambahan. Namun, kerjayanya semakin stabil selepas bersatu dengan kumpulan Forteen yang bernaung di bawah payung KRU. Populariti lagu Berdua Bersatu pantas menaikkan Forteen.
Walaupun nama Forteen semakin stabil, Izzue pula semakin ligat berlakon drama dan filem. Bahkan bakat lakonan bersahajanya diakui ramai pihak. Sedar tumpuan semakin diberi kepadanya, Izzue tetap dengan pendirian, kerjaya muzik harus berjalan seiring dengan kerjaya lakonan.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk bergerak secara solo dalam muzik kerana saya cukup selesa bersama Forteen. Anggota Forteen yang lain cukup memahami minat saya terhadap dunia lakonan. Jadual saya dibahagikan cukup seimbang antara Forteen dan lakonan.
“Ada peminat suka saya menyanyi sahaja, ada juga yang suka saya berlakon sahaja dan ada yang suka jika saya buat kedua-duanya sekali. Terpulang kepada mereka, saya hanya melakukan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin, ”katanya.
Menjelang tahun depan, Izzue akan memberi tumpuan kepada bidang nyanyian kerana kumpulan Forteen bakal tampil dengan album sulung yang mengandungi lapan buah lagu.
“Tahun hadapan saya akan sibuk di studio rakaman bersama Forteen untuk rakaman album sulung kami. Bagaimanapun, lakonan tetap diteruskan seperti biasa, saya tidak akan tinggalkan lakonan terus kerana itu juga periuk nasi saya, ”balasnya.
Tahun 2012 boleh dikatakan cukup cemerlang buatnya kerana setiap karya yang melibatkan Izzue pasti menarik perhatian ramai. Bersyukur dengan rezeki diberi kepadanya, namun akuinya dia belum puas untuk berkarya.
“Saya tidak puas, tanyalah mana-mana artis mereka pasti tidak puas dengan hasil kerja sendiri kerana kalau boleh mahu beri yang lebih baik. Sungguhpun begitu, saya bersyukur dengan kepercayaan dan peluang yang diberikan, bukan mudah untuk saya sampai ke tahap seperti hari ini.
“Selesa bukan bererti popular tetapi meraih kepercayaan peminat, pengarah dan penonton.
Fokus seni Najwa
Nama penuh: Imratul Najwa Abdul Latif
Nama komersial: Najwa Latif
Umur: 17 tahun
Asal: Batu Pahat, Johor
Kerjaya seni: Bermula sejak tahun 2010
Lagu popular: Cinta Muka Buku
Meminati: Justin Bieber
Hobi: Bermain gitar
Pencapaian tertinggi: Layak ke final AJL 26
Erti populariti bagi Najwa: Merupakan satu platform untuk orang ramai lebih mengenali seseorang artis, tetapi mahu elak daripada terlalu hanyut dengan populariti.
Seorang lagi artis muda yang dilihat mempunyai potensi sangat besar untuk pergi lebih jauh industri seni, Najwa Latif juga sebenarnya boleh berbangga dengan pencapaian yang diraihnya pada tahun ini.
Sebagai contoh, lagu berjudul Untuk Dia yang dinyanyikan secara duet bersama kumpulan duo Sleeq mencatatkan kejayaan luar biasa apabila klip video lagu berkenaan telah ditonton sebanyak 10 juta kali di laman YouTube.
Namun begitu, kariernya sebagai penyanyi sedikit terhalang pada tahun ini apabila dia mengambil keputusan untuk berehat sejak April lalu kerana mahu membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Sepanjang tempoh berehat semalam tujuh bulan saya memang tidak mengambil satu pun tawaran persembahan kerana tidak mahu fokus terhadap pelajaran akan terganggu.
“Cuma pada setiap hari Sabtu saya akan menghadiri kelas gitar untuk mengasah lagi skil bermain gitar. Menerusi kelas tersebut juga saya berkesempatan menyanyi untuk melepaskan gian,” ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Batu Pahat yang baru berusia 17 tahun itu tetap berpuas hati kerana beberapa buah lagu nyanyiannya seperti Untuk Dia dan Adamu mendapat sambutan baik daripada peminat.
“Jika sebelum ini kebanyakan lagu yang dihasilkan oleh saya dan kakak agak ringan dan sesuai untuk golongan remaja, tetapi lagu Adamu yang berunsur ketuhanan turut diminati.
“Melihat kepada keadaan ini kami sudah merancang untuk menghasilkan lagu-lagu yang lebih matang pada masa akan datang dan berharap ia diminati oleh pendengar, ”ujarnya.
Menceritakan tentang perancangan untuk tahun 2013, Najwa memberitahu dia bakal melahirkan album kedua dan kini sedang mencari material untuk dimuatkan dalam album tersebut.
Selain itu, dia juga merancang untuk mengadakan persembahan di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Singapura dan Brunei.
sebagai salah satu program siri jelajahnya yang akan bermula pada tahun hadapan.
“Apabila keputusan SPM keluar nanti saya sudah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran sama ada di universiti tempatan atau kolej swasta, tetapi pada masa sama saya akan tetap meneruskan karier nyanyian, ”jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: